Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[im.bu.han] | ايمبوهن

Definisi : 1. bayaran tambahan, sagu hati: mereka belum lagi menerima sebarang ~ tetap sbg anggota Majlis Tempatan; 2. (Lin) penambah (awalan, akhiran, dan sisipan); (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[im.bu.han] | ايمبوهن

Definisi : 1 wang yg dibayarkan sbg sagu hati; bayaran tambahan. 2 penambah dlm ilmu bahasa spt ber-, ter-, -i, -kan yg dpt ditambahkan, atau -el-, -er- atau -em- yg dpt disisipkan pd kata dasar. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
imbuh
Kata Terbitan : mengimbuh, mengimbuhkan, imbuhan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
dalam imbuhan BM, terdapat imbuhan peN-, N yang berhuruf besar itu merujuk kepada apa? -dalam kategori peN, terdapat imbuhan pe-, dalam imbuhan biasa juga terdapat imbuhan pe-, apa beza imbuhan pe- di bawah peN dan pe- sahaja.Merujuk Tatabahasa Dewan, imbuhan peN...an, 'N' huruf besar kerana mewakili pe, per, peng, peny. Perubahan peN..an menjadi pe..an apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf m,n,ng,r,l,y dan w. Contoh: lari - pelarian, waris - pewarisan, manakala contoh imbuhan pe sahaja: lari - pelari, sara - pesara. Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 121-122.Tatabahasa08.04.2010
1) Apakah perbezaan antara imbuhan meN dan imbuhan beR?- kedua-dua imbuhan ini menunjukkan perbuatan. 2) Bagaimanakah kita boleh menentukan penggunaan imbuhan meN atau imbuhan beR bagi suatu kata kerja? Contohnya perkataan 'lari'. Mengapakah kita gunakan imbuhan beR yang menerbitkan perkataan 'berlari'? Mengapakah kita tidak menggunakan meN yang menerbitkan 'melari'?

Saudara Mirza,

Imbuhan meN...kan membentuk kata kerja transitif yang memerlukan objek,manakala imbuhan beR...kan membentuk kata kerja tak transitif. Cara menggunakannya bergantung pada ayat yang dibina. Perkataan 'lari' boleh menerima imbuhan beR... atau meN... .  Contoh: Mereka melarikan diri daripada tahanan. Mereka mengejar kuda yang sedang berlari di padang.

Penjelasan lanjut tentang aspek ini terdapat di dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 191-201.

