Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[gu.lung] | ݢولوڠ

Definisi : 1. benda yg berlembar-lembar atau berutas-utas yg dilipat begitu rupa hingga berbentuk bulat torak, bentuk bulat panjang drpd benda berlembar-lembar atau berutas-utas yg dilipat: belat se~; dawai lima ~; ~ kain itu tidak betul diikat; 2. ark gulung-gulung kayu yg melintang di antara kasau jantan dan kasau betina; ~ tikar ki bankrap (bkn perusahaan, perniagaan, dsb); gulung-gemulung = bergulung-gulung; bergulung 1. berada dlm gulung (spt kain, layar, dll): tatal ~ spt subang; 2. bergerak spt berguling (ombak, asap, dll); 3. melengkung ke atas atau ke bawah pd hujung atau tepi daun dll; bergulung-gulung 1. banyak gulung: membeli tikar ~; 2. bergerak spt berguling-guling: gelombang air datang ~; asap api ~; menggulung 1. melipat benda yg berlembar atau berutas sehingga berbentuk panjang bulat: tatal itu digulungnya spt subang; ~ rokok daun; 2. melilitkan (benang, tali, dll) pd gelendong: ~ benang; 3. ki menghambat, mengejar musuh, mengalahkan: dia telah dapat ~ lawannya; 4. mengakhiri, menyudahi, menutup (ucapan, perdebatan, dsb dgn mengemukakan atau menonjolkan aspek-aspek yg penting): dia berkata demikian sewaktu ~ ucapan mengenai anggaran belanjawan kementeriannya; ~ lengan baju ki bersiap utk bekerja; ~ tikar ki bersurai, bubar; tergulung sudah digulung; gulungan lipatan berbentuk bulat torak: ~ belat; penggulungan perihal (perbuatan dsb) menggulung (perdebatan dsb): ~ hujah dlm kes yg berat memerlukan perbandingan kes dan undang-undang; penggulung alat dll utk menggulung. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[gu.lung] | ݢولوڠ

Definisi : sesuatu yg dijadikan berbentuk bulat torak dgn melingkarkannya; bentuk bulat torak drpd benda-benda berhelai atau berlembar yg dilingkarkan: Dua ~ tikar berharga RM25/-. bergulung 1 telah menjadi gulung; sudah dibuat gulung: Lengan bajunya ~ hingga ke siku. 2 bergerak seolah-olah bergolek (ttg ombak). bergulung-gulung 1 beberapa (banyak) gulung: Dibelinya tikar dan hamparan ~. 2 bergerak seolah-olah bergolek berulang-ulang (ttg ombak); bergulung berturut-turut: Ombak datang ~. menggulung 1 membuat sesuatu menjadi bergulung; melipat sesuatu menjadi bulat torak bentuknya: Pak Dol ~ rokok daunnya. 2 melilitkan tali dsb pd gelendong; mengumpar: ~ tali. 3 menamatkan sesuatu ucapan dll; menyudahi perbahasan dll: Tiap-tiap peserta diberi masa lima minit utk ~ syarahannya. tergulung sudah digulung. gulungan apa-apa yg sudah digulung; apa-apa yg bergulung: Dia mengangkat ~ tikar itu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata gulung

Puisi
 

Asap api bergulung-gulung,
     Anak buaya terlampai-lampai;
Hajat hati nak peluk gunung,
     Apakan daya tangan tak sampai.


Lihat selanjutnya...(5)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
apakah perbezaan dan penggunaan penjodoh bilangan untuk gulung dan gelung

Perbezaan gelung dan gulung bergantung pada penggunaannya dari segi bentuk dan saiz. Gulung ialah benda yang berlembar-lembar atau berutas-utas yg dilipat begitu rupa hingga berbentuk bulat torak, bentuk bulat panjang daripada benda berlembar-lembar atau berutas-utas yang dilipat, seperti dawai, kain dan sebagainya manakala gelung ialah lingkar, lengkung, gulung (tali, rotan, ular, dll); 2. kelok, ikal (rambut dll); contohnya sanggul ~ kondai, sanggul;

