Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[i.ma.gi.na.si] | ايماݢيناسي

Definisi : daya khayal, daya atau kemampuan menggambarkan (sesuatu) dlm angan-angan atau mencipta sesuatu secara khalayan: ada pengarang yg dapat menceritakan sesuatu kisah itu dgn hanya berdasarkan ~nya sahaja; mengimaginasikan membuat gambaran dlm fikiran, membayangkan: saya fikir penulis harus ~ pembaca sbg bakal kekasihnya. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[i.ma.gi.na.si] | ايماݢيناسي

Definisi : kebolehan menggambarkan sesuatu dlm fikiran; apa-apa yg digambarkan dlm kepala. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
imaginasi (kata nama,)
Bahasa Asal :Inggeris
Bersinonim dengan daya khayal, kekreatifan, daya cipta, ilham, inspirasi, fikiran, wawasan.,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam. Apakah yang dimaksudkan dengan karya fiksyen sains?Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, fiksyen bermaksud karya sastera yang dicipta daripada imaginasi seperti novel dan cerita pendek, cereka; 2. cerita yang diada-adakan; memfiksyenkan menjadikan fiksyen, menjadikan hasil imaginasi.

Daripada definisi tersebut, karya fiksyen sains bolehlah ditakrifkan sebagai karya sastera seperti novel dan cerita pendek yang  bertemakan/berkaitan dengan sains.
Makna19.05.2015
Salam sejahtera, Saya ingin tahu terjemahan sesuai untuk perkataan Imagineer. Imagineer is a person who devises and implements a new or highly imaginative concept or technology, in particular one who devises the attractions in Walt Disney theme parks. Terima kasih.Cadangan terjemahan yang sesuai bagi "imagineer" ialah kejuruteraan imaginasi atau jurutera imaginasiMakna17.11.2020
apakah yang dimaksudkan dengan lirik?

Lirik pada umumnya merupakan segala bentuk puisi ynag diakui oleh kebanyakan penyair sebagai yang mempunyai unsur-unsur (antara lainya) subjektiviti, imaginasi, melodi dan emosi; dan berdasarkan unsur-unsur tersebut, lirik lebih merupakan suatu gaya penulisan puisi - bukan suatu bentuk puisi.

Dalam perkembangan penulisnya, pelbagai jenis pengucapan yang berunsur lirik telah dapat dikenal. Sebagai contoh: soneta, oda, balada dan  elegi adalah antara beberapa variasi pengucapan lirik yang berlainan dilihat dari sudut bentuk, persoalan dan mood. Kadang-kadang lirik dicipta untuk dinyanyikan, lantaran bentuknya yang penuh berirama, bermelodi dan mengandungi unsur-unsur emosi penyair atau penciptanya.  

Sekian dan salam.    

Lain-lain16.04.2009
Mohon berikan terjemahan kepada istilah "Lateral Thinking".Mengikut data kami, dalam bidang pentadbiran “Lateral Thinking” diberikan padanan “Pemikiran Lateral” yang merujuk pada analisis pemikiran untuk memperluas imaginasi dan mengalakkan ekspolitasi ingin tahu dengan mengenal pasti masalah baharu serta membentuk satu penyelesaian baharu.Istilah22.08.2017
Salam. Adakah ayat ini betul? " Dia menskrol telefon bimbitnya." dan apakah beza tahyul dan fantasi? terima kasih.Untuk makluman, tidak terdapat perkataan "menskrol" dalam bahasa Melayu. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, terdapat  perkataan menatal (bidang Komputer) yang bermaksud menggerakkan paparan teks (baris demi baris atau halaman demi halaman) pada skrin paparan ke atas atau ke bawah secara beransur-ansur.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat maksud "tahayul' dan "fantasi" adalah seperti yang berikut:

tahayul

1. hanya rekaan khayalan belaka (sebenarnya tidak ada), impian sahaja, hanya dalam angan-angan 
2. kepercayaan yang karut-karut (kepada sesuatu yang sebenarnya tiada)

fantasi

1. imaginasi yang tidak dibatasi oleh kenyataan, angan-angan
2. ciptaan imaginasi yang tidak terbatas, sama ada dinyatakan atau semata-mata dibayangkan
3. sesuatu yang dibuat (dipakai) untuk perhiasan (bukan untuk kegunaan sebenarnya)
Istilah24.12.2015
Apakah perbezaan kreatif dengan inovatif ?Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020):

kreatif  kata adjektif
1 (bekenaaan dengan seseorang) berkebolehan mencipta atau menghasilkan sst yg baharu, unik dan menarik serta berbeza drp yg lain:
Guru-guru yg kreatif dapat menarik minat pelajar dlm kelas.

2 (berkenaan dengan karya, penulisan dsb) bersifat unik, menarik dsb yg dihasilkan melalui daya imaginasi yg tinggi:
Karya-karya ini merupakan hasil kreatif pujangga tempatan dan sangat penting dlm perkembangan kesusasteraan Melayu

inovatif kata adjektif
(berkenaan dengan kaedah, idea dsb) bersifat inovasi:
Pelajar didedahkan dgn kaedah berfikir yg kreatif dan inovatif dlm menjana idea perniagaan.

inovasi kata nama 
1 teknik, sistem dll yg baru diperkenalkan sbg penambahbaikan kpd yg sedia ada: Bank ini telah menghasilkan beberapa inovasi dlm perkhidmatan bank, spt rangkaian ATM.
2 tindakan, usaha, daya dsb mengadakan atau memulakan sst yg baharu:
Kita perlu menggalakkan manusia menggunakan kebolehan kreativiti dan inovasi mereka.
kata kerja transitif 3 lihat menginovasi;

Dapat disimpulkan, sesuatu yang kreatif bersifat menarik, unik dan istimewa sifatnya, berbanding sesuatu yang inovatif biasanya dapat menjimatkan kos, tenaga, masa dsb dalam kehidupan kita.
Makna02.05.2023
Apa perbezaan hiperbola dan metafora?

