Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[hu.bung] | هوبوڠ

Definisi : ; berhubung 1. berangkai, bersam­bung, beruntun (antara satu dgn lain); huruf tulis yg ~ huruf tulis yg bersambung; 2. berkaitan dgn, berkenaan (dgn): ia berusaha menyelesaikan segala urusan yg ~ dgn tanahnya; kebanyakan bantuan mengalir ke arah kegiatan-kegiatan yg ~ dgn agama; 3. oleh sebab, kerana: ~ dgn kurangnya ahli yg datang, maka mesyuarat ditangguhkan; 4. bertukar-tukar (berita, fikiran, dll) dgn berbagai-bagai jalan: sekarang kita dapat ~ dgn saudara-mara di Medan menerusi tele­fon radio; bahasa ialah alat bagi manusia ~ dgn manusia lain; ~ puntung = putus ~ bp (merokok) bersam­bung-sambung (hampir habis rokok yg satu disambung pula dgn rokok lain); berhubungan 1. ada sangkut pautnya (dgn), bersangkutan, bertalian: suasana di kapal menyebabkan dia melupakan segala sesuatu yg ~ dgn dirinya sendiri; ia mengutuk segala yg ~ dgn bekas isterinya itu; 2. berjumpa (dgn), bertemu (dgn), mempunyai pertemuan (dgn): ia berasa hairan kenapa rakannya itu tidak mahu ~ dengannya lagi; PM menjadi ketua Dewan Rakyat dan ia juga sentiasa ~ dgn PM Komanwel; 3. saling berhubungan; menghubung menyambung sesuatu dgn yg lain (bukan bermakna menambah panjang): tali ini boleh dipakai utk ~ galah; menghubungi 1. membuat perhubungan dgn seseorang utk memberitahu sesuatu (mela­lui surat, telefon, atau pergi sendiri mendapat­kannya): ejen-ejen polis rahsia akan terus ~nya lagi; perbicaraan ditangguhkan se­hing­ga saksi penting dapat dihubungi polis; 2. menjadi sambungan kpd sesuatu, mengikuti, me­nuruti, menyambut (dgn): kata-kata itu di­hubungi dgn ketawa; menghubungkan 1. menjadikan berhu­bung­an (berangkaian, bersambungan), me­nyam­­bungkan, merangkaikan: garisan lurus yg ~ dua titik; rumah itu mempunyai dua kamar yg satu sama lainnya dihubungkan oleh sebuah pintu; 2. = memper­hubung­kan mempertalikan (dgn), mengaitkan (dgn): perdaganganlah yg ~ negeri Melaka dgn kawasan-kawasan di sekelilingnya; rakyat Hirahlah yg menjadi perantaraan ~ orang Parsi dgn orang Arab; 3. = memperhu­bung­kan mempertemukan dgn, menjadikan satu dgn, menggabungkan dgn: ia pun ~ dirinya dgn pergerakan wanita setempat; mereka memperhubungkan kami dgn seke­luarga orang perantauan lain; 4. menjadi­kan supaya berhubungan atau bertemu: ada jalan kereta api yg ~ Bangkok dgn Saigon; hubungan 1. sambungan, rangkaian: jikalau ada tersalah bahasanya atau aturan per­kataannya atau ~ hurufnya, saya minta ampun banyak-banyak; 2. hasil berhubung: kalau rakyat Belanda tidak sanggup melihat kebenaran ini, maka saya khuatir ~ antara Belanda dan Indonesia akan terputus; 3. kaitan, pertalian, sangkut paut: utk memper­eratkan ~ persaudaraan Islam; dlm ~ ini ber­kenaan apa yg telah dinyatakan (diterang­kan) atau yg sedang dibincangkan; ~ darah hubungan kekeluargaan; ~ diplomatik hubungan dgn perantaraan perwakilan (diplo­mat) antara negara-negara di dunia; ~ dua hala hubungan antara dua pihak yg secara langsung tidak melibatkan pihak lain; ~ batin = ~ jenis = ~ kelamin = ~ seks persetubuhan; ~ nyawa kekasih, kesayangan, buah hati; ~ ras (Ant) hubungan sosial yg terjalin antara anggota masyarakat yg berlainan keturunan atau bangsa dlm sesebuah masyarakat atau negara; sehubungan berkaitan dgn, bersangkutan dgn; perhubungan 1. hubungan: seluruh hidup manusia terdiri drpd ~nya dgn keluarga, jiran dan tetangga; pegawai ~ pegawai per­antaraan (utk menyelaraskan tugas bahagian-bahagian yg berlainan dlm ketenteraan, pejabat, dll); 2. alat lalu lintas (jalan raya, kereta api, surat-menyurat, pos, telegram, telefon, penerbangan, pelayaran, dll): ~ udara antara Malaysia dgn Indonesia dipulihkan sebaik-baik sahaja Perjanjian Bangkok ditandatangani; Kementerian P~ kemen­teri­an yg mengurus soal lalu lintas dll; 3. perihal berhubung(an) antara satu dgn yg lain (bkn negara dll): ~ diplomatik antara India dgn China semakin genting; perkara-per­kara mengenai ~ dagang antara kedua-dua negara dibincangkan dgn sedalam-dalam­nya; ~ awam amalan menjalinkan, menggalakkan atau memupuk semangat muhibah, kemes­­­­raan, imej yg baik dsb di kalangan orang ramai oleh atau terhadap sesebuah syarikat, firma, institusi dsb; ~ darah pertalian kekeluargaan; ~ perindustrian urusan perhubungan antara pihak majikan dgn para pekerja dlm industri, biasanya melibatkan aspek-aspek perunding­an secara kolektif dsb; penghubungan perihal atau perbuatan meng­hubungkan; penghubung (alat, orang, dll) yg meng­hubung(kan); kata ~ kata yg digunakan utk menghubungkan dua kata atau dua ayat; tanda ~ garis utk menghubungkan kata atau suku kata; perwira ~ Id pegawai perhubungan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[hu.bung] | هوبوڠ

