Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ha.diah] | هديه

Definisi : 1. pemberian (kerana penghargaan, utk kenang-kenangan, sbg penghormatan, dll): terimalah ~ kami yg tidak sepertinya ini; dia menerima berbagai-bagai ~ pd hari jadinya; 2. ganjaran (kerana menang dlm perlumbaan, pertandingan, dll): bagi pe­menang yg pertama disediakan ~ sebuah piala perak; ~ ikhlas a) hadiah yg diberikan dgn ikhlas (tanpa mempunyai tujuan tertentu di se­baliknya; b) buku (tiket dsb) yg diberikan percuma kpd orang-orang tertentu; ~ kerja hadiah kpd kakitangan sesuatu syarikat (persekutuan) perniagaan dll; ~ lebaran Id wang pemberian kpd kakitangan pejabat atau syarikat pd hari raya puasa; ~ Nobel hadiah tahunan kerana hasil kajian atau sumbangan yg teristimewa dlm berbagai-bagai lapangan (spt ilmu fizik, perubatan, kesusasteraan, keamanan, dll); ~ penghargaan hadiah yg diterima oleh seseorang yg tidak berjaya memenangi hadiah utama: 10 buah cerpen tersebut telah memenangi ~ penghargaan; ~ penghibur Id = ~ sagu hati hadiah (ganjaran) kpd petanding yg tidak berjaya sepenuhnya; ~ siswa biasiswa; ~ utama hadiah berupa piala, wang, dll yg menjadi rebutan utk seseorang yg menjuarai sesuatu per­tandingan: tiga buah cerpen telah meme­nangi ~ utama dlm Sayembara Cerpen Remaja kali Ke-8; berhadiah 1. ada disediakan hadiah: per­tandingan ini diadakan dgn ~; 2. memberi­kan (menyumbangkan) hadiah: sesiapa yg suka ~ bolehlah berhubung dgn jawatan­kuasa; menghadiahi memberikan hadiah kpd: ~ setiap pekerja yg bersara sebuah cendera­mata; Yang Dipertuan ~ Yuzuki sehelai jubah berwarna merah tua; menghadiahkan memberikan sesuatu sbg hadiah, menganugerahkan: mereka ~ sebuah jam tangan kepadanya dlm majlis perpisah­an itu; dlm tahun 1903, Hadiah Nobel telah dihadiahkan kpd pasangan suami isteri Pierre Curie dan Marie Curie. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ha.diah] | هديه

Definisi : 1 apa-apa yg diberikan kpd seseorang kerana menghargai jasanya, sbg kenang-kenangan dll: Dia menerima berbagai-bagai ~ pd hari jadinya. 2 upah atau ganjaran kerana menang dlm perlumbaan, pertandingan dsb: Pemenang dlm perlumbaan itu diberi ~ sebuah piala perak. ~ Nobel hadiah tahunan kerana sumbangan yg istimewa dlm lapangan perubatan, kesusasteraan, ekonomi dll. ~ sagu hati hadiah atau ganjaran yg diberikan kpd peserta-peserta yg kurang bernasib baik. menghadiahi memberikan hadiah kpd; memberi seseorang hadiah: Dia ~ isterinya sejambak bunga. menghadiahkan memberikan sesuatu sbg hadiah: Mereka telah ~ sebuah jam tangan kpd ketua mereka yg akan bersara. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Peribahasa

Pembasuh tangan bidan.

Bermaksud :

Hadiah yang diberikan kepada seseorang yang telah menolong melepaskan sesuatu pekerjaan yang besar.

 

Lihat selanjutnya...(4)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh guru besar. Perlu tak 'guru besar' ditulis sebagai'Guru Besar' seperti ' Menteri Besar' kerana nama jawatan ? Terima kasih

Tidak perlu dieja menggunakan huruf besar. Menteri Besar di eja menggunakan huruf besar kerana nama jawatan. Guru besar dieja dengan huruf besar sekiranya Guru Besar Karim. Sama juga dengan Menteri Besar atau Menteri Pertanian.

Tatabahasa11.03.2010
Tuan, bagaimana ejaan hadiah nobel yang betul? A hadiah nobel B hadiah Nobel C Hadiah Nobel Terima kasih.

