Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ha.rus] | هاروس

Definisi : 1. tidak boleh tidak, tidak dapat tidak, mesti, patut, wajib: kita mempunyai kepen­tingan sendiri yg ~ dijaga; engkau ~ berlaku adil dan saksama; 2. boleh jadi, mungkin: padinya ~ tidak menjadi disebabkan ke­kurangan air; 3. tidak mustahil (berlaku, terjadi, dsb), mungkin: ~ seorang musuh itu bertukar menjadi seorang kawan; 4. boleh dilakukan dan boleh pula ditinggalkan, jaiz, mubah: mandi tiga kali sehari adalah ~ hukumnya di sisi agama Islam; seharusnya sepatutnya, semestinya: sudah ~lah kita memelihara diri drpd kekejian; mengharuskan 1. memandang mustahak, (perlu, patut), memestikan, mewajibkan: penuntut-penuntut sekolah diharuskan me­ma­kai pakaian seragam; 2. membolehkan, membenarkan, mengizinkan: pd bait ketiga ulangan suara itu kurang sesuai, tah di­haruskan bersajak dgn ta; agama Islam ~ perceraian; keharusan 1. sesuatu yg harus (patut dll) dilakukan atau sesuatu yg mesti terjadi, ke­mestian, kewajiban: membela maruah orang tuanya memang suatu ~; 2. sesuatu yg boleh berlaku atau mungkin berlaku (ter­jadi), ke­mung­kinan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ha.rus] | هاروس

Definisi : 1 boleh dilakukan dan boleh juga ditinggalkan (kedua-duanya tidak berdosa); jaiz. 2 boleh jadi; mungkin: Dia ~ tidak datang, kerana hari hujan. 3 berkemungkinan besar; patut: Kita ~ menjaga nama baik keluarga kita. mengharuskan 1 menjadikan boleh dilakukan atau ditinggalkan; membolehkan; membenarkan: Allah mengharamkan riba dan ~ jual beli. 2 menjadikan patut atau elok: Kita diharuskan berpakaian kemas dan bersih. keharusan 1 keadaan atau sifat harus: ~ berkhatan lewat (dlm syariat Nabi Noh) telah dibatalkan dan diharamkan (dlm syariat Nabi Musa). 2 keadaan mungkin; kemungkinan: ~ berlakunya rusuhan di negara itu adalah besar. 3 sesuatu yg harus atau patut dibuat (dilakukan): Menjaga ketertiban tingkah laku ialah satu ~ bagi kita. seharus­nya sepatutnya; selayaknya: Dia tidak ~ bertindak terburu-buru begitu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
harus (kata tugas)
1. Bersinonim dengan mesti: patut, wajar, perlu, tidak boleh tidak, tidak dapat tidak,

2. Dalam konteks hukum Islam
bersinonim dengan jaiz, mubah,

Kata Terbitan : seharusnya, mengharuskan, keharusan,

Puisi
 

Kalau begini rupanya padi,
     Harus juga condong ke barat;
Kalau begini rasanya hati,
     Harus juga akan melarat.


Lihat selanjutnya...(4)
Peribahasa

Kaki tertarung inai padahannya,
     mulut terdorong emas padahannya.

Bermaksud :

Segala janji harus ditepati, bila berbuat sesuatu, harus berani menanggung akibatnya. (Peribahasa lain yang sama makna: Kaki terdorong badan merasa; lidah terdorong emas padahnya).

 

