Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[hu.ruf] | حروف

Definisi : lambang dlm sistem bunyi (bahasa) yg daripadanya sesuatu perkataan dlm tulisan dibentuk, lambang-lambang abjad, aksara; buta ~ tidak tahu membaca dan menulis; mata ~ huruf satu demi satu; tahu mata ~ = celik ~ tahu membaca dan menulis; menurut ~ (bkn terjemahan) kata demi kata, harfiah; ~ awal (pangkal) huruf yg pertama pd sesuatu perkataan; ~ balok Id huruf tegak yg tidak bersambung (spt huruf cetak); ~ benar konsonan; ~ besar huruf besar digunakan utk menulis pd permulaan perkataan (pd per­mulaan ayat, nama orang atau tempat, dll); ~ cap huruf tegak yg tidak bersambung; ~ cetak huruf yg biasa dipakai dlm buku, risalah, dsb yg dicetak; ~ hidup = ~ bunyi = ~ harakah = ~ saksi vokal; ~ Jawi huruf Arab utk menulis kata-kata Melayu; ~ kawi = ~ winggi tulisan Jawa Kuno; ~ kecil huruf yg biasa dipakai (lwn huruf besar); ~ lepas huruf yg tidak disambungkan (dirangkai-rangkaikan); ~ mad Ar huruf-huruf (alif, wau, dan ya) sbg tanda bacaan yg panjang; ~ mati huruf benar; ~ miring huruf cetak yg ditulis miring; ~ ringkas kependekan (spt KL utk Kuala Lumpur); ~ Rumi (Rumawi) huruf spt yg digunakan dlm tulisan Rumi bahasa Melayu (yakni A, B, C, D, dan seterusnya); ~ sambung huruf yg dirangkai-rangkaikan; ~ tebal huruf cetak yg tebal dakwatnya; ~ tulis huruf yg biasa dipakai dlm tulis-menulis; berhuruf memakai huruf, yg ditulis dgn huruf: buku yg ~ Rumi; penghurufan proses, perbuatan, seni, atau cara menulis huruf pd sesuatu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[hu.ruf] | حروف

Definisi : lambang bertulis yg digunakan utk menyatakan bunyi dlm sesuatu bahasa; lambang dlm abjad. ~ awal huruf yg pertama dlm sesuatu perkataan. ~ benar huruf selain huruf saksi atau vokal; konsonan (l, s, t dll). ~ besar huruf yg berukuran dan berbentuk khusus, biasanya digunakan sbg huruf pertama bagi perkataan dlm ayat atau huruf pertama pd kata nama khas spt nama orang, nama tempat (mis, A, B, D, L). ~ cap huruf yg ditulis tegak dan tidak bersambung. ~ cetak huruf yg digunakan dlm cetak-mencetak. ~ Jawi huruf Arab yg digunakan utk menulis kata-kata dlm bahasa Melayu. ~ kecil huruf yg biasa digunakan, bukan huruf besar (mis, a, b, d, l). ~ miring (condong) huruf yg miring ke kanan bentuknya. ~ ringkas kependekan (spt KL bagi Kuala Lumpur). ~ Rumi (Roman) huruf menurut abjad Latin (spt a, A, b, B). ~ saksi huruf a, e, i, o, u; vokal. ~ tebal huruf yg dicetak tebal. berhuruf menggunakan huruf; ditulis dgn huruf: Berikan perkataan seerti bagi perkataan-perkataan yg ~ condong dlm ayat-ayat di bawah ini. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
huruf (kata nama)
Bersinonim dengan lambang, aksara, vokal, konsonan;,
Kata Terbitan : berhuruf,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Assalam. Mohon nyatakan bilangan huruf-huruf Arab dan senaraikan huruf-huruf tersebut. Terima kasih.1. Untuk makluman puan, huruf Arab terdiri daripada 28 huruf. Visual huruf-huruf tersebut tidak dapat dipaparkan di sini dan saya telah lampirkan melalui e-mel puan,  raihany@smartreader.edu.my
Lain-lain27.08.2018
Assalamualaikum. Ayat mana yang betul: (i) Senarai huruf dalam abjad Jawi, atau (ii) Senarai huruf-huruf dalam abjad Jawi? Terima kasih.Ayat yang betul ialah "Senarai huruf dalam abjad Jawi".Tatabahasa04.01.2014
Assalam. Saya ingin membuat carta Jawi bagi murid prasekolah. Mohon pandangan : 1.huruf ة (ta marbutah) dan ى (ye) adalah huruf Jawi atau sebaliknya? Sekiranya saya tidak meletakkan huruf-huruf ini, adakah ianya menjadi kesalahan dalam carta jawi yang saya ingin keluarkan? 2. Nyatakan rujukan kamus terkini bagi Rumi-Sebutan-Jawi? Terima kasih.Untuk makluman puan, huruf ة (ta marbutah) dan ى (ye) adalah termasuk dalam 37 abjad huruf Jawi dan terpakai untuk mengeja perkataan bahasa Melayu terutama serapan daripada bahasa Inggeris contohny (Kolonialisme) کولونياليسمى  dan bahasa Arab contohnya, (Surah)  سورة (Akhirat) اخيرة  
Untuk maklumat lanjutpuan boleh merujuk buku DAFTAR KATA BAHASA MELAYU RUMI-SEBUTAN-JAWI Edisi Kedua terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2016.
Ejaan28.05.2018
Assalamualaikum, 1) Huruf hijaiyah harus dieja dengan 1 y atau 2 y? Hijaiyah atau Hijaiyyah? 2) Huruf tersebut perlu dieja dengan huruf besar atau kecil? huruf hijaiyah atau Huruf Hijaiyah atau huruf Hijaiyah? Terima kasih.

