Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ke.ber.ha.si.lan] | کبرحاصيلن

Definisi : perihal berhasil atau tercapai (sesuatu matlamat, rancangan, tujuan, usaha dll): suatu keistimewaan lain ialah ~ pengarang menggunakan monolog; ~ peng­gunaan istilah banyak bergantung pd masya­rakat penggunanya; ~ sesebuah novel; ~ sesuatu prosedur; (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Tesaurus
 
hasil (kata nama)
1. Rujuk dapat pendapatan

2. Rujuk panen

3. Bersinonim dengan keputusan: jawapan, penyelesaian, kesudahan,

4. Bersinonim dengan akibat: kesan, padah, reaksi, ekoran, risiko,

Kata Terbitan : berhasil, menghasilkan, keberhasilan, penghasilan, penghasil,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Bolehkah perkataan "project aoutcomes" diterjemahkan sebagai "keberhasilan projek"?Terjemahan keberhasilan projek boleh digunakan bagi perkataan tersebut.Penyemakan dan penterjemahan01.10.2019
Mengapakah kata seperti kebertanggungjawaban, keberadaan, keberhasilan, keberkesanan dan kata - kata seumpamanya menggunakan apitan ke-...-an dan bukannya per-...-an seperti pergaduhan (bergaduh), permainan (bermain), perjanjian (berjanji), percintaan (bercinta) dan seumpamanya? Salahkah jika kebertanggungjawaban saya tulis sebagai pertanggungjawaban, keberadaan sebagai peradaan, keberkesanan sebagai perkesanan dan keberhasilan sebagai perhasilan? Saya mohon pencerahan dan berterima kasih jika pihak DBP menjawab pertanyaan (kebertanyaan?) saya.

Apitan pe-...-an membentuk kata nama. Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat atau kawasan khusus, seperti petempatan dan pesisiran.  Hasil gabungan apitan ini dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas menandakan makna khusus, iaitu hal yang berkaitan dengan kata dasar atau hasil daripada melakukan maksud kata dasarnya  seperti perakuan dan persengketaan.

Untuk mengenal pasti kelas kata terbitan daripada apitan ke-...-an hendaklah melihat konteks penggunaannya dalam ayat. Dalam buku Tatabahasa Dewan, perkara ini diterangkan di bawah tajuk Aspek makna apitan ke-...-an (halaman 213), contohnya perkataan kehujanan ialah kata nama sepertimana fungsinya dalam ayat "Dia kehujanan di jalan".
Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 212-213

Tatabahasa22.11.2017
Assalamualikum tuan/puan. Terima kasih banyak kerana menjawab pertanyaan -pertanyaan saya. Ia sangat membantu. Saya ingin bertanya beza "hasil" dan "keberhasilan" Terima kasih.

Takrif dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) bagi hasil dan keberhasilan adalah seperti yang berikut:

 

hasil n

1 dapatan atau faedah drp sst usaha, kegiatan dsb: Setelah lima tahun bercucuk tanam, ladang itu memberikan hasil yg lumayan.• Penangkapan Razlan itu ialah hasil pengintipan selama sebulan.

2 sst yg diperoleh atau dikeluarkan drp pokok, tanah, hutan dsb: Myanmar ialah sebuah negara yg kaya dgn hasil hutannya. • Orang Senoi mengutip hasil padi mereka dgn menggunakan tuai.

3 ki sst kebaikan atau keburukan yg timbul selepas berlakunya sst kejadian, tindakan dll: Mereka menggunakan senjata termoden hasil teknologi paling canggih. Keselesaan yg dinikmati ialah hasil pengorbanan dan perjuangan generasi sebelum ini.

4 pendapatan yg diperoleh sso, syarikat atau negara drp kutipan cukai, denda, sewa dll: Sekiranya orang yg dituduh itu tidak hadir pd hari perbicaraannya, maka wang jaminannya itu akan hilang dan menjadi hasil kerajaan.

 

 keberhasilan n

1 hal beroleh hasil atau kesan: Keberhasilan penggunaan istilah banyak bergantung pd masyarakat penggunanya. Dia menerangkan cara utk meningkatkan keberhasilan perniagaan di Internet.

2 sst yg dicapai atau diperoleh: Mari sama-sama kita berkongsi ttg keberhasilan yg dicapai sepanjang Ramadan.

Lain-lain06.07.2021
perbezaan penggunaan tata bahasa antara 1. pelaksanaan atau perlaksanaan? 2. kemenjadian dan keberhasilan atau keterhasilan serta penggunaan gramatis dalam ayat, terima kasih.1. Pelaksanaan dan perlaksanaan, kedua-dua kata tersebut adalah betul. Apabila merujuk kepada perihal melaksanakan, penggunaan yang betul ialah pelaksanaan dan apabila merujuk kepada hasilnya maka kata perlaksanaan yang digunakan. Contohnya: Pelaksanaan KBSR (3M) tahap pertama sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan; Mesyuarat pada minggu hadapan akan membentangkan laporan pasca perlaksanaan Sukma pada tahun ini.

2. 
Perkataan kemenjadian belum ada dalam mana-mana buku terbitan kami. Perkataan kemenjadian boleh dibentuk yang bermaksud perihal menjadi tetapi perkataan ini jarang-jarang atau tidak digunakan dalam mana-mana wacana.

Keberhasilan pula ialah perihal berhasil atau tercapai (sesuatu matlamat, rancangan, tujuan, usaha dll): Contoh ayat;
Suatu keistimewaan lain ialah keberhasilan pengarang menggunakan monolog;
Keberhasilan peng­gunaan istilah banyak bergantung pada masya­rakat penggunanya; 
Tatabahasa26.09.2013
Jika dulu perkataan 'keberkesanan' sering digunakan. Kini perkataan 'keberhasilan ' pula dipopularkan. Adakah perkataan seperti 'kebersebaban', 'kebersahihan', 'kebergunaan', 'keberlebihan' dan keberimpakan boleh digunakan ?

Kata terbitan kebersebaban dan kebergunaan ada digunakan dalam kamus dan istilah DBP, keberlebihan - tidak terdapat contoh penggunaannya dalam kamus tetapi kata terbitan ini boleh dibentuk kerana ada kata kerja berlebihan, walau bagaimanapun tidak terdapat contoh penggunaan kata kebersahihan dan keberimpakan dalam sumber rujukan kami.

Tatabahasa17.04.2010

Kembali ke atas