Salam.. Terima kasih atas khidmat DBP. Saya musykil dengan Hukum D-M iaitu istilah bagi makanan contohnya, istilah yang betul ialah kari ayam dan juga rendang ayam tetapi bagaimana dengan istilah ayam goreng / ayam golek/ ayam bakar? Harap saudara/i dapat jelaskan. | Hukum D-M ialah diterangkan dan menerangkan. Diterangkan merupakan unsur inti dan menerangkan merupakan unsur penerang. Kari dan rendang ialah unsur inti (nama masakan) manakala ayam ialah unsur penerang (jenis masakan). Bagi ayam goreng, ayam golek, ayam bakar, unsur inti ialah ayam (benda yang dimasak), manakala goreng, golek dan bakar ialah unsur penerang (cara masakan). | Tatabahasa | 04.03.2009 |
Assalamualaikum, Saya keliru dengan penggunaan hukum D-M dalam nama makanan. Yang mana satukah yang benar? Rendang ayam atau ayam rendang? Kari ayam atau ayam kari? Ungkep ayam atau ayam ungkep? Ayam kicap atau kicap ayam? Saya selalu mendengar ayam rendang dan rendang ayam dan kedua-duanya membawa maksud sama, kari ayam, jarang mendengar ayam kari, ungkep ayam dan jarang sekali ayam ungkep dan ayam kicap dan tidak pernah terdengar pula kicap ayam. Diminta untuk jelaskan. | Hukum D-M ialah diterangkan dan menerangkan. Diterangkan merupakan unsur inti dan menerangkan merupakan unsur penerang. Bagi nama menu, kari, rendang ialah unsur inti (nama masakan) manakala ayam, daging, kerang ialah unsur penerang (jenis masakan), maka nama menu yang terhasil ialah kari ayam, kari daging, rendang ayam, rendang daging, rendang kerang. Bagi ayam goreng, ayam golek, ayam bakar, unsur inti ialah ayam (benda yang dimasak), manakala goreng, golek dan bakar ialah unsur penerang (cara masakan). | Tatabahasa | 29.12.2017 |