Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[i.nai] | ايناي

Definisi : 1. sj tumbuhan (pokok kecil yg daunnya digunakan sbg bahan pemerah kuku dan jari), pacar, Lawsonia inermis; ~ batu a) sj tumbuhan (pokok renek), kelampadang, mata keli, Vaccinium malaccense; b) = ~ bukit sj tumbuhan (herba), Impatiens griffithii; ~ paya sj tumbuhan (herba) temegun, Hydrocera trifiora; 2. benda utk memerahkan kuku (dibuat drpd daun inai): ~ yg akan digunakan dlm istiadat bersanding telah siap digiling; menempek ~ = meletakkan ~ membubuh inai pd kuku dan jari; tari ~ tari piring; ~ tertepung, kuku tanggal prb kerja telah siap tetapi faedahnya tidak didapat kerana berlaku sesuatu; bagai ~ dgn kuku prb persahabatan yg sangat karib (tidak pernah bercerai); kaki tertarung ~ padahannya, mulut terdorong emas padahannya prb mesti berani menanggung akibat janji atau perbuatan; berinai memerahkan kuku dan jari dgn menggunakan inai, memakai inai: setelah selesai istiadat ~ itu, hidangan pun diangkat orang; ~ besar menempek inai pd malam menjelang hari perkahwinan (disaksikan oleh orang jemputan); ~ curi menempek inai yg hanya disaksikan oleh keluarga saja; menginai menempek inai pd kuku dan jari: pengantin itu akan diinai oleh keluarganya sendiri. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[i.nai] | ايناي

Definisi : nama sj pokok yg daunnya dpt digunakan utk memerahkan kuku, rambut dll, Lawsonia inermis. berinai memerahkan kuku dll dgn inai; membuat kuku jadi merah dgn menggunakan inai: Istiadat ~ dijalankan pd waktu malam. menginai membubuh atau melekatkan inai pd kuku, jari, dll: Asiah ~ jari-jari tangannya. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata inai

Puisi
 

Bunga melur bunga inai,
     Biji selasih di dalam timba;
Seberang alur seberang sungai,
     Kerana kasih kuturut juga.


Lihat selanjutnya...(5)
Peribahasa

Bagai inai dengan kuku.

Bermaksud :

Sangat karib (tentang orang bersahabat atau orang berkasih-kasihan). (Peribahasa lain yang sama makna: Bagai empedu lekat di hati).

 

Lihat selanjutnya...(5)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Maaf, saya ingin bertanya tentang istilah inai Mehendi bagi masyarakat India. Adakah betul ejaan tersebut di dalam bahasa Melayu? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Inai dan “mehndi” merujuk objek yang sama, iaitu sejenis tumbuhan yang daunnya ditumbuk untuk menghasilkan pewarna merah. “Mehndi” berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu “mendhika” yang juga merujuk pokok inai. “Mehndi” bukan perkataan bahasa Melayu. Inai sahaja sudah mencukupi untuk merujuk pokok atau bahan pewarna bagi jari, rambut dan sebagainya.

Istilah30.05.2020
Apakah maksud, 'Bagaikan serai ditimpa jambak' dan 'Jong jong inai, mak ipong rajawali'?Maksud 'Bagaikan serai ditimpa jambak' ialah menjadi celaka kerana perbuatan (kawan,kaum dan sebagainya) sendiri. Manakala 'Jong jong inai, mak ipong rajawali', pihak kami sedang membuat rujukan untuk menemukan maksud yang bersesuaian. Pihak kami juga telah mengambil butiran puan untuk tindakan selanjutnya.Lain-lain03.11.2010
Ayat di bawah betul???? 1. Di badan ikan itu terdapat tompok-tompok hitam. 2.Dengan kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami. 3. Inai memerahkan jarinya. 4Jangankan pergi ke Ipoh , Taiping pun belum pernah.Ayat 1) Di badan ikan itu terdapat tompok-tompok hitam. Ayat ini boleh dinakan, manakala bagi ayat kedua, digalakkan agar digunakan Kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami. Ayat ke-3. Inai memerahkan jarinya boleh digunakan. Manakala ayat keempat iaitu Jangankan pergi ke Ipoh , Taiping pun belum pernah juga boleh digunakan. Namun demikian, bagi membantu saudara mendapatkan penjelasan berkaitan perkara ini, saudara boleh membuat rujukan pada Buku Tatabahasa Dewan di bawah tajuk imbuhan me-kan-i.Tatabahasa27.06.2007
apakah maksud perkataan indonesia JOMBLO,ARJUNA,PACARBerdasarkan Kamus Bahasa Melayu Nusantara, jomlo bermaksud gadis tua, Arjuna bermaksud salah seorang daripada Pandawa lima atau lelaki yang dikasihi dan pacar bermaksud tumbuhan yang daunnya digunakan sebagai pemerah kuku, jari, rambut, dsb; inai atau teman lawan jenis yang tetap dan mempunyai hubungan cinta kasih; kekasih.Makna02.10.2006
Salam, Adakah 'yang mana' dalam ayat di bawah dikira salah? Seingat saya, dahulu pernah ada yang mengatakan "which"" atau "where" dalam BI tidak boleh diterjemahkan sebagai "yang mana". Jika betul tidak boleh digunakan, apakah kata lain yang lebih sesuai bagi menggantikannya dalam ayat di bawah? Adat berinai besar pula ialah adat yang mana ahli keluarga akan memakaikan inai kepada pasangan pengantin. Sekian, terima kasih.
Ayat perlu disusun semula seperti yang berikut:

Adat berinai besar pula merupakan adat memakaikan inai kepada pasangan pengantin oleh ahli keluarga.
Lain-lain10.05.2016

Kembali ke atas