Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ga.bu.ngan] | ݢابوڠن

Definisi : 1. berkas, ikat(an): lidi-lidi yg diikat ini agak besar ~nya; 2. persatuan yg terjadi drpd ikatan (persekutuan) beberapa buah pertubuhan atau kesatuan: G~ Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung; 3. cantuman atau satuan yg terdiri drpd dua atau beberapa unsur dsb: ~ pemikiran antara ahli profesional drpd berbagai-bagai organisasi dan institusi; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ga.bu.ngan] | ݢابوڠن

Definisi : 1 kumpulan sesuatu yg diberkas; ikatan: Penyapu ini kecil benar ~nya. 2 persatuan beberapa kumpulan atau beberapa persatuan lain: ~ Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung. 3 sesuatu (perkataan dll) yg telah digabungkan. ~ kata kumpulan beberapa kata yg membentuk kata majmuk, simpulan bahasa, rangkai kata, frasa dsb. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata gabungan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
salam sejahtera, saya nak bertanya tentang jenis akronim bagi Gapena. Gapena bermaksud gabungan penulis nasional atau gapena bermaksud gabungan persatuan penulis nasional? Jika Gapena bermaksud gabungan penulis nasional maka berada dlm kategori gabungan suku kata awal perkataan tetapi jika Gapena bermaksud gabungan persatuan penulis nasional, akronim ini berada dalam kategori yg mana? Terima kasih.GAPENA merupakan akronim bagi “Gabungan Persatuan Penulis Nasional”. Kata akronim GAPENA dibentuk melalui cantuman suku kata awal perkataan. Kami berpandangan berlaku pengguguran suku kata pada perkataan ketiga, iaitu “penulis” kerana persamaan bentuk dengan perkataan kedua, iaitu “persatuan” agar akronim lebih ringkas dan mudah disebut.Tatabahasa24.11.2020
Selamat sejahtera saya ucapkan kepada tokoh DBP yang berpengalaman dan dihormati. Guru saya pernah mengatakan bahawa perkataan "merindui" tidak wujud dalam kosa kata, perkataan "merindukan" barulah betul. Adakah pernyataan guru saya ini betul?Perkataan merindui terbentuk hasil gabungan apitan meN-...-i dengan rindu. Perkataan merindukan terbentuk hasil gabungan gabungan apitan meN-...-kan dengan rindu. Kedua-dua perkataan itu betul dan untuk maklumat lanjut tuan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 191 dan 202.Tatabahasa28.04.2014
Apakah terjemahan yang tepat untuk 'World Confederation of Businesses' sama ada, 'Gabungan Perniagaan Sedunia' atau 'Gabungan Dunia Perniagaan' atau terjemahan lain yang lebih tepat. Juga, tepatkah 'World Business Leader Award' diterjemahkan sebagai 'Anugerah Pemimpin Perniagaan Sedunia/Dunia' dan 'World Leader Businessperson Award' sebagai 'Anugerah Ahli Perniagaan Pemimpin Sedunia/Dunia'. Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan/puan didahului dengan ucapan terima kasih.1. Terjemahan yang tepat untuk "World Confederation of Businesses"  ialah Gabungan Perniagaan Sedunia.

2. "World Business Leader Award" diterjemahkan sebagai Anugerah Tokoh Perniagaan Sedunia.

3. "World Leader Businessperson Award" diterjemah  sebagai Anugerah Tokoh Ahli Perniagaan Pemimpin Sedunia.
Penyemakan dan penterjemahan14.03.2018
Kesan Yang Dijangka Daripada Gabungan Pelbagai Kaum Kesan yang Dijangka daripada Gabungan Pelbagai Kaum Mana satu yang betul untuk tajuk.Dari segi ejaan, tajuk "Kesan Yang Dijangka daripada Gabungan Pelbagai Kaum" betul.Tatabahasa06.02.2014
Boleh saya bertanya... antara ni..mana satu yang betul? "GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN 4X4" atau GABUNGAN PERSATUAN 4X4"Ayat yang betul ialah GABUNGAN PERSATUAN 4X4Tatabahasa06.03.2018
Ayat Majmuk Gabungan digabungkan menggunakan kata hubung "dan". Contohnya, Ali dan bapanya mencuci kereta. Adakah ayat berikut diambil kira sebagai ayat majmuk gabungan juga? Kenapa? Ali mencuci kereta bersama bapanya. Ali mencuci kereta dengan bapanya. Terima kasih.
Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, dan sebagainya. Bagi ayat di atas, ayat yang digabungkan adalah seperti yang berikut:

1. Ali mencuci kereta.
2. Bapanya mencuci kereta.

Ayat majmuk gabungan: Ali dan bapanya mencuci kereta.
Tatabahasa30.05.2022
1. Berlari sambil makan 2. Makan sambil berlari. Tuan, berdasarkan dua ayat di sebelah, adakah kedua-dua ayat ini mempunyai perbezaan? Atau dua ayat itu seerti?Untuk makluman puan,sambil merupakan kata hubung gabungan. Kata hubung gabungan ialah jenis kata yang menghubungjab dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Ayat yang terbentuk yang menggunakan kata hubung gabungan ini disebut ayat majmuk gabungan.  Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 251 untuk lebih lanjut.


Contoh frasa yang diberikan tidak gramatis kerana masyarakat kita tidak mengamalkan amalan berlari sambil makan atau makan sambil berlari.
Tatabahasa24.02.2015
Salam sejahtera. Minta tanya terdapat beberapa jenis ayat majmuk gabungan dalam tatabahasa dewan? Adakah pembahagian bersifat subjek , objek atau predikat? ataupun melihat kepada sifat elemen gabungan dalam ayat?Ayat majmuk dibahagikan mengikut sifat atau ciri-ciri ayat itu. Ayat majmuk gabungan terdiri daripada dua ayat atau lebih yang bersifat sama taraf, manakala ayat majmuk pancangan terdiri daripada satu ayat utama/ayat induk dan satu atau lebih  ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 498 - 522.Tatabahasa08.04.2013
Salam, soalan : gabungan 2 ayat tunggal dengan kata hubung " tetapi" a) Kamu boleh bawa kamera. b) Kamu perlu menjaga keselamatan kamera kamu. Jawapan manakah betul? Sila beri keterangan. Jawapan A. Kamu boleh bawa kamera tetapi kamu perlu menjaga keselamatan kamera kamu. Jawapan B. Kamu boleh bawa kamera tetapi perlu menjaga keselamatan kamera kamu. Adakah subjek " kamu" perlu digugurkan? Kenapa ? Sekian, terima kasih.Salam,

Untuk makluman, ayat yang diberikan ialah ayat dalam bahasa percakapan (lisan) and tidak gramtis. Ayat yang tepat ialah, "Anda dibenarkan membawa kamera. Akan tetapi, kamera tersebut terletak atas tanggungjawab sendiri."
Tatabahasa07.10.2015
saya serta gabungan empat persatuan telah bersetuju bergabung dan ingin mementaskan sebuah karya baru yang mengangkat seni warisan melayu silat khususnya. jadi dapatkah kiranya kerja sama dari pihak DBP dari segi panggung dan nasihat untuk merialisasikan perjuangan ini.

Untuk maklumat dan nasihat berkaitan dengan pementasan karya sastera, tuan boleh menghubungi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP.  Pegawai yang boleh dihubungi ialah Puan Baidari Evadarweena binti Basri melalui nombor telefon 03-2147 9130 atau e-mel baidari@dbp.gov.my.

Lain-lain03.03.2014
12345678910...

Kembali ke atas