Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ka.ji] | کاجي

Definisi : 1. pelajaran (agama dll); ~nya masih rendah bacaan Qurannya masih sedikit; 2. cabang ilmu pengetahuan, pengetahuan atau penyelidikan (mengenai sesuatu); pendek ~ pendek kata, pendeknya; putus ~ sudah mengambil keputusan tetap (tidak boleh berubah lagi); ~ selidik kegiatan atau usaha mengkaji dan menyelidik utk mengetahui kedudukan dsb sesuatu dgn nyata; lancar ~ kerana diulang, pasar jalan kerana diturut prb kepandaian (kemahiran) diperoleh kerana dibiasakan mengerjakannya; sukar ~ pd orang alim, sukar wang pd orang kaya prb Mn orang berilmu tidak mudah atau cepat memutuskan sesuatu masalah atau membuat sesuatu keputusan dan orang kaya pula tidak mudah mengeluarkan wang kalau tidak mendatangkan keuntungan; mengaji 1. = ~ Quran (belajar) membaca Quran; (sudah) khatam ~ sudah selesai belajar membaca Quran (sudah boleh membaca Quran seluruhnya); ~ batang belajar membaca dgn tidak mengeja satu per satu perkataannya; 2. belajar, menuntut: ~ di sekolah kampung; akan ~ suratlah hilang, akan bertanya gurulah mati prb keadaan sulit yg tiada dapat diselesai­kan lagi kerana punca utk menyelesaikannya tidak ada lagi; mengajikan membaca Quran utk (orang yg telah mati); mengkaji menyelidik dan meneliti dgn mendalam atau terperinci (supaya benar-benar mengetahui sesuatu, supaya dapat membuat keputusan dll): sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk utk ~ rang undang-undang tersebut; ia berfikir dalam-dalam sewaktu ~ buruk dan baiknya hal itu; terkaji dapat diselidiki (diperiksa, diduga); tidak ~ tidak dapat diselidiki, tidak terduga; kajian 1. kegiatan (usaha, proses) mengkaji; ~ kes kajian tentang sesuatu isu (institusi, orang dsb) berdasarkan data, maklumat dsb terperinci yg dikumpulkan dlm jangka masa tertentu; 2. = pengajian; pengajian 1. usaha atau kegiatan belajar membaca Quran, pembacaan Quran: menjem-put Pak Lebai kerana hendak diadakan kenduri berkhatam ~; 2. penyelidikan (yg mendalam atau terperinci), pelajaran atau perolehan pelajaran (yg mendalam atau di peringkat tinggi), kajian: pegawai-pegawai dihantar utk membuat ~ lanjutan utk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dan kepakaran dlm bidang bahasa dan sastera; tamat ~nya di Universiti Malaya; Jabatan P~ Melayu di Universiti Malaya; pusat ~ tinggi universiti atau institusi pe­ngajian yg setaraf dgn universiti; P~ Jarak Jauh sistem pembelajaran secara sambilan yg ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi, yg menekankan pembelajaran secara sendiri di samping penggunaan bahan bantuan pem­belajaran spt pita rakaman, sesi tutorial dan sidang video; pengkajian perihal mengkaji, penelitian, penyelidikan: ~ dan penilaian karya-karya sastera; ~ utk mencari kegunaan baru getah masih dijalankan; pengkaji (orang) yg mengkaji: ~ sastera Melayu moden; ~ cuaca. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ka.ji] | کاجي

Definisi : sj ikan laut, Plectorhynchus spp. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ka.ji] | کاجي

