Salam sejahtera ! Tengkolok yang dipakai oleh DYM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong pada hari pertabalan/penabalan berwarna hitam bersulam dengan benang emas. Soalan: "pertabalan @ penabalan" yang tepat Terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan, pertabalan bermaksud perihal menaiki takhta kerajaan, manakala penabalan bermaksud perihal merasmikan (mengumumkan) menjadi raja. Berdasarkan konteks ayat tersebut, pertabalan lebih sesuai digunakan. | Tatabahasa | 15.05.2017 |
hi assalamualaikum tuan saya seorang pelajar tingkatan3 soalan saya ialah cara menggunakan "oleh" adakah oleh mesti wujud dalam ayat pasif? imbuhan ter- membawa maksud pasif ke? | Pengunaan kata sendi nama oleh boleh digugurkan atau kekal dalam ayat pasif bergantung pada binaan ayat dan kata kerja pasif yang digunakan seperti yang berikut: 1. Ayat pasif dengan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN (frasa Nama) yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat, contohnya: (a) Barang itu sudah diambil oleh Ali semalam. /Barang itu sudah diambil Ali semalam. Namun demikian, jika binaan oleh + FN terletak jauh dari kata kerja, maka oleh perlu kekal dalam ayat, contohnya: (b) Barang itu sudah diambil semalam oleh Ali. 2. Ayat pasif dengan kata kerja pasif ter-, kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan. Contoh ayat: Istana raja terbina oleh rakyat dalam masa satu tahun. 3. Ayat pasif yang dibentuk dengan kata kerja yang mengandungi imbuhan ber- dan ke-…-an, kata sendi nama oleh + FN tidak diperlukan. Contohnya ayat:(a) Mereka kehujanan sepanjang hari dan (b) Baju itu berjahit dengan benang sutera. Ya, imbuhan ter- membawa maksud pasif. Untuk maklumat lebih terperinci sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman: 489 – 493). | Tatabahasa | 29.11.2021 |