Salam sejahtera. Peribahasa berikut , yang mana satukah betul ? A. Serumpun bak serai seikat bak sirih B. Seikat bak sirih serumpun bak serai Terima kasih | Jawapan yang lebih tepat ialah "Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai." | Lain-lain | 08.03.2022 |
Yang mana paling tepat: a) Bak kata pepatah, 'Jauh perjalanan, luas pengalaman'. b) Bak kata pepatah, 'jauh perjalanan, luas pengalaman'. c) Bak kata pepatah, "Jauh perjalanan, luas pengalaman". d) Bak kata pepatah, "jauh perjalanan, luas pengalaman". | c) Bak kata pepatah, "Jauh perjalanan, luas pengalaman". | Ejaan | 13.12.2011 |
Salam. Saya mempunyai pertanyaan berkenaan frasa yang digunakan dalam kempen yang sedang saya usahakan. Frasa tersebut adalah BAK DATANG (kependekan daripada Bawa Datang). Sebagai konteks, frasa ini digunakan untuk empowerment kepada pengguna apabila menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian. Contoh: Bak datang segala tekanan. Bak datang semua cabaran. Bak datang perasaan ragu-ragu. Bak datang dalam semua ini berhasrat untuk menggalakkan pengguna untuk tidak gentar serta menjadi berani. Buat pengetahuan Tuan/Puan, frasa bak datang sangat popular di kalangan netizen sebagai rallying call untuk apa sahaja, daripada bangun awal hinggalah kepada menghabiskan menonotn seluruh season series di Netflix. Saya ingin bertanyakan, adakah frasa Bak Datang ini dibenarkan untuk muncul di papan iklan? Jika mempunyai halangan, apakah frasa alternatif yang serupa dengan Bak Datang yang boleh saya gunakan dan mendapat pelepasan dari pihak Tuan/Puan? Terima kasih! | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bak bermaksud sebagai dan seperti. Penggunaan bak dalam frasa bak datang bagi membawa maksud bawa datang tidak tepat dalam penggunaan bahasa Melayu. Cadangan kami ialah hadapi segala tekanan, hadapi semua cabaran sekiranya bersesuaian dengan konteks ayat. | Makna | 05.05.2021 |
Saya ingin mengetahui asal usul perkataan 'Bak'. Ada beberapa keluarga di Johor misalnya menggunakan perkataan 'Bak' menggantikan panggilan 'Ayah'. | Perkataan 'bak' yg menggantikan panggilan 'ayah' tiada dalam rujukan kami. Berkemungkinan itu perkataan slanga atau bahasa daerah. | Istilah | 18.01.2010 |
"Emak kata pergi!" jeritan bak halilintar itu menghentikan lamunan Razak. @ "Emak kata pergi!" Jeritan bak halilintar itu menghentikan lamunan Razak. | "Emak kata pergi," jeritan bak halilintar itu menghentikan lamunan Razak. Tidak ada kata seru dalam ayat tersebut untuk memasukkan tanda seru. Kami cadangkan puan dapatkan buku Gaya Dewan, terbitan DBP sebagai panduan untuk menulis tanda baca yang betul dalam penulisan. | Ejaan | 13.10.2011 |
Yang mana paling tepat: a) "Bak kata pepatah Melayu, Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri. Betulkah, ibu?" b) "Bak kata pepatah Melayu, 'Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri.' Betulkah, ibu?" c) "Bak kata pepatah Melayu, 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri.' Betulkah, ibu?" d) "Bak kata pepatah Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri. Betulkah, ibu?" | Penggunaan tanda baca yang betul seperti dalam ayat: (d) "Bak kata pepatah Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri. Betulkah, ibu?" | Tatabahasa | 08.09.2011 |
Apakah sebutan bagi perkataan *mengangkat* dan *berombak*, 1)me.ngang.kat. atau Meng.ang.kat 2)be.rom.bak atau ber.om.bak | Berikut merupakan penggalan bagi sebutan meng/ang/kat dan ber/om/bak. | Tatabahasa | 11.01.2013 |
Makna Perumpaan Bak Bujang Jolong Keris | Bak bujang jolong keris bermaksud orang yang sombong kerana kekayaan yang baru diperoleh. | Lain-lain | 13.03.2008 |
Salam sejahtera, Kita harus menyayangi tempat tinggal kita. Oleh itu, semua penduduk Kota Manis patut menghadiri kempen tersebut, bak kata pepatah muafakat membawa berkat.(selepas bak kata pepatah perlu bubuh tanda koma di belakang sebagai jeda?Sekiranya terdapat kesalahan tatabahasa tolong betulkan.) Sekian, terima kasih. | Untuk makluman, selepas frasa "bak kata pepatah", tidak perlu diletakkan tanda koma sebagai jeda. Selain itu, contoh ayat yang diberikan betul. | Tatabahasa | 26.02.2020 |
Boleh berikan perbezaan aspek penggunaan "bak, umpama, laksana, macam, bagai, seperti" dalam bandingan semacam? | Kata bak, umpama, laksana, macam, bagai dan seperti berada dalam medan semantik yang sama. Perbezaan antara kata tersebut sukar digarissempadankan kecuali dengan melihat laras penggunaan dan makna-makna bagi setiap kata. Misalnya kata umpama dan laksana lebih bersifat puitis jika dibandingkan dengan kata macam, dan makna bagi kata umpama mempunyai lima pecahan makna berbanding macam yang mempunyai tiga pecahan makna. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) dalam takrifan bagi setiap kata tersebut. | Makna | 14.03.2024 |