Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[den.dam] | دندم

Definisi : 1. = ~ berahi perasaan cinta dan kasih yg amat sangat terhadap seseorang: Si Bidin rupanya ada menaruh ~ pd Esah; 2. = ~ hati perasaan (keinginan) hendak membalas perbuatan seseorang (biasanya perbuatan jahat): orang duduk di kampung memang tolong-menolong, tidak boleh menaruh ~; ~ benci = ~ kesumat rasa dendam dan benci yg mendalam; membalas ~ = melepaskan ~ melakukan sesuatu yg tidak baik sbg membalas kejahatan seseorang dan memuaskan dendam hati yg terpendam; menaruh ~ menyimpan (memendam) perasaan ingin membalas per­buatan jahat seseorang; rindu ~ perasaan rindu yg amat sangat; berdendam menaruh dendam: Karim me­mang sudah lama ~ hendak mem­binasa­kan Pak Sudin; berdendam-dendaman saling menaruh den­dam; mendendam, mendendami menaruh den­dam pd: Panglima Hitam tidak berkata apa-apa sebab ianya ~ Portugis yg digelarnya lanun itu; dendam-mendendam saling mendendami; mendendamkan menaruh dendam menge­nai sesuatu hal (perbuatan dsb): orang-orang itu sudah lama ~ hal orang-orang ber­asmara di tempat itu; dendaman perasaan dendam: tidak pula timbul ~ dlm hatinya terhadap orang yg mengkhianatinya; kedendaman perasaan dendam, dendam: ~nya terhadap gadis itu makin mendalam; pendendam (orang yg) suka berdendam, (orang yg) suka menaruh dendam: budak itu bukan sahaja seorang yg degil tetapi juga seorang yg ~. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[den.dam] | دندم

Definisi : 1 = ~ hati keinginan (perasaan) hendak membalas kejahatan: Dia menaruh ~ terhadap penghulu itu kerana bertindak tidak adil terhadap anaknya. 2 = ~ berahi perasaan cinta dan kasih terhadap seseorang: Rupa-rupanya Si Mat itu ada menaruh ~ terhadap Rokiah. ~ kesumat (benci) dendam dan benci yg mendalam. berdendam menaruh dendam: Ia ~ terhadap Karim kerana Karim selalu mempermainkan adiknya. berdendam-dendaman saling menaruh dendam. mendendam menaruh dendam terhadap (kpd): Pemuda jahat di kampung itu sudah lama ~ Pak Lebai yg suka memberinya nasihat. mendendamkan menaruh dendam mengenai sesuatu: Dia tidak ~ perkara yg kecil itu. pendendam orang yg mendendam; orang yg menaruh dendam. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata dendam

Puisi
 

Air dalam bertambah dalam,
     Hujan dahulu belumlah teduh;
Hati dendam bertambah dendam,
     Luka dahulu belumlah sembuh.


Lihat selanjutnya...(47)
Peribahasa

Seperti gunting makan dihujung.

Bermaksud :

Membalas dendam ataupun berbuat sesuatu dengan diam-diam, dan perlahan-lahan tetapi berhasil.

 

Lihat selanjutnya...(8)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
dendam: Panglima Hitam tidak berkata apa-apa sebab ianya ~ Portugis yg digelarnya lanun itu; (Kamus Dewan Edisi Ke-4) 1) Bolehkah saya bertanya tentang penggunaan perkataan "ia" dan "ianya"? 2) Rumah itu selesa. Bolehkah perkataan "selesa" digantikan dengan "enak" (maksud perkataan ini tidak terhad pada makanan sahaja berdasarkan kamus) dan "menyenangkan"? Terima kasih.1. Perkataan "ianya" tidak boleh digunakan kerana kata "ia" dan "nya" merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan tidak boleh digabungkan penggunaannya.
2. Perkataan enak tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat tersebut.
Tatabahasa11.06.2020
Dendam dalam perkara ini merujuk kepada/pada orang yang terluka akibat disakiti.Frasa yang betul dalam ayat tersebut ialah merujuk kepada.Tatabahasa26.03.2012
Bergantung kepada/pada orang yang memiliki dendam itu sendiri.Bergantung pada orang yang memiliki dendam itu sendiri.Tatabahasa26.03.2012
ASSALAMUALAIKUM.SAYA INGIN BERTANYA TENTANG NOVEL ANTARA DENDAM DENGAN PERJUANGAN KARYA ALI JUSOH,2007.MEMANG BENAR CERITA TERSEBUT BENAR TETAPI ADAKAH ADIK MAT ,IAITU MAT KILAU ADIK KEPADA ADIK YAK,IAITU TOK GAJAH?BUKANKAH MAT KILAU ANAK TOK GAJAH ,DAN TOK GAJAH BERSAMA DATO BAHAMAN SERTA MAT KILAU TELAH BERJUANG UNTUK PAHANG.BENARKAH WATAK ZAKI HAMIDON,MARIA,ABON,SERI BANUM,PRABASNA,ABANG MUSA,DERAMAN,TAMBI SAN,AH WEE,AMAT DAN LAIN-LAIN.DAN BAGAIMANA SAYA BOLEH MENULIS BUKU ATAU SYARAT -SYARATNYA.SAYA HARAP PIHAK ANDA DAPAT MEMBALAS PERTANYAAN SAYA INI.TERIMA KASIH.