Definisi : ; berhubung 1 bercantum dgn yg lain; bersambung; berangkai: Anjung rumah itu ~ dgn rumah ibu. 2 ada kaitannya atau ada sangkut pautnya; berkenaan; perkara-perkara yg ~ dgn pelajaran; Kedua-dua kejadian itu ~ antara satu dgn yg lain. 3 bertemu atau berjumpa: Dia berasa hairan mengapa rakannya tidak mahu ~ dgnnya. 4 bertukar-tukar fikiran dll dgn berbagai-bagai cara: Sekarang kita dpt ~ dgn orang yg jauh melalui telefon. berhubungan saling berhubung. menghubungi mengadakan pertemuan dll dgn; pergi menemui (utk memberitahu dll): Pihak polis telah ~nya petang semalam. menghubungkan 1 menjadikan berhubung; mencantumkan; menyambungkan: garisan lurus yg ~ dua titik. Sebatang jalan kereta api ~ bandar Johor Bahru dgn Kuala Lumpur. 2 menjadikan bersatu atau bergabung: Dia pun ~ dirinya dgn pergerakan wanita di kampungnya. 3 mengaitkan sesuatu (perkara dll) dgn yg lain; mempertali­kan: Dia telah ~ kisah itu dgn kejadian yg berlaku. hubungan 1 kaitan; pertalian: Pd masa ini, banyak hal dlm kehidupan kita yg ada ~nya dgn sains. 2 hasil berhubung: ~ antara kedua-dua negara itu masih baik. 3 ikatan atau pertalian (keluarga dsb): Saya mempunyai ~ keluarga dgn dia. perhubungan 1 hal berhubung; perkait­an; pertalian: Tidak terdapat sebarang ~ antara kedua-dua kejadian itu. 2 alat utk berhubung atau lalu lintas (jalan raya, kereta api, pos, telegram dll): Semua ~ di antara Pantai Timur dgn Pantai Barat telah terputus akibat banjir. 3 cara orang, negara dll berhubung antara satu dgn yg lain: ~ dagang pun bermula antara negeri China dgn Melaka. ~ awam amal­an menjalinkan, menggalakkan atau memupuk semangat muhibah, kemesra­an, imej yg baik dsb di kalangan orang ramai oleh sesebuah syarikat, institusi dsb. penghubungan perbuatan (cara dsb) menghubungkan. penghubung 1 orang yg menghubungkan. 2 alat yg digunakan utk menghubungkan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Apakah kata hubung pancangan dan kata hubung relatif?

