Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ke.la.bu] | کلابو

Definisi : 1. warna spt abu; 2. ki suram, tidak ceria: perasaannya tetap ~; mengelabui = ~ mata ki menyelindungkan keburukan (kecurangan dll) drpd pengeta­huan umum, mengelirukan atau menyesatkan perhatian orang (dgn menggunakan mus­lihat), mengabui (mata), memperdaya, me­nipu: memang ada cara-cara utk ~ orang-orang asing sehingga mereka tidak dapat menangkap apa yg dimaksudkan; mengelabukan menjadikan berwarna kelabu, mewarnai dgn warna kelabu; kekelabuan keadaan kelabu; kekelabu-kelabuan seakan-akan warna ke­labu, agak kelabu: cerobong asap berwarna coklat tua dan ~. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ke.la.bu] | کلابو

Definisi : warna spt warna abu: ~ asap (warna) kelabu spt warna asap. mengelabui, = ~ mata melindungi sesuatu (keburukan, kejahatan dll) drpd pengetahuan umum; mengelirukan (orang); menipu: Sifatnya yg lemah lembut itu semata-mata utk ~ mata orang ramai. mengelabukan menjadikan berwarna kelabu; mewarnai (lukisan dll) dgn warna kelabu. kekelabuan keadaan kelabu. kekelabu-kelabuan seakan-akan warna kelabu; agak kelabu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
kelabu (adjektif)
1. Bersinonim dengan pirau: warna abu

2. Bersinonim dengan suram: kelam, tidak ceria.,


Puisi
 

Ayam korek kelabu sentang,
     Mari ditambat limau nipis;
Encik mudik hari dah petang,
     Bentang tikar tunduk menangis.


Lihat selanjutnya...(9)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Maafkan saya, saya mempunyai soalan yang ingin diajukan. Dalam kamus Perdana, saya mendapati lembu daging didefinisikn sebagai lembu yang berwarna putih, merah keperang-perangan, hitam atau kelabu. Selain itu, lembu daging juga didefinisikan sebagai lembu yang berbonggol di bahagian atas bahu badannya dan diternak khusus untuk dagingnya. Jadi, soalan saya, adakah lembu yang berwarna coklat tetapi mempunyai ciri-ciri dalam definisi tadi dikatakan juga sebagai lembu daging? Atau lembu-lembu yang telah dinyatakan warnanya sahaja serta yang mempunyai ciri-ciri tersebut dikatakan sebagai lembu daging?Ya. Lembu yang berwarna coklat termasuk dalam kategori lembu yang berwarna merah keperang-perangan. Yang penting ciri utamanya ialah lembu tersebut diternak untuk dagingnya, bukan untuk susu atau untuk membuat kerja.Makna31.03.2023
APA ITU JENIS KATA ADJEKTIF DAN CONTOH-CONTOHNYA?

Saudara Mohd. Iqbal,

Kata adjektif dibahagikan kepada sembilan jenis, iaitu

   i. kata adjektif sifatan atau keadaan : baik, curiga, cerdik, lemah

  ii. kata adjektif warna : merah, putih, ungu, kelabu

 iii. kata adjektif ukuran : panjang, kecil, besar, tebal

 iv. kata adjektif bentuk : bulat, leper, lurus, kempis

 v. kata adjektif waktu : awal, cepat, segera, lampau

 vi. kata adjektif jarak : jauh, dekat, hampir,rapat

 vii. kata adjektif cara : laju, gopoh, jelas, perlahan

viii. kata adjektif perasaan : rindu,benci, suka, marah

 ix. kata adjektif pancaindera : sedap, manis, payau, masin,kelat

Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. 

  

 

Tatabahasa10.01.2010
Assalamualaikum. Di sini terdapat beberapa soalan yang ingin saya tanyakan mengenai salah atau betul penggunaannya. Diharap pihak DBP dapat membantu. 1. hari ini hari (ke-40) ... @ keempat puluh... 2. pada usia (sepuluh) tahun... @ 10 tahun... 3. setiap (10, 15) hari... @ sepuluh, lima belas hari... 4. dia beri Amir (RM 20)... @ dua puluh ringgit... 5. harga sekeping kuih, (40 sen)... @ empat puluh sen... 6. hari (ke-29 April)... @ hari kedua puluh sembilan April.. 7. umurnya (1200) tahun @... seribu dua ratus.. 8. 20 sungai... @ dua puluh 9. siang kelabu dalam gerimis (Enam Mei)..@ 6 Mei... 10. hari ini hari ke dua puluh tiga Jun, musim 1895 @ hari ini 23 Jun, musim 1895. Terima kasih atas perhatian dan bantuan pihak DBP.