Buat pengetahuan puan, kata hijaiyah wujud sebagai frasa di bawah entri ‘huruf’ dan dieja sebagai hijaiyah.

Lain-lain30.05.2019
Apakah nama-nama imbuhan yang mempunyai huruf besar itu seperti meN-, peN- dsb? Dan yang diterbitkan dari imbuhan seperti meN-. Contoh: men-, meng-. Apakah nama proses pertukaran huruf-huruf ini?Awalan meN-, PeN- dan sebagainya disebut alomorf.Tatabahasa24.02.2015
Yang manakah betul? 1. Murid-murid itu diajarkan cara membezakan antara huruf besar dengan huruf kecil. 2. Murid-murid itu diajar cara membezakan antara huruf besar dengan huruf kecil.Ayat yang betul ialah Murid-murid itu diajar cara membezakan antara huruf besar dan huruf kecil. Tatabahasa21.05.2022
HURUF KONSONAN DAN HURUF VOKALVokal ialah vokal tulen (Lin) huruf hidup atau huruf saksi. Terdapat enam fonem vokal dalam bahasa Melayu iaiti: a, e, é, i, o, u. Manakala konsonan pula ialah (Lin) huruf selain vokal seperti t, s, l, m, n, dan lain-lain. Sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (halaman 298) dan Ensiklopedia Bahasa Melayu (halaman 29,55,96) untuk mendapatkan keterangan lanjut.Tatabahasa19.04.2013
Assalamualaikum. Bagaimanakah cara yang betul untuk menulis huruf G dalam huruf besar? Begitu juga dengan huruf K. Saya bertanya kerana terdapat pelbagai variasi dalam penulisan huruf tersebut. Terima kasih.

Pihak DBP tidak mempunyai panduan khusus untuk penulisan huruf. Berdasarkan semakan dan penelitian bahan yang telah dihantar melalui e-mel kepada pihak kami. Perbezaan bentuk pada huruf tersebut merupakan hasil daripada variasi gaya penulisan. Tidak menjadi kesalahan menulis gaya yang berbeza untuk huruf kecuali jika huruf tersebut berubah menjadi huruf yang lain atau tidak boleh difahami.

Lain-lain23.03.2022
Yang mana sebutan yang betul Pangkal huruf atau huruf pangkal? Apakah maksud pangkal ayat? Terima kasihPangkal bermaksud awal atau permulaan. Berdasarkan makna yang tersebut frasa yang betul ialah huruf pangkal, iaitu huruf awal dalam sesuatu perkataan. Hal ini berbeza dengan pangkal kata dan pangkal ayat. Pangkal kata atau kata pangkal dan pangkal ayat atau ayat pangkal boleh wujud asalkan membawa maksud yang terkandung dalam konsep tersebut. Contohnya, pangkal ayat bermaksud permulaan ayat dan ayat pangkal bermaksud ayat awal yang mungkin wujud dalam ayat majmuk.Tatabahasa10.06.2013
Adakah huruf besar digunakan pada huruf “S” bagi dalam ejaan syarikat ABC Sdn Bhd? Dan huruf “K” dalam ejaan Kilang ABC Sdn Bhd?

Menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 96 kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada suatu orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar, manakala kata nama am ditulis dengan huruf kecil.

Perkataan “syarikat” ialah kata nama am. Oleh itu, huruf “s” ditulis dengan huruf kecil. Namun sekiranya nama perniagaan/organisasi itu ialah “Syarikat ABC Sdn. Bhd.” yang merujuk kepada kata nama khas, huruf “S” ditulis dengan huruf besar.

Begitu juga dengan kilang ABC Sdn. Bhd. Perkataan “kilang” ialah kata nama am. Oleh itu, huruf “k” ditulis dengan huruf kecil. Namun sekiranya nama perniagaan/organisasi itu ialah “Kilang ABC Sdn. Bhd.” yang merujuk kepada kata nama khas, huruf “K” ditulis dengan huruf besar.


Tatabahasa02.02.2024
12345678910...

Kembali ke atas