Tatabahasa06.05.2010
saya ingin pewajaran pihak tuan/puan tentang imbuhan awalan memper- dalam bahasa melayu. seperti yang kita tahu, imbuhan awalan adalah terdiri daripada meN-,beR-,peN- dan sebagainya. iaitu imbuhan yang diawal atau didepan kata dasar. walau bagaimanapun, dalam bahasa melayu muncul imbuhan kompleks atau asmah menamakannya sebagai imbuhan pembahagi. imbuhan ini dalam sesetengah buku memberi contoh seperti men-kan, men-i, ber-kan,ke-an dan sebagainya.jika dilihat ia seakan-akan imbuhan apitan. dalam hal ini, yang menimbulkan masalahnya ialah berkenaan imbuhan kompleks. berdasarkan makluman yang saya ada, imbuhan kompleks adalah sejenis imbuhan yang terdiri daripada dua dan atau tiga imbuhan yang berlaku secara berperingkat. contohnya imbuhan memper- dilihat sebagai salah satu bentuk imbuhan kompleks tetapi tidak dinyatakan oleh penahu sebagai bentuk yang kompleks. sedangkan ia mempunyai ciri-ciri imbuhan yang kompleks. berdasarkan senario tatabahasa ini, saya ingin bertanya mengenai imbuhan beR- yang mempunyai variasi iaitu berke-an, berseke-an, berpen- dan banyak lagi yang merujuk kepada (berkemahiran, bersekedudukan, berpendapat). imbuhan beR- ini berdasarkan pendapat saya adalah kompleks. oleh itu saya amat mengharapkan pewajaran dari pihak yang berkenaan mengenai masalah ini iaitu tentang imbuhan memper- dengan ber- yang mempunyai bentuk yang kompleks.dan apakah yang membezakan kedua-dua jenis imbuhan ini?Imbuhan BeR- membentuk kata kerja. Perkataan yg menerima awalan ini menjadi kata kerja yg bersifat tidak transitif sama ada yg memerlukan pelengkap atau yg tidak memerlukan pelengkap. Pada dasarnya, terdapat satu bentuk awalan beR-  yakni beR- yg digabungkan dengan semua kata dasar (Rujuk dalam TataBahasa Dewan hlm 161-hlm 176). Manakala awalan mempeR- juga pembentuk kata kerja yg wujud hanya dalam satu bentuk. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan peR. Namun demikian, dalam ayat aktif peR- tidak boleh wujud tanpa awalan meN- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi dipeR-dalam ayat pasif (Rujuk dalam Tatabahasa Dewan hlm 177- 183) Terima kasih.   Tatabahasa16.09.2008
Bolehkah kata-kata seperti perkataan, imbuhan, ayat menjadi kata ganda? Adakah golongan perkataan ini ialah kata nama tak hidup abstrak? Contoh kata ganda: 1. perkataan-perkataan 2. imbuhan-imbuhan 3. ayat-ayatBoleh digandakan atau tidak digandakan, jika tidak digandakan sekalipun unsur jamak boleh dilihat dalam konteks ayat yang digunakan.Tatabahasa11.05.2014
adakah kita masih boleh menggunakan imbuhan 'i' seperti mengikuti atau mempelajari? Jika tiada imbuhan 'i' lagi, imbuhan apakah yang sesuai sebagai ganti?Penggunaan imbuhan hendaklah disesuaikan dengan maksud yang hendak disampaikan dan konteks penggunaannya dalam ayat. Untuk makluman tuan, imbuhan "i" membentuk kata kerja transitif yang membawa pengertian kausatif (menyebabkan sesuatu terjadi), seperti sudahi; dan membawa pengertian lokatif (menyatakan unsur tempat), seperti naiki. Oleh itu, penggunaan imbuhan "i" atau imbuhan lain hendaklah disesuaikan dengan konteks penggunaannya dalam ayat.Tatabahasa13.01.2016
Saya ada beberapa persoalan yang ingin dikemukakan kepada pihak tuan seperti yang berikut: 1. Apakah perbezaan di antara imbuhan awalan men.....,imbuhan berapitan men.....kan dan men.....i?Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan imbuhan seperti yang disebutkan di atas? 2. Apakah perbezaan di antara imbuhan awalan di.....,imbuhan berapitan di.....kan dan di.....i?Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan imbuhan seperti yang disebutkan di atas? 3. Manakah penggunaan kata arah yang betul? a.)Di dalam bilik tidur atau di bilik tidur b.)Di dalam rumah atau di rumah? c.)Menyusun buku di atas rak buku atau menyusun buku pada rak buku? 4. Apakah perbezaan maksud di antara kata arah (sisi,tepi,samping dan sebelah?Saya berasa tidak pasti dan waswas dengan penggunaan kata arah yang disebutkan dalam pembentukan ayat? 5. Apakah perbezaan maksud di antara merampas,merenggut,meragut? Sekian sahaja dengan penamatan persoalan saya dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tuan atas bantuan tuan untuk menyelesaikan kemusykilan saua.

1. Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif, sama ada transitif atau tak transitif, contohnya "menyala". Apitan  meN-...-kan terdiri daripada empat golongan kata utama, iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja, dan kata tugas untuk membentuk kata kerja transitif, contohnya "menghambakan". Apitan meN-...i terdiri daripada empat golongan kata utama, iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja, dan kata tugas boleh menerima apitan ini untuk membentuk kata kerja, contoh "membelakangi". Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, muka surat 151, 191, dan 202.

2. Awalan di- ialah awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja pasif bagi ayat yang subjek asalnya terdiri daripada pelaku orang ketiga, contohnya "ditulis". Apitan di...kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan.Segala ciri apitan ini dan maknanya tidak berubah daripada yang terkandung dalam imbuhan-imbuhan di- dan -kan. Seperti di-...-kan, apitan di-...-i  ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya "dipelopori". Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, muka surat 175, 202 dan 208.

3. Kedua-dua (a) dan (b) boleh digunakan mengikut konteks. Kata sendi nama di  digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat, manakala di dalam ialah penggunaan kata sendi nama di diikuti dengan kata arah dalam bagi menunjukkan kedudukan sesuatu benda itu dengan nyata.

4. Kata arah ialah sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk meunjukkan hala atau jurusan.  Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 286.

5. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, "merampas" ialah mengambil dengan kekerasan atau merebut. "Merenggut" bermaksud menarik (mengambil, mencabut, menyentak, merebut) dengan kekerasan atau merampas. "Meragut" bermaksud menarik (menyentak, merabut, mencabut) dengan paksa atau dengan kekuatan.