Lihat selanjutnya...(47)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Saya ingin menggunakan perkataan fahami dalam ayat. Betulkah ayat berikut? Oleh itu, harus kita fahami bahawa peranan perpustakaan sekarang sudah berubah.Kata "fahami" dalam konteks ayat tersebut berfungsi sebagai kata kerja transitif dalam ayat pasif. Ayat yang betul, ialah Oleh itu, harus "Harus kita fahami peranan perpustakaan kini sudah berubah".Tatabahasa14.06.2023
Kita harus mahu mematuhi undang-undang. Adakah ayat-ayat songsang berikut betul? (A) Mematuhi undang-undang kita harus mahu. (B) Undang-undang kita harus mahu mematuhi.Ayat yang gramatis ialah "Kita harus mematuhi undang-undang". Ayat ini boleh disongsangkan menjadi "Harus mematuhi undang-undang kita".Tatabahasa03.11.2015
Adakah kata bantu harus diletakkan di depan kata ganti diri pertama dan kedua dalam ayat tanya? Contoh: Mengapakah harus saya bangun awal ketika cuti? ATAU Mengapakah saya harus bangun awal ketika cuti? Terima kasih.Kata bantu"harus"  hadir sebelum frasa ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Ayat yang betul ialah "Mengapakah saya harus bangun awal ketika cuti?".
Tatabahasa16.05.2013
Harus Jujur Aug 14th, 5:44pm Maaf..saya ada soalan..bole saya tahu, adakah bahasa pendidikan melayu di malaysia sama seperti bahasa melayu pendidikan di singapura?..sbb saya ada dpt contoh dari pelajar di malaysia(sepupu) tentang ejaan bahasa melayu yg betul..kerana muskil saya bertanya di lelaman ini..jutaan terima kasih.Sistem bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Singapura adalah sama. Malahan Singapura juga menjadi pemerhati dalam Sidang MABBIM, iaitu Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia. Walaupun begitu aspek budaya antara kedua-dua negara tidaklah sama seratus peratus. Hal ini memberikan kesan kepada aspek sosiolinguistik dalam bahasa tersebut.Lain-lain14.08.2015
Saya ingin menjadi seorang penulis novel/cerpen, bagaimana dan di mana saya harus bermula??Saudara harus membaca buku-buku yang berkaitan dengan penulisan novel dan cerpen yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit lain. Selain itu, saudara harus menganggotai persatuan penulis agar dapat mengikuti kursus atau bimbingan yang dianjurkan oleh persatuan tersebut. Saudara juga disarankan supaya berkawan dengan penulis yang terkenal untuk mempelajari teknik-teknik penulisan penulis tersebut. Saudara boleh menghantar cerpen kepada editor yang menangani penerbitan majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka.Lain-lain06.02.2008
Ayat: Kamu harus melakukan segala-gala yang saya perintahkan. Bolehkah ayat di atas diubah bentuk menjadi sedemikian: (1) Segala-gala yang saya perintahan harus kamu lakukan. (2) Segala-gala yang saya perintahkan, kamu harus melakukan. (3) Segala-gala yang saya perintahkan, kamu harus melakukannya. (1) berupa ayat pasif, tetapi saya kurang pasti dengan (2) dan (3). Terima kasihAyat pasif yang betul ialah Segala-gala yang saya perintahkan harus kamu lakukan.

Frasa kerja pasif diri pertama dan kedua, iaitu kedudukan ruang di antara kata ganti nama diri pertama dan kedua dengan kata kerja pasif tanpa awalan tidak boleh diselitkan sebarang kata.
Tatabahasa23.07.2013
1. Kita harus bersikap bertanggungjawab. / Kita harus bertanggungjawab. 2. Kita patut bersikap bermurah hati. / Kita patut bermurah hati.

Saudara Ang,

Ayat yang dikemukakan kesemuanya tidak salah. Penggunaannya bergantung pada gaya dan cara penyampaian penulis. 

Tatabahasa15.03.2010
Salam pagi, Ayat yang manakah lebih gramatis: 1) Kita harus mempertimbangkan perkara tersebut dengan teliti 2) Kita harus menimbangkan perkara tersebut dengan teliti 3) Kita harus timbangkan perkara tersebut dengan teliti. terima kasih.Ayat yang gramatis ialah Kita harus mempertimbangkan perkara tersebut dengan teliti.
Tatabahasa13.10.2015
Salam sejahtera, 1. Kita harus meminta maaf daripada / dengan ibu bapa sekiranya kita bercakap kasar.(kita harus guna daripada atau dengan dalam ayat di atas?) 2. Sebagai anak yang menyayangi ibu bapa, kita harus menghormati mereka setiap masa/ pada setiap masa. (boleh tambah pada sebelum setiap masa?) 3. Ibu bapa mendidik kita sejak dari kecil / sejak kecil.( sejak kecil / sejak dari kecil). Terima kasih.Ayat yang tepat:

1. Kita harus meminta maaf daripada/dengan ibu bapa sekiranya kita bercakap kasar.(kedua-dua perkataan boleh digunakan)
2. Sebagai anak yang menyayangi ibu bapa, kita harus menghormati mereka setiap masa/ pada setiap masa.
3. Ibu bapa mendidik kita sejak sejak kecil.
Tatabahasa17.07.2018
TUAN / PUAN Kita harus menutup suis televisyen setelah selesai menontonnya ATAU Kita harus memadam suis televisyen setelah selesai nemontonnyaAyat yang gramatis ialah Kita harus menutup suis televisyen setelah selesai menontonnya.Tatabahasa03.11.2016
12345678910...

Kembali ke atas