Waalaikumusalam wbk. Bagi menjawab soalan sdr tentang watak-watak dan perwatakan dalam novel Dendam dan Perjuangan karya Ali Jusoh, sdr bolehlah menghubungi penulisnya sendiri di talian 09-6663312 (rumah) atau 019-9490727 (t/bimbit). Alamat rumah beliau ialah No. 4, Taman Teratai, To Jembal, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. Mudah-mudahan beliau dapat menjelaskan sendiri tentang segala kemusykilan sdr.

Berhubung dengan minat dan syarat-syarat menulis buku, sdr. boleh mendapatkan atau membeli buku-buku yang dijual di pasaran yang diterbitkan oleh pelbagai penerbit.  Antara buku terbitan DBP ialah Panduan Menulis Puisi karya Rahman Shaari, Panduan Menulis Cerpen karya Othman Puteh dan Panduan Menulis Novel karya Shahnon Ahmad. 

Sekian, selamat berjaya dan wassalam.  

      

 

Lain-lain02.12.2009
Salam, Yang mana satu betul? Menurut PRPM (tatabahasa) penggunaan "ianya" tidak boleh digunakan tetapi perkataan ini terdapat dalam Kamu Dewan ke-4, contoh: dendam: "Panglima Hitam tidak berkata apa-apa sebab ianya ~ Portugis yg digelarnya lanun itu".Untuk makluman, perkataan "ianya" tidak boleh digunakan kerana kata "ia" dan 'nya" merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan tidak boleh disekalikan atau digabungkan penggunaannya.Tatabahasa25.03.2017
Bolehkah beri maksud bagi peribahasa di bawah ini, kerana saya sudah cari banyak buku rujukan atau peribahasa tetapi masih tidak dapat cari... 1 kusangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari 2 dendam tak sudah 3 ambil mudah 4 merak mengigal di hutan Terima kasih.

Sdr. Gan,

1. maksudnya- jika berkasih sayang biarlah daripada mula kita bercinta hinggalah ke akhir hayat. bukannya sampai separuh jalan berpisah.

2. bermaksud seseorang yang berdendam dengan seseorang dan tidak mahu pula memaafkannya sampai bila-bila

3. Melakukan sesuatu kerja dengan tidak mahu berfikir panjang, asal siap sudah

4. yang ini saya pernah dengar tetapi pada ketika ini masih belum dapat berikan maknanya.

Makna01.12.2010
Selamat sejahtera. Minta tuan/puan menyemak sama ada ayat-ayat di bawah betul atau salah. Jika salah, minta tuan membetulkannya. Terima kasih. 1. Sultan Ammar Muhaimin berkenan untuk mengurniakan tokoh pemimpin yang berwibawa itu pingat darjah kebesaran sempena sambutan majlis keputeraan baginda yang ke-63. 2. Setelah lebih sebulan terbaring sakit, kini barulah Pak Siham cekap berdiri tanpa bantuan isterinya. 3. Pergerakan tangan Ahmad yang cekap menyukarkan pihak lawan untuk menangkis serangannya. 4. Kamisan menyimpan dendam terhadap peniaga yang bersikap cekap darah itu. 5. Anak yatim yang kami jumpa semalam menceritakan semula peristiwa yang meragut nyawa kedua-dua orang tuanya. 6. En. Jefridin bersetuju memperisterikan anaknya dengan jejaka idaman pilihan anak emasnya itu.

Ayat yang betul ialah:

1. Sultan Ammar Muhaimin berkenan untuk mengurniakan pingat darjah kebesaran kepada tokoh pemimpin yang berwibawa itu bersempena dengan sambutan majlis keputeraan baginda yang ke-63.

2. Setelah lebih sebulan terbaring sakit, kini barulah Pak Siham cekap berdiri tanpa bantuan isterinya

3. Pergerakan tangan Ahmad yang cekap menyukarkan pihak lawan untuk menangkis serangannya.

4. Kamsian menyimpan dendam terhadap peniaga yang bersikap cekik darah itu.

5. Encik Jefridin bersetuju mengahwinkan anaknya dengan jejaka idaman pilihan anak emasnya itu.
Tatabahasa03.05.2022
apakah maksud seperti bunyi gong pecah,laksana diharungi ular,laksana burung diam dalam sangkar,seperti anak ayam kehilangan ibu,seperti anjing dengan kucing,seperti api dalam sekam,rosak badan kerana mulut,ada gula ada semut,dan bumi mana tidak ditimpa hujan?