Definisi : 1 pelajaran ttg agama. 2 cabang ilmu pengetahuan. ~ bintang ilmu ttg hal angkasa (keadaan atau pergerakan bintang, planet dsb); ilmu falak. ~ bumi ilmu ttg sejarah bumi (susunannya, pembentukannya dll) sebagaimana yg dpt dilihat pd kerak bumi, batu-batan dll. ~ cuaca ilmu ttg pergerakan dan perubahan udara terutama utk meramalkan cuaca. ~ daya a. ilmu ttg pergerakan dan tindakan daya pd benda-benda. b. ilmu ttg jentera: ~ daya kuasa ilmu ttg jentera (mesin) yg mengeluarkan daya sawat. ~ haiwan ilmu ttg binatang atau haiwan dan kehidupannya. ~ hayat ilmu ttg hidup-hidupan (tumbuh-tumbuhan dan haiwan). ~ kuman ilmu ttg kuman dan hubungannya dgn perubatan, industri dan pertanian. ~ penyakit ilmu ttg jenis, akibat dan sebab berlakunya penyakit. ~ purba kajian ttg benda atau tinggalan purba, terutamanya dr zaman prasejarah. ~ teknik ilmu ttg pengetahuan industri; teknologi. mengaji 1 membaca Quran: Budak itu sudah khatam ~. 2 belajar; menuntut ilmu: Anak saya ~ di sekolah kampung. mengkaji menyelidik dan memeriksa sesuatu dgn teliti; mempelajari: Ahli kaji bintang ~ hal angkasa, bintang, dan planet. mengajikan membaca Quran utk orang yg telah mati. terkaji dpt diselidik atau disiasat. kajian hasil drpd mengkaji sesuatu. ~ kes kajian ttg sesuatu isu, institusi, orang dsb berdasarkan data atau maklumat terperinci yg dikumpulkan dlm masa tertentu. pengajian 1 perbuatan atau hal mengaji. 2 cabang ilmu pengetahuan; pelajaran; pengetahuan: ~ ttg hal kuman disebut kaji kuman. ~ jarak jauh sistem pembelajaran secara sambilan yg ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi, yg menekankan pembelajaran secara sendiri di samping penggunaan bahan bantuan pembelajaran spt pita rakaman, sesi tutorial dan sidang video. pusat ~ tinggi universiti; institusi pengajian yg sama tarafnya dgn universiti. pengkajian perbuatan atau hal mengkaji; penyelidikan. pengkaji orang yg mengkaji: ~ bahasa. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
kaji
Kata Terbitan : mengkaji, kajian, pengajian, pengkajian, pengkaji,

Peribahasa

Membalik-balik kaji.

Bermaksud :

Membangkit-bangkit perkara yang telah lama.

 