Saudara,

Kata hubung pancangan ialah jenis kata hubung yang menyambungkan klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu kata hubung relatif, kata hubung pancangan komplemen dan kata hubung pancangan keterangan. 

Kata hubung relatif ialah perkataan yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain. Bentuk kata hubung jenis ini ialah 'yang'. 

 

  

Tatabahasa05.08.2010
Bolehkah Kata Hubung Pancangan digunakan pada hadapan ayat? Sekiranya boleh, berikan contoh penggunaan kata hubung tersebut. Terima kasih.Kata hubung pancangan menyambungkan satu ayat induk dengan satu atau lebih ayat kecil. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu; kata hubung pancangan relatif, kata hubung pancangan komplemen dan kata hubung pancangan keterangan. Kata hubung pancangan komplemen menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu kata hubung pancangan komplemen berfungsi menghubungkan satu klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada satu klausa utama. Dua kata komplemen yang sering digunakan ialah bahawa dan untuk. Contoh ayat ialah "guru itu menyatakan bahawa muridnya sangat rajin". "Untuk memaksa dia hadir adalah tidak wajar" dan "untuk banduan itu melepaskan diri sungguh mustahil". Kata hubung pancangan keterangan pula berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama. Kata keterangan yang biasa digunakan ialah kerana, hingga, kalau, agar, jika, sungguhpun, supaya, menjadi, untuk, apabila. Contoh ayat ialah "Kalau musuh menyerang, kami akan melawan". "Nira dikumpulkan untuk dibuat manisan dan tuak".Tatabahasa23.08.2013
Bagaimana untuk membezakan penggunaan kata hubung pancangan komplemen 'untuk' dan kata hubung 'untuk' pancangan keterangan

Kata hubung ialah perkataan yang bertugas untuk menghubungkan atau menyambungkan dua ayat tunggal atau lebih daripada dua ayat tunggal. Ayat yang terhasil daripada penyambungan dua ayat atau lebih daripada dua ayat dinamakan ayat majmuk. Kata hubung pancangan menyambungkan satu ayat induk dengan satu atau lebih ayat kecil. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu; kata hubung pancangan relatif, kata hubung pancangan komplemen dan kata hubung pancangan keterangan. Kata hubung pancangan komplemen menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu kata hubung pancangan komplemen berfungsi menghubungkan satu klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada satu klausa utama. Dua kata komplemen yang sering digunakan ialah bahawa dan untuk. Contoh ayat ialah "guru itu menyatakan bahawa muridnya sangat rajin". "Untuk memaksa dia hadir adalah tidak wajar" dan "untuk banduan itu melepaskan diri sungguh mustahil". Kata hubung pancangan keterangan pula berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama. Kata keterangan yang biasa digunakan ialah kerana, hingga, kalau, agar, jika, sungguhpun, supaya, menjadi, untuk, apabila. Contoh ayat ialah "Kalau musuh menyerang, kami akan melawan". "Nira dikumpulkan untuk dibuat manisan dan tuak".

