Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ber.jan.ji] | جنجي

Definisi : membuat (mengikat) janji: dia ~ akan datang ke rumah saya; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ber.jan.ji] | جنجي

Definisi : bersetuju utk membuat atau utk melaksanakan sesuatu; mengikat janji: Ia ~ akan menyekolahkan adiknya. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
janji (kata nama)
1. Bersinonim dengan waad: waadat, komitmen, iltizam, ikrar, sumpah, pengakuan, jaminan,

2. Bersinonim dengan ajal: had, waktu, tempoh, waad,

Kata Terbitan : berjanji, menjanjikan, perjanjian,

Puisi
 

Pantai teluk terlalu indah,
     Tempat lalu perahu payang;
Berjanji mulut memang mudah,
     Menepati janji sangatlah jarang.


Lihat selanjutnya...(30)
Peribahasa

Ya sepanjang hari,
     janji sepanjang jalan.

Bermaksud :

Mudah berjanji, tetapi sukar menepatinya.

 

Lihat selanjutnya...(2)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam sejahtera. Frasa manakah yang betul? "Berjanji dengan seseorang" atau "berjanji kepada seseorang". Terima kasih.

Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata sendi nama yang lazim digunakan dalam bahasa Melayu ialah; di, ke, dari, daripada, kepada, pada, bagi dan banyak lagi. Walaupun semua kata sendi nama hadir di hadapan kata nama atau frasa nama, namun tiap-tiap satu mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan dan penggunaanya ditentukan oleh peraturan khusus. 

Kata sendi nama “kepada” terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad, seperti Ali mengirim surat kepada Ahmad.

Kata sendi nama "dengan" digunakan untuk membawa maksud bersama-sama atau beserta, cara sesuatu itu dilakukan, memakai atau menggunakan sesuatu sebagai alat, dan menyatakan perbandingan yang serupa atau sama. Kata sendi nama “dengan” tidak boleh hadir bersama kata kerja.Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga halaman 271 dan 276.

Cadangan jawapan: “Berjanji kepada seseorang”.


Tatabahasa09.06.2020
Saya telah berjanji untuk jumpa Ahmad atau Saya telah berjanji untuk berjumpa dengan Ahmad? Ayat manakah yang betul? Bagaimanakah penggunaan kata dasar "jumpa"?Ayat yang betul:  Saya telah berjanji untuk berjumpa dengan Ahmad.

Penggunaan kata dasar "jumpa" biasanya digunakan untuk istilah seperti "temu duga jumpa terus", "jumpa semuka", "stesen boleh jumpa" dan lain-lain.
Tatabahasa01.11.2018
Saya berjanji "pada", "kepada", "dengan" atau "terhadap" dia? Mohon berikan contoh untuk menunjukkan bezanya. Terima kasih.Salam sejahtera,

"Pada", "kepada", "dengan" dan "terhadap" merupakan kata sendi.

1. Kata sendi "pada" untuk menunjukkanketerangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu.
Contoh: (i) Bas kami bertolak pada pukul 7 pagi. (ii) Wang itu ada pada ibu.

2. Kata sendi "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan.
Contoh: (i) Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. (ii) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan.

3. Kata sendi "dengan" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama.
Contoh: (i) Ayah pergi ke pecan dengan ibu.  (ii) Hasilnya tidak setimpal dengan usahanya.

4. Kata sendi "terhadap" biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda.
Contoh: (I) Seorang ketua harus sentiasa bersikap adil terhadap anak buahnya. (ii) Air bersifat lengai terhadap logam adi.

Sekian, terima kasih.
Tatabahasa12.10.2017
Adakah ayat ini gramatis? *Ketua kampung berjanji akan menolong kami.Ayat tersebut tidak gramatis, yang gramatis ialah 'Ketua kampung berjanji menolong kami'.Tatabahasa27.12.2010
Tukar ayat aktif ke ayat pasif 1. kami berjanji akan menyiapkan tugasan yang diberi oleh Cikgu Mokhtar secepat yang mungkin. Jawapn Diberi: Tugasan yang diberi oleh Cikgu Mokhtar kepada kami berjanji akan disiapkan secepat mungkin. soalan saya adakah jawapan itu betul, "kami "merupakan kGD pertama, bolehkah "disiapkan " digunakan ? Terima kasih.

Jawapan yang diberikan tidak tepat.

Ya, 'kami' merupakan KGD pertama.

Cadangan jawapan:

Tugasan yang diberikan oleh cikgu Mokhtar akan kami siapkan secepat mungkin. 