Hiperbola  bermaksud gaya bahasa yang berlebih-lebihan dengan menggunakan metafora atau kiasan yang melampau. Hiperbola digunakan untuk melahirkan kesan kelucuan atau menegaskan sesuatu fakta dalam sesuatu situasi. Biasanya hiperbola terdapat dalam puisi dan drama cinta.

Metafora pula bermaksud kiasan yang membandingkan secara tersirat dua objek yang berlainan melalui daya imaginasi sehingga melahirkan konotasi yang segar dan baharu.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk https://prpm.dbp.gov.my/
Lain-lain20.08.2022
salam. saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang perbezaan diantara sastera komersial,karya serius,karya popular dan karya picisan. bolehkah karya serius,karya popular dan karya picisan dikaitkan dengan sastera komersial? bagaimana perkara ini berlaku? terima kasih
Menjawab persoalan tersebut, sila rujuk buku  "Sastera: pengalaman, ilmu, imaginasi dan kitarannya"Shahnon AhmadDewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan)1994

 

 

Lain-lain08.01.2009
Assalamualaikum dan salam sejahtera, Tuan, Bagaimana caranya untuk membeli buku DBP Totto Chan Gadis Kecil di Jendela? Merujuk kepada perkara di atas, besarlah harapan saya untuk dapat membeli semula naskhah buku karangan Tetsuka Kuroyanagi yang telah dialih bahasa ke Bahasa Melayu oleh pihak DBP seperti gambar foto yang dilampirkan. Ini berikutan buku tersebut yang pernah saya baca sewaktu kecil dulu telah hilang dalam simpanan dan saya amat sayang pada buku itu. Berulang kali membacanya tetap tidak jemu. untuk makluman pihak Tuan, saya telah lama berusaha mencari naskah buku alihbahasa dalam Bahasa Melayu tersebut untuk dibeli, namun masih gagal hingga kini. Buku alih bahasa Bahasa Melayu tersebut sangat indah susunan tulisannya membuatkan rasa berkesan dalam jiwa dan mencetus imaginasi cerita yang menarik dalam fikiran. Justeru itu, mohon pihak tuan untuk memaklumkan untuk saya dapat membelinya semula naskhah yang telah dialih bahasa dalam Bahasa Melayu yang sangat bagus tersebut. Segala perhatian dan kerjasama yang diberikan amat dihargai. Sekian, terima kasih. "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA" Saya yang menjalankan amanah, Rosewati Binti Mohd Yusuff

Salam sejahtera.

Buku Totto Chan Gadis Kecil di Jendela

Hasil semakan dalam sistem https://dbpniaga.my/. Judul tersebut tiada dalam stok. Ini kerana buku ini merupakan buku lama dan setakat ini tidak dicetak lagi. Kami mohon maaf atas kesulitan untuk mendapatkan buku tersebut.

Walau bagaimanapun, hasil semakan dalam sistem http://pustakav2.dbp.gov.my/. Judul  tersebut  ada dalam simpanan Pusat Dokumentasi Melayu, DBP. Memandangkan  sekarang ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekiranya puan ingin  membaca semula buku tersebut, bolehlah berurusan dengan Pustakawan DBP seperti maklumat yang berikut:

a. Dr. Wan Khairoslinda Wan Khairi: linda@dbp.gov .my

b. Mohd Salman bin Zainol : salman@dbp.gov.my.

Terima kasih atas keprihatinan dan Kerjasama.
Lain-lain05.08.2021
bagaimanakah cara untuk saya jadi seorang penulis novel?

Ada pelbagai cara untuk menjadi seorang penulis novel. Antaranya saudara perlu banyak membaca novel karya orang lain terlebih dahulu mengikut tema yang menjadi minat saudara seperti kisah cinta, penyiasatan, sejarah, misteri dan sebagainya. Teliti cara penulis itu menulis karya mereka dari segi pengadunan plot, watak perwatakan, latar, gaya, bahasa, teknik seperti monolog, dialog, saspens, imbas muka, imbas kembali, pembahagian bab, dan unsur lain yang menjalin struktur sesebuah cerita. Selain itu, saudara perlu mempunyai ilmu bantu yang merentas bidang seperti teori sastera, budaya, sains, psikologi, falsafah, sosiologi dan sebagainya, kerana penulisan merupakan gambaran kehidupan, sama ada yang berlaku di alam realiti ataupun imaginasi semata-mata. Saudara juga disarankan agar memasuki mana-mana kursus atau bengkel penulisan yang banyak diadakan oleh badan-badan penerbit, akademi penulisn atau orang perseorangan yang boleh menjadi mentor saudara. Pada masa ini juga banyak buku panduan menulis boleh didapati di pasaran, yang dapat memberi banyak panduan untuk saudara menulis. Mungkin saudara boleh mulakan dahulu dengan menulis cerpen untuk memantapkan penulisan saudara. Dan akhir sekali, untuk menjadi penulis fiksyen yang baik, mahu tidak mahu ia bergantung juga kepada bakat semula jadi seseorang itu. Jika seseorang itu dianugerahi Allah bakat  seni (kreatif) tanpa banyak belajar pun, dia akan menjadi penulis yang baik. Semoga saudara menjadi seorang penulis yang berjaya pada suatu hari nanti.

Lain-lain27.10.2010
12

Kembali ke atas