Makna peribahasa yang ada dalam senarai rujukan kami (merujuk soalan saudara) adalah seperti yang berikut:

  • laksana burung diam dalam sangkar = orang yang terikat hidupnya.
  • anak ayam kehilangan ibu = kesusahan kerana bercerai dengan sahabatyang karib; rakyat yang kehilangan pemimpin.
  • seperti anjing dengan kucing = selalu bertengkar.
  • seperti api dalam sekam = perbuatan jahat atau rindu dendam yang tersembunyi.
  • kerana mulut badan binasa = mendapat kecelakaan kerana perkataannya.
  • ada gula ada semut = di mana banyak kesenangan, di situ ramai orang datang.
  • bumi mana tidak ditimpa hujan = tiap-tiap orang adakalanya buat kesalahan.
Lain-lain13.04.2008
Apa beza hati dan jantung
Hati dan jantung kedua-duanya merupakan organ dalam tubuh yang menjalankan fungsi yang tertentu. Berdasarkan analisis data korpus, didapati hati juga merujuk kepada jantung, misalnya dalam ayat 'Hatinya berdebar-debar.' Kata hati dan jantung terdapat dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) dan olahannya adalah seperti yang berikut, iaitu:

hati 
n 1 organ yg terletak di bahagian perut dlm badan manusia atau binatang vertebrata yg berfungsi utk merembeskan hempedu ke dlm saluran makanan, mengawal kandungan gula dlm darah, menawarkan kesan keracunan nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen; 2 tempat menyimpan perasaan, keinginan, anggapan dsb dlm diri sso; kalbu: Hatinya bersih drp segala bentuk dendam dan iri hati. 3 jantung: Tidak ada yg menarik perhatiannya selain berita yg mendebarkan hatinya. 4 bahagian tengah yg agak keras pd buah-buahan, pokok dll: Hati nanas diparut dan dibubuhi gula secukupnya sebelum diminum. Hati kayu gaharu dr India dianggap paling
mahal dan mempunyai mutu yg paling baik.


jantung 
n 1 organ berotot yg terletak di dlm rongga dada, yg mengepam darah ke seluruh badan: Otot jantung terpaksa bekerja keras utk memastikan darah beroksigen dapat disalurkan ke seluruh tubuh. 2 benda yg berbentuk spt jantung, berbunyi spt bunyi jantung,
atau bergerak spt gerakan jantung: Hanya detak jantung jam di dinding dan putaran bilah-bilah kipas di siling mencipta gelombang yg menyentuh gegendang telinga. 3 sst yg perlu bagi membolehkan industri, politik dsb terus bergerak atau hidup: Queensland, negeri kedua terbesar di Australia ialah jantung industri pelancongan negara itu.
Makna24.08.2023
Saya mempunyai beberapa pertanyaan dan cadangan. 1. Adakah perkataan-perkataan yang bertanda “id” seperti perkataan “bisa” yang membawa maksud “boleh” dikira sebagai kata pinjaman dari bahasa Indonesia dan boleh digunakan dalam bahasa Melayu? 2. Adakah perkataan “karna” yang bertanda bp merupakan kata serapan dari bahasa Indonesia? Atau ianya bahasa percakapan dalam kalangan penutur bahasa Melayu? 3. Adakah perkataan “apakah” dan “adakah” mempunyai makna yang sama? 3. Saya ingin mencadangkan kepada pihak DPB untuk menyerap dan merakamkan perkataan “ghibah” yang bermaksud mengumpat dalam bahasa Arab di dalam Kamus Dewan sebagai alternatif/sinonim bagi perkataan “umpat”.1. Bahasa Indonesia (yang berlabel Id dalam kamus DBP) dikategorikan sebagai bahasa serumpun dan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan bahasa Melayu. Pengguna bahasa boleh menggunakan kata-kata daripada bahasa serumpun tersebut dalam berkomunikasi, yang sesuai dengan khalayak, makna dan konteksnya.

2. Kata karna dalam kamus terbitan DBP ialah penggunaan masyarakat dalam bahasa percakapan atau bahasa basahan dalam bahasa Melayu.

3. Kata apakah dan adakah tidak mempunyai makna yang sama. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020; 11 dan 124) dan Tatabahasa Dewan.

4. Kata ghibah telah pun terakam dalam kamus terkini terbitan DBP; Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020; 684) seperti yang berikut:

ghibah
kata nama
kata-kata yang dituturkan untuk memburuk-burukkan orang lain di belakangnya, biasanya boleh menimbulkan kemarahan, dendam dan sebagainya; umpat:
Islam mengharamkan ghibah kerana boleh mengakibatkan perbalahan dan menimbulkan permusuhan.
Makna27.05.2023

Kembali ke atas