Lain-lain31.08.2009
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini. 1. Penghulu Kampung Talang selalu berjanji akan memberi bantuan kepada penduduk miskin namun dia tidak pernah mengotakan janjinya. Segala kata-katanya kini tidak lagi dipercayai. Maruahnya sebagai penghulu sudah tidak ada lagi. (a) (b) (c) 2. Penyakitnya masih belum sembuh walaupun telah berubat di merata-rata tempat. Namun dia tetap tidak berputus asa. Dia percaya bahawa selagi ada usaha akhirnya dia akan berjaya. (a) (b) (c)Peribahasa yang menggambarkan seseorang yang mudah berjanji tetapi tidak ditepati ialah lidah tak bertulang.  Manakala kata-kata yang tidak boleh dipercayai ialah lidah bercabang atau lidah biawak. Untuk menjawab soalan (3), peribahasa yang menggambarkan orang yang tidak mudah berputus asa ialah cari ikhtiar.  Untuk memberikan kfahaman yang mendalam tentang peribahasa Melayu , sdr dinasihatkan membaca buku Peribahasa terbitan DBP.Tatabahasa28.04.2009
Mengapakah kata seperti kebertanggungjawaban, keberadaan, keberhasilan, keberkesanan dan kata - kata seumpamanya menggunakan apitan ke-...-an dan bukannya per-...-an seperti pergaduhan (bergaduh), permainan (bermain), perjanjian (berjanji), percintaan (bercinta) dan seumpamanya? Salahkah jika kebertanggungjawaban saya tulis sebagai pertanggungjawaban, keberadaan sebagai peradaan, keberkesanan sebagai perkesanan dan keberhasilan sebagai perhasilan? Saya mohon pencerahan dan berterima kasih jika pihak DBP menjawab pertanyaan (kebertanyaan?) saya.

Apitan pe-...-an membentuk kata nama. Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat atau kawasan khusus, seperti petempatan dan pesisiran.  Hasil gabungan apitan ini dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas menandakan makna khusus, iaitu hal yang berkaitan dengan kata dasar atau hasil daripada melakukan maksud kata dasarnya  seperti perakuan dan persengketaan.

Untuk mengenal pasti kelas kata terbitan daripada apitan ke-...-an hendaklah melihat konteks penggunaannya dalam ayat. Dalam buku Tatabahasa Dewan, perkara ini diterangkan di bawah tajuk Aspek makna apitan ke-...-an (halaman 213), contohnya perkataan kehujanan ialah kata nama sepertimana fungsinya dalam ayat "Dia kehujanan di jalan".
Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 212-213

Tatabahasa22.11.2017
Perbezaan di antara perkataan temu janji dan janji temu. Yang mana satu betul untuk digunakan. Terima kasih.Frasa yang betul ialah janji temu berdasarkan konsep berjanji dahulu, kemudian baru bertemu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, janji temu bermaksud janji untuk bertemu dengan seseorang pada masa dan di tempat yang telah ditetapkan kerana sesuatu urusan dan sebagainya.Lain-lain28.09.2021
Saya pernah mengajukan soalan mengenai terjemahan khusus bagi isilah 'pinky swear'. Pinky swear sebagaimana yang saya fahami adalah perbuatan menyilangkan anak jari antara dua orang apabila berjanji tentang sesuatu perkara. Tetapi apabila hendak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, tiada istilah khususkah yang mencerminkan perbuatan pinky swear? Contoh: A mutual agreement was made today, sealed with a pinky swear.Berdasarkan carian kami perkataan pinky swear juga disebut pinky promise. Melihat kepada perbuatan dua orang sahabat menyatakan pinky swear itu (dengan melilitkan jari kelingking antara satu sama lain menandakan persetujuan terhadap janji yang dibuat), kami mencadangkan perkataan janji sahabat atau janji setia digunakan. Tidak ada padanan pinky swear dalam bahasa Melayu, oleh itu kita boleh mencadangkan padanan berdasarkan konsep dan penggunaannya.Istilah07.03.2012
apa perbezaan antara menyiasat dan menyelidik

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan menyiasat bermaksud 1. menyelidiki (memeriksa) sesuatu perkara yg belum terang, mencari keterangan bkn sesuatu perkara, mengusut: kerajaan berjanji akan ~ aduan-aduan itu; kalau disiasati dgn lebih teliti, agaknya mudahlah dijejaki pembunuh-pembunuh itu; 2. menghuraikan (sesuatu perkara dll), menyelidiki (utk mengetahui kebenaran dll), menelaah: doktor sedang ~ apa jenisnya penyakit itu; mereka mempercayai apa sahaja yg didengar dgn tiada ~ atau menguji kebenarannya; 3. menanyai atau menyoal (utk mengetahui sesuatu), menemu duga: mereka telah dibawa ke Ipoh utk disiasat.

Perkataan menyelidik pula bermaksud 1. memeriksa sesuatu yg belum terang, menyiasat utk mendapat keterangan dsb tentang sesuatu: beberapa orang pakar sedang ~ kemungkinan agama Islam dibawa dr negeri China ke Tanah Melayu; 2. mempelajari sungguh-sungguh (utk mengetahui sesuatu): biarlah aku selidiki buku-buku ini, barangkali fikiran dan mataku akan lebih terang; 3. mengintip (mengintai) musuh, menyuluh.

Istilah14.07.2009
123

Kembali ke atas