Tatabahasa11.08.2008
Salam, bolehkan saya tahu? 1) Kata hubung 'kecuali' dan 'melainkan' merupakan kata hubung gabungan atau kata hubung pancangan keterangan? Terima kasih.Perkataan "kecuali" dan "melainkan" merupakan  kata  hubung pancangan keterangan.Tatabahasa24.06.2013
Kata hubung "manakala" tergolong dalam jenis kata hubung gabungan atau kata hubung pancangan keterangan?Saya ada terjumpa di bahagian Khidmat Nasihat ada mengatakan "manakala" tergolong dalam jenis gabungan. Bagi pertanyaan yang pula mengatakan "manakala" tergolong dalam jenis pancangan keterangan. Dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 3 (sekolah kebangsaan) mengatakannya tergolong dalam jenis gabungan. Yang mana satu yang betul? Terima kasih.Kata hubung "manakala" lazimnya digunakan dalam ayat pancangan keterangan seperti ayat  Dia tersenyum manakala melihat anaknya sudah terlena.Tatabahasa21.05.2015
Tuan, "cuba kata" ialah frasa atau kata majmuk? Adakah "cuba kata" ialah frasa atau kata majmuk (saya tak pasti) yang bertugas sebagai kata hubung (atau frasa hubung?) keterangan syarat? Kata hubung keterangan syarat seperti "jika", "jikalau", "andai kata", "seandainya". Jadi, adakah "cuba kata" ialah kata atau frasa hubung keterangan syarat?Tidak ada maklumat dan contoh penggunaan "cuba kata" dalam pangkalan data kami. Untuk makluman tuan kata majmuk dibina dengan rumus yang tertentu, tidaklah dengan hanya menggabungkan mana-mana dua perkataan untuk menghasilkan kata majmuk.Tatabahasa17.01.2015
Salam. Manakah yang betul, "hubungkaitkan" atau "hubung kaitkan"? Contoh: Hubungkaitkan kandungan haba dengan jisim air. Terima kasih.Ejaan yang betul ialah hubung kait, hubung kaitkan dan dihubungkaitkan. Apabila menerima apitan barulah disatukan ejaannya.Tatabahasa15.01.2015
Saya toiyeebah bendara sedang belajar di universiti fatoni, bahasa melayu dasar ini bertanya tentang bahasa. Apakah kata hubung? Terima kasih.Kata hubung bermaksud perkataan yang menggabungkan dua binaan ayat, klausa dan frasa, contohnya terdapat dua jenis kata hubung dalam bahasa Melayu, iaitu kata hubung gabungan dan kata hubung pancangan. Bagi membantu saudari mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kata sendi dan kata hubung, saudari boleh membuat rujukan pada Buku Tatabahasa Dewan.Tatabahasa23.02.2016
Apakah penggunaan kata hubung ‘yang’ digunakan?

Kata hubung yang merupakan kata hubung relatif iaitu perkataan yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain. Antara contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:

1.     1. Bas yang dinaiki adik saya itu bas ekspres 

2.     2. Kakak menggosok baju yang dijahit oleh emak

Tatabahasa05.01.2021
Soalan 1 : Masalah Mengenai Satu Kenyataan Ayat dalam Penggunaan Kata Hubung “Dan” dan “Atau” Saya mengalami kekeliruan dan mendapati bahawa terdapat masalah tatabahasa atau penggunaan kata hubung dalam beberrapa kenyataan ayat yang menggunakan penggunaan kata hubung “dan” dan “atau” digunakan secara serentak. Antara contoh yang telah saya temui dalam beberapa notis umum sebelum ini ialah: 1. Simpan harta benda anda yang berharga dan atau mudah alih di tempat yang berkunci dan atau bawa bersama 2. Elakkan berada/menggunakan laluan yang sunyi dan atau gelap Sekiranya pernyataan di atas salah, boleh saya mengetahui penjelasan kesalahan penggunaan kata hubung di atas dan apakah pembetulan yang sesuai yang wajar digunakan dalam ayat tersebut. Dan boleh terangkan lebih terperinci penggunaan kata hubung “dan” dan “atau” yang sesuai mengikut ayat tertentu. Diharapkan pihak tuan/puan dapat menjawab soalan yang diajukan Soalan 2: Apakah faktor yang menyebabkan kesalahan penggunaan tatabahasa penggunaan kata hubung di atas dan boleh jelaskan secara terperinci. Saya berminat untuk mengetahui masalah tersebut. Sekian terima kasih.Untuk makluman, kata hubung  "atau" ialah kata hubung yang bermaksud serupa (sama) dengan. Contohnya "askar atau tentera", "binatang atau haiwan", dan sebagainya. Maksud kedua "atau" ialah "salah satu antara hal". Manakala kata hubung "dan" ialah kata hubung yang menghubungkan dua perkataan (frasa atau ayat). Ini bermakna, kedua-dua kata hubung tersebut tidak boleh digandingkan serentak kerana fungsinya yang berbeza.Tatabahasa02.10.2016
12345678910...

Kembali ke atas