Nombor yang kurang daripada sepuluh hendaklah dieja sepenuhnya (kecuali dalam ayat matematik atau teknik), manakala nombor 10 ke atas boleh dicetak dengan angka. Cara penulisan yang betul ialah: 1. hari ini hari ke-40; 2. pada usia 10 tahun; 3. setiap 10, 15 hari; 4. dia beri Amir RM20; 5. harga sekeping kuih, 40 sen; 6. hari ke-29 dalam bulan April/29 April; 7. umurnya 1200 tahun; 9. siang kelabu dalam gerimis 6 Mei (tarikh); 10. hari ini hari ke-23 dalam bulan Jun, tahun 1895/hari ini 23 Jun, tahun 1895.

Tatabahasa07.04.2011
Slm. Boleh bantu saya untuk periksa ayat-ayat di bawah ini sama ada betul atau tidak? 1. Dalam perjalanan pulang, Ibu Angsa tidak nampak Si Ketam yang duduk di tepi tasik. 2. Setelah memerikda sangkar Dodo, baru;ah pengawal keselamatan itu menyedari bahawa Dodolah beruang yang terlepas dari sangkar itu. Pengawal itu menyesali perbuatannya yang cuai. Jika Dodo terlepas dan bertindak ganas terhadap manusia, pasti sesuatu yang buruk akan berlaku. 3.Gunting ini boleh digunakan untuk menggunting banyak benda," kata bapa arnab sambil memotong/memangkas bunga. 4. Keesokan hari/keesokan harinya 5. Jom kita main baling-baling buah? ajak Si Tupai Kelabu. 6. Sedang Si Buaya termenung, tiba-tiba dia nampak seekor monyet sedang bergayut dari sebatang pokok ke pokok yang lain. 7. Tiba-tiba, Si Buaya berenang masuk ke dalam air sehingga air melepasi kepala Si Monyet pula. 8. Ha...ha...ha..kamu telah ditipu, wahai Si Buaya yang jahat! Hati saya tidak pernah tanggalkan badan saya,"kata Si Monyet.Ayat nombor 1 betul.

Ayat nombor 2 perlu diperbetulkan seperti yang berikut: Setelah memeriksa sangkar Dodo, barulah pengawal keselamatan itu menyedari bahawa Dodo terlepas dari sangkar itu. Pengawal itu menyesali perbuatannya yang cuai. Jika Dodo terlepas dan bertindak ganas terhadap manusia, pasti sesuatu yang buruk akan berlaku.

Ayat nombor 3 perlu dimasukkan tanda "    " kerana merupakan dialog. "Gunting ini boleh digunakan untuk menggunting banyak benda." Kata bapa arnab sambil memangkas bunga.

Ayat nombor 4 perlu diperbetulkan seperti yang berikut: Pada keesokan hari/harinya

Ayat nombor 5 perlu dimasukkan tanda "    " kerana merupakan dialog. "Jom kita main baling buah." Ajak Si Tupai Kelabu.

Ayat nombor 6 perlu diperbetulkan seperti yang berikut: Sedang Si Buaya termenung, tiba-tiba Si Buaya ternampak seekor monyet sedang bergayut dari sebatang pokok ke pokok yang lain.

Ayat nombor 7 dan nombor 8 tidak difahami dan tidak jelas.
Penyemakan dan penterjemahan10.12.2018
Soalan 1: Yang manakah betul? "Dengan 3 langkah mudah" "Dalam 3 langkah mudah" Dengan atau Dalam, manakah yang lebih tepat? Soalan 2: Untuk aturan adjektif dalam BM, adakah terdapat susunan yang perlu diikut? contohnya adjektif berkaitan rupa, saiz, warna, pendapat, dan seterusnya? tolong berikan penerangan ringkas.1. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud "dengan" ialah "kata yg digunakan untuk menunjukkan cara sesuatu itu dilakukan" manakala "dalam" pula bermaksud yg "berkaitan dengan atau terbatas pada lingkungan sesuatu". Maka ayat yang lebih sesuai ialah "dengan tiga langkah mudah".


2. Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Kata adjektif dibahagikan kepada sembilan jenis, iaitu:


i. Kata adjektif sifatan atau keadaan : baik, curiga, cerdik, lemah


ii. Kata adjektif warna : merah, putih, ungu, kelabu


iii. Kata adjektif ukuran : panjang, kecil, besar, tebal


iv. Kata adjektif bentuk : bulat, leper, lurus, kempis


v. Kata adjektif waktu : awal, cepat, segera, lampau


vi. Kata adjektif jarak : jauh, dekat, hampir, rapat


vii. Kata adjektif cara : laju, gopoh, jelas, perlahan


viii. Kata adjektif perasaan : rindu,benci, suka, marah


ix. Kata adjektif pancaindera : sedap, manis, payau, masin, kelat


Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP,2014), halaman 225.

Tatabahasa19.03.2024

Kembali ke atas