Lihat selanjutnya...(7)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Saya ingin membuat kaji selidik. Tajuk kaji selidik dalam Bahasa Melayu ialah "Kaji Selidik Terhadap Kaedah Pembayaran Elektronik (e-pembayaran)" Soalan: Saya perlu pandangan penggunaan huruf besar bagi perkataan yang ada singkatan elektronik ‘e-‘ jika di permulaan ayat/tajuk. Adakah:- a) "Kaji Selidik Terhadap Kaedah Pembayaran Elektronik (E-pembayaran)"; b) "Kaji Selidik Terhadap Kaedah Pembayaran Elektronik (e-Pembayaran)"; c) "Kaji Selidik Terhadap Kaedah Pembayaran Elektronik (E-Pembayaran)"; atau d) "Kaji Selidik Terhadap Kaedah Pembayaran Elektronik (e-pembayaran)"?Jawapan yang betul ialah  'Kaji Selidik Terhadap Kaedah Pembayaran Elektronik (e-pembayaran)'Ejaan13.07.2020
Cikgu, berdasarkan buku Tatabahasa Dewan: Jika kata kerja majmuk diimbuhkan dengan awalan, perkataannya TIDAK perlu dipisahkan atau dijarakkan. Jadi, jika awalan "meN..." diimbuhkan pada perkataan "ulang kaji", akan dijadikan "mengulang kaji" atau "mengulang kaji"? Saya bertanya demikian kerana saya ternampak buku tersebut hanya memberikan contoh awalan "ber..." yang diimbuhkan pada kata kerja majmuk sahaja perkataan -nya perlu dijarakkan. Tolong berikan contoh awalan yang diimbuhkan pada kata kerja majmuk yang perkataannya perlu dijarakkan.Pada asalnya kata majmuk dieja dua perkataan seperti kuat kuasa dan kemas kini. Apabila menerima awalan atau akhiran kata majmuk masih deja dua perkataan seperti berkuat kuasa dan dikemas kini. Namun apabila kata majmuk menerima apitan sama ada apitan ke-...-an atau pe-...-an barulah dieja satu perkataan seperti dikuatkuasakan dan pengemaskinian.Tatabahasa07.05.2014
Mengulangkaji atau mengulang kaji? Ejaan yang manakah betul?Ejaan yang betul ialah mengulang kaji, sila rujuk kaji">http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=mengulang+kaji bagi mendapatkan panduan ejaan yang betul.Ejaan16.05.2020
Salam, Apakah ayat majmuk yang betul bagi kedua-dua ayat tunggal ini apabila digabungkan? 1. Suresh mengulang kaji pelajaran di rumah? 2. Suresh mengulang kaji pelajaran di perpustakaan? Adakah...? 1. Suresh mengulang kaji pelajaran di rumah atau di perpustakaan? 2. Suresh mengulang kaji pelajaran di rumah atau perpustakaan? Yang manakah betul dan apakah alasannya? Terima kasih.Ayat yang betul ialah "Suresh mengulang kaji pelajaran di rumah atau di perpustakaan?". 
Tatabahasa22.04.2014
Daripada perkataan "kaji", terbit perkataan "mengaji" hasil daripada penggabungan antara kata dasar "kaji" dengan awalan me-, dan huruf pertama k dalam perkataan "kaji" berubah menjadi ng. Saya memahami pembentukan kata terbitan "mengaji". Apa yang tidak saya fahami ialah mengapakah wujud bentuk "mengkaji"? Adakah ini suatu kekecualian dalam tatabahasa? Pada pengetahuan saya, apabila huruf k bergabung dengan awalan me-, huruf k itu pasti berubah menjadi ng, kecuali kata yang dipinjam daripada bahasa lain. Minta tuan jelaskan keadaan ini.Apabila awalan meN- digabungkan dengan perkataan kaji, huruf pertamanya tidak berubah untuk membentuk perkataan “mengkaji”. Hal ini berlaku kerana terdapat perkataan “mengaji” yang membawa maksud yang berbeza.Tatabahasa23.12.2014
Apakah terjemahan yang paling sesuai bagi istilah "Salary Market Surveys"? Adakah "Tinjauan Pasaran Gaji" atau "Kaji Selidik Pasaran Gaji"? Apakah perbezaan antara perkataan 'tinjauan" dan "kaji selidik"?Untuk terjemahan yang tepat, mohon saudara hubungi Persatuan Penterjemah Malaysia 03-21424381.
Maksud "tinjauan" ialah "perbuatan meninjau", manakala maksud "kaji selidik" pula ialah "kegiatan atau usaha untuk mengkaji dan menyelidik untuk mengetahui kedudukan disebabkan sesuatu yang nyata.
Penyemakan dan penterjemahan08.09.2014
definisi borang kaji selidik dan definisi comment cardBorang kaji selidik ialah borang untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki atau diminta tentang sesuatu perkara. Kad cadangan ialah kad atau borang yang disediakan untuk diisi oleh kumpulan tertentu jika ada sesuatu yang perlu dibaiki misalnya berkaitan sistem  perkhidmatan dan sebagainya. Makna12.08.2008
Cikgu, jadi "mengulang kaji" atau "mengulangkaji" barulah betul?Ejaan yang betul ialah mengulang kaji.Ejaan07.05.2014
manakah ayat yang betul ? a) Adik bangun daripada tidur. b) Adik bangun dari tidur. c) Adik sedang mengulang kaji pelajaran di dalam bilik bacaan. d) Adik sedang mengulang kaji di dalam bilik bacaan. Terima kasih.Ayat yang bgramatis ialah Adik bangun daripada tidur dan Adik sedang mengulang kaji pelajaran di dalam bilik bacaan.Tatabahasa02.11.2012
salam, Yang mana betul - mengulangkaji atau mengulang kaji.Ejaan yang betul ialah mengulang kaji.Ejaan28.07.2009
123456789

Kembali ke atas