Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[jum.pa.an] | جومڤاءن

Definisi : 1. perihal menjumpai, penemuan; 2. benda yg dijumpai: suatu isotop karbon dapat menentukan tarikh fosil dan ~ purba lain;perjumpaan perihal berkumpul atau ber­himpun (dlm mesyuarat, majlis ke­ramaian, dsb), pertemuan: ~ itu diadakan dlm suasana ramah-tamah; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[jum.pa.an] | جومڤاءن

Definisi : benda yg dijumpai: Berbagai-bagai ~ terdapat di bangunan lama itu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata jumpaan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Assalam Tuan, Saya keliru dalam menggunakan ialah dan adalah. Harap dapat tuan beri pencerahan. Disertakan teks di bawah. Terima kasih. Suhaimi. Rekabentuk kulit buku ini adalah artefak jumpaan batu nisan Aceh di Selangor. Nisan batu Aceh ini dijumpai di tapak Kampung Kedah, Kuala Selangor. (N 03° 22’ 095”- E 101° 17’ 692) Berdasarkan dari bentuk nisan batu Aceh ini adalah dari tipologi L. Pemilihan artefak ini sebagai gambar kulit depan buku adalah berdasarkan daripada keunikan bentuk dan motif batu nisan. Ini adalah bagi memaparkan nisan batu Aceh dari tipologi L kerana sebelum ini penerbitan berkaitan nisan batu Aceh umumnya memaparkan tipologi C. Paparan gambar batu nisan Aceh ini diambil secara insitu, seperti mana keadaan sebenar nisan batu Aceh di tapak. Secara visual gambar yang dipaparkan adalah tidak secara menyeluruh tetapi hanya menunjukkan dengan jelas bahagian puncak dan kepala nisan Batu Aceh yang mempunyai motif teratai. Bentuk dan keterangan lanjut mengenai nisan batu Aceh ini akan dipersembahkan dalam buku ini.

Berikut ayat yang telah dibetulkan penggunaan tatabahasa:

Reka bentuk kulit buku ini ialah artifak jumpaan batu nisan Aceh di Selangor. Batu nisan Aceh ini dijumpai di tapak Kampung Kedah, Kuala Selangor (N 03° 22’ 095”- E 101° 17’ 692). Berdasarkan daripada bentuk batu nisan Aceh ini adalah dari tipologi L. Pemilihan artifak ini sebagai gambar kulit depan buku berdasarkan kepada keunikan bentuk dan motif batu nisan. Perkara ini adalah bagi memaparkan nisan batu Aceh daripada tipologi L kerana sebelum ini penerbitan berkaitan nisan batu Aceh umumnya memaparkan tipologi C. Paparan gambar batu nisan Aceh ini diambil secara insitu, seperti keadaan sebenar batu nisan Aceh di tapak. Secara visual gambar yang dipaparkan tidak secara menyeluruh tetapi hanya menunjukkan dengan jelas bahagian puncak dan kepala nisan batu Aceh yang mempunyai motif teratai. Bentuk dan keterangan lanjut mengenai nisan batu Aceh ini akan dipersembahkan dalam buku ini.

Menurut tatabahasa bahasa Melayu kata pemeri hanya dua iaitu "adalah" dan "ialah". Dalam penggunaannya kata pemeri tidak boleh diikuti dengan kata kerja.  Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya.

Tatabahasa07.04.2015
Syawal Aiman 10.04 PAGI Assalam admin, nak bertanya Apakah beza perkataan 'majlis' dan 'istiadat'?Perbezaan Majlis dan Istiadat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Definisi Majlis ialah: 1. badan yg dilantik atau dipilih, yg mempunyai kuasa mentadbir, membuat per­aturan dan menasihat: M~ Perbandaran; M~ Keselamatan Negeri; 2. perjumpaan (orang ramai), keramaian: dia dikehendaki hadir dlm ~ itu; ~ bahas (perbahasan) perjumpaan tempat atau utk diadakan peraduan bahas; ketua ~ ketua dlm sesuatu perjumpaan; 3. tempat (bangunan dll) persidangan (per­jumpaan dll); ~ peguam majlis yg dibentuk atau ditubuhkan di bawah akta kehakiman yg mempunyai bidang kuasa mengawasi para peguam dan pengamal undang-undang. Manakala Istiadat pula ialah 1. peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yg sudah menjadi kebiasaan, adat kebiasaan, resam: dia masih budak, tidak tahu akan ~; adat ~ berbagai-bagai adat dan kebiasaan; 2. majlis rasmi utk menyambut sesuatu peristiwa (spt pertabalan, perkahwinan, dsb), upacara: ~ perkahwinan itu telah dijalankan dgn sempurna; beristiadat mempunyai (mengikut) istiadat: majlis yg penuh ~; mengistiadatkan 1. menjadikan istiadat (adat kebiasaan), membiasakan, melazimkan; 2. mengadakan istiadat (upacara).Makna24.08.2017
Selamat pagi tuan/puan, saya ingin mengajukan soalan tentang penggunaan perkataan sinonim yang sesuai bagi teks/ayat dibawah. 1. Ketibaan Perdana Menteri di perhimpunan rakyat itu disambut dengan meriah sekali. Berdasarkan ayat diatas, terdapat dua jawapan yang mengelirukan iaitu 1. Kehadiran 2. Kedatangan. Ramai guru menjawab soalan tersebut dengan jawapan 1. Kehadiran. Adakah jawapan 1. kehadiran sesuai dengan perkataan Ketibaan? Segala kerjasama pihak tuan/puan amatlah dihargai dan didahulukan dengan ucapan terima kasih.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata “ketibaan” membawa maksud perihal tiba (sampai), kesampaian, kedatangan.   Makna kata “kehadiran” pula ialah perihal hadir (di sesuatu per­jumpaan, mesyuarat, dan sebagainya), perihal berada (di sesuatu tempat dan lain-lain), adanya, kedatangan. Walau bagaimanapun, kesesuaian penggunaan perkataan ini perlu dilihat berdasarkan konteks ayat atau wacana ayat tersebut digunakan.

Contoh ayat:

       i.        Kedatangan pelajar di dalam kelas dicatat pada setiap hari.

     ii.         Ketibaan pelajar dalam Perhimpunan Bulanan KPM disambut oleh urus setia.

    iii.         Kehadiran kuasa besar boleh membawa kesan buruk kepada negara-negara Asia Tenggara.

    iv.         Kehadiran Perdana Menteri dalam perhimpunan rakyat itu disambut dengan meriah sekali.


Tatabahasa03.04.2020

Kembali ke atas