Ejaan yang betul ialah Hadiah Nobel, nama khas kepada penerima anugerah yang tertentu.

Ejaan08.06.2012
saya nak faham maksud sebenar hemper. bentuk hemper dan apa perbezaannya dengan hadiah.Mengikut Kamus Dewan ialah Hamper ialah sj bakul besar berisi pelbagai barang makanan (biasanya diberikan sbg hadiah). Hadiah ialah pemberian (kerana penghargaan, utk kenang-kenangan, sbg penghormatan, dll)Makna16.11.2007
Mana ayat yang betul 1) membeli banyak hadiah 2) banyak membeli hadiahMembeli banyak hadiahTatabahasa26.08.2015
Assalamualaikum, Boleh saya dapatkan tarikh penganugerahan Hadiah Karya Ilmiah 2016/2018 (DBP-KPM)? Sekian, terima kasihSalam sejahtera, Hadiah Karya Ilmiah Hadiah Karya Ilmiah merupakan pengiktirafan kepada karya-karya ilmiah yang terpilih bagi Kategori Sains dan Teknologi, serta Kategori Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan. Majlis penyampaian Hadiah Karya Ilmiah 2016-2018 telah diadakan pada 7 November 2019 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP bersempena dengan Sambutan Majlis Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan. Majlis dirasmikan oleh YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia. Sekian, untuk makluman.Lain-lain03.06.2020
Sultan Terengganu telah menerima hadiah daripada pihak hotel. Hadiah patut ditukarkan kpd kata apa yang sesuai?Selain perkataan hadiah, perkataan yang boleh digunakan ialah cenderamata.Tatabahasa27.09.2013
Berikut ada 3 ayat, sila menyemak dan memberi pembetulan sekiranya terdapat kesalahan. 1) Emak memberi hadiah kepada kakak. 2) Emak membeli hadiah kepada kakak. 3) Emak membeli hadiah untuk kakak. Sekian, terima kasih.1) Ayat yang betul ialah Emak memberikan hadiah kepada kakak atau  Emak memberi kakak hadiah.
3) Emak membeli hadiah untuk kakak. - betul
Tatabahasa31.01.2012
a) saya membeli hadiah untuk ibu saya b) saya membeli hadiah kepada ibu saya yang mana satu betul? terima kasihYang betul ialah : Saya membeli hadiah untuk ibu saya atau Saya memberikan hadiah kepada ibu saya.Tatabahasa27.06.2009
Salam Sejahtera, tuan. Bolekah tuan tolong terangkan soalan-soalan saya yang berikut: 1. menghidangkan makanan yang pelbagai jenis / menghidangkan pelbagai jenis makanan ? 2. menerima banyak hadiah / menerima hadiah yang banyak ? Setahu saya, selepas kkt mesti diikuti terus dengan objek. Namun' saya masih terjumpa ayat-ayat tersebut dalam bahan-bahan bacaan. Ini amat mengelirukan saya. Minta tuan memberikan penjelasan kepada saya. 3. menyusun buku / menyusun buku-buku ? 4. menyusun ayat-ayat yang berikut / menyusun ayat yang berikut? Sekian, tyerima kasih.Frasa yang betul ialah:
1. menghidangkan pelbagai jenis makanan -
2. menerima banyak hadiah 
Pendapat tuan betul, kata kerja transitif mesti diikuti objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya.
3. menyusun buku  
4. menyusun ayat yang berikut
Buku dan ayat dalam frasa di atas tidak perlu digandakan kerana perbuatan menyusun, iaitu meletakkan bersusun menunjukkan sesuatu yang banyak.
Tatabahasa07.04.2012
salam...apa telah terjadi dengan peraduan HADIAH KARYA ILMIAH DBP 2009? Sampai sekarang saya masih menunggu..bagaimana dengan manuskrip yang saya hantar?terima kasih.Untuk makluman tuan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Hadiah Karya Ilmia 2009 telah disempurnakan pada 24 November 2011 di Dewan Dato' Hassan Ahmad, Menara DBP. Pemenang utama pertandingan ialah Puan Dr. Puteri Roslina binti Megat Abdul Wahid dan Encik Muhammad Fitri bin Sutriee.Lain-lain06.12.2012
12345678910...

Kembali ke atas