Tatabahasa05.01.2010
Apakah jenis imbuhan untuk perkataan belajar ? Kata dasar ialah ajar. Adakah imbuhan Bel-

Bagi perkataan "belajar", imbuhan yang digunakan ialah imbuhan awalan ber-, iaitu imbuhan yang ditambahkan pada bahagian hadapan kata dasar "ajar". Gabungan imbuhan ber- dengan kata dasar "ajar" menghasilkan kata terbitan "belajar", iaitu satu bentuk kekecualian.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 162.

Tatabahasa29.08.2023
Saya ingin memahami penggunaan imbuhan. Setahu saya, dalalm Bahasa Malaysia baku, imbuhan diperlukan terutamanya bagi kata kerja. Namun, terdapa beberapa situasi di mana imbuhan tidak diperlukan. Bolehkah saya tahu bila imbuhan sebuah kata kerja boleh digugurkan? Itu bermaksud, bilakah kita boleh menggunkan kata kerja dalam bentuk kata dasarnya?Kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja. Dalam bahasa Melayu, kata kerja terdiri daripada empat bentuk, iaitu kata kerja tunggal, kata kerja terbitan, kata kerja majmuk dan kata kerja ganda.

Kata kerja tunggal ialah kata yang terbentuk tanpa imbuhan. Dalam bahasa Melayu, kata kerja jenis ini tidak sebanyak kata kerha tang terbentuk dengan imbuhan dan boleh hadir sebagai predikat tanpa imbuhan. Kebanyakan kata kerja demikian bersifat tak transitif. Antara contohnya termasuklah ada, balik, ikut, jaga, keluar, terbang dan sebagainya.

Kata kerja terbitan ialah kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan, iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar dan melahirkan perkataan-perkataan terbitan.

Lazimnya, kata kerja tanpa imbuhan digunakan dalam cakap ajuk. Cakap ajuk ialah ujaran sebenar penutur yang lazimnya ditandai dengan intonasi atau tanda baca.
Tatabahasa20.02.2015
assalamualaikum... saya ingin bertanya tentang pembentukan kata terbitan (awalan, akhiran, apitan dan sisipan) dan pembentukan kata terbitan di dalam kata nama, kata kerja dan kata adjektif?

Puan Rabiatul Adawiyah,

Terdapat empat jenis imbuhan iaitu imbuhan awalan.

Imbuhan awalan contohnya tapa - menjadi pertapaan, tawa - menjadi ketawa

Imbuhan akhiran pula contohnya laut - menjadi lautan,ikut - menjadi ikutan

Imbuhan apitan pula contohnya tidak adil - menjadi ketidakadilan, salah guna - menjadi penyalahgunaan

Imbuhan kata sisispan pula contohnya - tapak menjadi telapak,kupas menjadi kelupas dan tunjuk menjadi telunjuk.

untuk maklumat lebih lanjut sila lihat buku tatabahasa Dewan pada halaman107 - 132. Terima kasih

 

 

Tatabahasa17.03.2010
1. Apakah ciri-ciri imbuhan awalan pinjaman? 2. Ada berapa jenis imbuhan awalan pinjaman dalam bahasa Melayu? 3. adakah imbuhan awalan pinjaman lain selain awalan pinjaman inggeris, sanskrit, arab-parsi dan yunani? 4. bolehkah pihak tuan memberi cadangan buku atau bahan yang sesuai dijadikan sebagai bahan rujukan berkaitan dengan imbuhan awalan pinjaman?Salam sejahtera,

Imbuhan pinjaman dalam bahasa Melayu terdiri daripada imbuhan awalan dan akhiran
Contoh: Imbuhan awalan ialah awalan  maha yang bermaksud sangat, amat atau teramat. Contohnya Mahaguru dan Mahasiswa manakala imbuhan akhiran ialah akhiran wan yang bermaksud pelaku atau pemilik. Contohnya Angkasawan dan Bangsawan.

Awalan asing (pra-, pasca-, maha- dan sebagainya) apabila digabungkan dengan kata nama am hendaklah dieja dengan satu perkataan seperti prasiswazah, pascasiswazah. Walau bagaimanapun ejaan ini berubah apabila awalan tersebut digabungkan dengan kata nama khas, seperti pra-Malaysia (bukan pramalaysia/praMalaysia). Awalan 'pra-' ialah awalan yang produktif yang menerbitkan kata nama untuk membawa pengertian sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Awalan 'pasca' ialah bentuk imbuhan yang menerbitkan kata nama untuk membawa pengertian sesudah.

Untuk maklumat lanjut, sila dapatkan buku Tatabahasa Dewan oleh Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmod terbitan DBP.

Sekian, terima kasih.
Tatabahasa21.10.2017
12345678910...

Kembali ke atas