Istilah12.05.2009
Yang manakah terjemahan yang sesuai perkataan chicken wrap; roti gulung ayam atau roti balut ayam?Cadangan terjemahan untuk "chicken wrap" ialah "Roti Gulung Ayam."Penyemakan dan penterjemahan09.07.2022
Pak Samad sedang ........ lebihan dawai kawat yang telah digunakan untuk memagar kebunnya. Gelung atau gulung....Merujuk Kamus Dewan kedua-dua jawapan tersebut betul, namun pada kebiasaannya gelung lebih sedikit ukurannya berbanding dengan gulung. Oleh itu, soalan tersebut menunjukkan lebihan  lingkaran dawai yang ukurannya tidaklah sepanjang mana, jawapan yang paling tepat ialah gelung.Lain-lain26.08.2015
Salam, saya ingin bertanya mengenai terjemahan bagi 'chicken roll'. adakah bermaksud ayam gulung atau rol ayam dalam bahasa melayu? Harap pihak tuan dapat membantu. Ini adalah untuk ejaan pelabelan makanan. sekian, terima kasih.Cadangan terjemahan bagi chicken roll ialah ayam gulungMakna11.08.2022
Tuan, apakah jawapannya... Ayah menggunakan se___________- dawai untuk menbuat ampaian. gulung atau gelung. Dalam kamus kedua-duanya boleh diterima. ( dalam soalan menunjukkan seorang lelaki sedang memegang _________ dawai dan memasang dawai itu pada ampaian. )Merujuk Kamus Dewan kedua-dua jawapan tersebut betul, namun pada kebiasaannya gelung lebih sedikitr ukurannya berbanding dengan gulung. Oleh itu, jika gambar tersebut menunjukkan lingkaran dawai yang ukurannya tidaklah sepanjang mana, jawapan yang paling tepat ialah gelung.Tatabahasa29.07.2009
Manakah yang betul 1. Ayah menyuruh Ali menggelung atau menggulung dawai ampaian yang terurai itu. 2. Ayah menggunakan setengah gelung atau gulung dawai untuk membuat ampian, kemudian yang selebihnya digulung atau digelung semula.Ayat yang betul; 1. Ayah menyuruh Ali menggulung dawai ampaian yang terurai itu. 2. Ayah menggunakan setengah gulung dawai untuk membuat ampian, kemudian yang selebihnya digulung semula.Tatabahasa02.08.2009
maksud perkataan "selingkar"Lingkar bermaksud gulung dan kata terbitan selingkar (daripada lingkar) boleh membawa maksud segulung.Makna28.08.2009
Apakah penjodoh bilangan bagi permaidani/karpet? Adakah bidang, helai, hampar atau gulung? Terima kasih

Tidak semua benda perlu diberikan penjodoh bilangan kerana penjodoh bilangan lazimnya mengikut bentuk atau konsep sesuatu benda, konteks penggunaan dan kesesuaian dalam ayat.  Contohnya, jika permaidani tersebut dalam bentuk gulungan, penjodoh bilangannya ialah segulung permaidani.

Tatabahasa09.06.2021
Tuan,Saya ingin bertanya soalan ini? Ayah menggunakan se ________________ dawai untuk membuat ampaian. jawapannya gelung atau gulung dalam kamus dewan kedua-duanya menuju kearah itu .Merujuk Kamus Dewan kedua-dua jawapan tersebut betul.Tatabahasa29.07.2009
Assalamualaikum tuan/puan, Saya ingin bertanyakan tentang gulungan kertas berwarna coklat di dalam tisu tandas. Apakah terdapat kata nama am baginya? Jika toilet roll ialah kertas tandas gulung, bagaimana pula yang di dalamnya? Adakah bekas gulungan tisu tandas lebih tepat? Dalam bahasa Inggeris ia disebut "empty toilet paper roll". Disertakan juga gambar untuk rujukan pihak tuan/puan. Terima kasih.Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "empty toilet paper roll" ialah penggulung tisu tandas.Istilah24.08.2016
12

Kembali ke atas