Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ke.rin.duan] | کريندوان

Definisi : perihal rindu (rasa rindu, ke­inginan dan harapan akan berjumpa, dll): ~ tidak akan ada lagi apabila mata ber­ten­tangan; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ke.rin.duan] | کريندوان

Definisi : keinginan hendak berjumpa dgn orang yg dikasihi dll; rasa rindu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata kerinduan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Saya Nur-ainee Wealoh Belajar Bahasa Melayu Dasar Ingin Bertanya Bahasa Melayu Apakah makna Nastalagia Terima KasihUntuk makluman, "Nastalgia" tidak ada dalam data DBP. Akan tetapi, "Nostalgia" bermaksud kerinduan pada sesuatu yang pernah dialami (dinikmati dan sebagainya) pada masa lalu.Makna28.10.2015
Tuan; 1- Adakah wujud perbezaan dalam penggunaan nostalgia dan kenangan? Jika ada perbezaan, boleh tuan berikan contoh ayat? 2- Toleransi sama juga maksud dengan tolak-ansur. Benarkah?

1. Nostalgia bermaksud kerinduan pada sesuatu yang pernah dialami (dinikmati dan sebagainya) pada masa lalu atau kenang-kenangan disertai keinginan terhadap sesuatu yang telah berlalu, manakala kenangan pula ialah apa yang dikenangkan atau yang timbul (terbayang) dalam ingatan tetapi tidak membabitkan perasaan rindu atau keinginan terhadap sesuatu.

2. Toleransi ialah sikap toleran, iaitu sedia menghormati atau menerima pendapat orang lain yang berbeza daripada pendirian sendiri, manakala tolak ansur saling menuruti atau saling memberi.

Makna30.09.2011
Saya masih mempunyai kemusykilan mengenai 'Merisik Khabar', Sudirman, walaupun telah merujuk di 'Carian Kata' Adakah perkataan 'kapar' itu digunakan dalam konteks yang betul? Terima kasih. Azhar Lagu: Terkapar-kapar ku kelemasan Sakit dilambung ombak kerinduan Di dalam tidur di dalam jaga Diburu oleh mimpi yang serupa Mengapa aku jadi tak menentu Keranamu...Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, terkapar bermakna terbaring (tidak berketentuan). Untuk mengetahui sebarang makna perkataan, sila rujuk Kamus Dewan. Harap maklum.Makna10.12.2008
sukar bezakan 'mengenang',' mengenangi' dan 'mengenangkan'

Mengenang ialah mengingat (akan), memikir (akan): ia tersentak drpd ~ untung dan suratan dirinya; ~ budi mengingati budi (jasa), menghargai perbuatan baik (orang);

Mengenangkan ialah 1. = mengenangi : menimbulkan kembali dlm fikiran (ingatan), membayangkan kembali serta memikirkan, mengingati (dgn perasaan tertentu spt kesedihan, kesayuan, belas kasihan, kerinduan, kegembiraan, dll): belas hatinya ~ hal si Tirim yg malang itu; fikirannya terharu ~ hidupnya di kampung dahulu; 2. membuat atau menjadikan (seseorang) teringat, mengingatkan: pertemuan dgn anaknya ~ dia akan masa yg lampau;

Tatabahasa18.03.2010
Salam sejahtera. Tolong bantu saya. 1) Kata penguat bebas ; sangat, amat, sungguh boleh diletakkan di hadapan kata adjektif atau di belakang kata adjektif. Jika diletakkan di hadapan kata adjektif,pastinya boleh menerima perkataan sekali. Contohnya, Zali amat baik sekali. Adakah hanya perkataan 'sekali' sahaja yang boleh diterima atau adakah perkataan lain? 2) Bolehkah sungguh, amat dan sangat digunakan serentak seperti ayat ini? Jika boleh, kenapa? Ayatnya : Amir mengalami kerinduan yang amat sangat terhadap neneknya di kampung. 3)Kata penguat belakang ....nian. a)Adakah 'nian' digunakan hanya untuk pemandangan? b)Bolehkah 'nian' digunakan dengan kata penguat bebas;sangat, amat, sungguh?Contoh frasa; amat indah nian, dan sangat dalam nian. Adakah kedua-kedua frasa ini betul? 4)Antara frasa di bawah,yang manakah betul? a) Dedaun berguguran, atau b) Daun berguguran 5)Adakah perbezaan antara 'mengajar' dan 'mengajarkan'. Keadaan bagaimanakah harus kita bezakan penggunaannya? Terima kasih kerana sudi meluangkan masa.

1) Sekali ialah kata penguat belakang sama seperti sungguh, benar dan nian. Oleh itu, semua kata penguat belakang boleh digunakan selain daripada sekali.

2) Amat sangat bermaksud terlalu atau terlampau dan boleh digunakan secara serentak. 

3) Amat indah nian sangat dalam nian, kedua-dua frasa ini betul.

4) Daun berguguran.

5) Mengajar bermaksud menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dan sebagainya) kepada orang lain. Mengajarkan bermaksud mengajar sesuatu (kepada seseorang dan lain-lain), memberi sesuatu pelajaran (ilmu pengetahuan, kemahiran, dan sebagainya).

Tatabahasa03.08.2011
Yang mana tepat i )Sumbangan diberikan bagi mengenangkan jasa perajurit atau... ii)Sumbangan diberikan bagi mengenang jasa perajurit Apakah perbezaan antara mengenangkan dengan mengenang

Sekiranya diteliti makna kedua-dua kata terbitan yang diberikan di bawah, kata "mengenang" lebih tepat untuk digunakan.

Mengenang: mengingat (akan), memikir (akan): ia tersentak drpd ~ untung dan suratan dirinya; ~ budi mengingati budi (jasa), menghargai perbuatan baik (orang);

Mengenangkan:1. = mengenangi menimbulkan kembali dlm fikiran (ingatan), membayangkan kembali serta memikirkan, mengingati (dgn perasaan tertentu spt kesedihan, kesayuan, belas kasihan, kerinduan, kegembiraan, dll): belas hatinya ~ hal si Tirim yg malang itu; fikirannya terharu ~ hidupnya di kampung dahulu; 2. membuat atau menjadikan (seseorang) teringat, mengingatkan: pertemuan dgn anaknya ~ dia akan masa yg lampau; 

Makna31.07.2009
Apakah makna atau erti istilah SAYANG dan CINTA dan apakah beza antara kedua-dua perkataan ini.

Encik Kamal,

Perkataan sayang bermaksud 1 menaruh rasa kasih atau rasa cinta: ~ benar dia kpd suaminya. 2 perasaan kasih atau cinta: Dr mana datangnya ~, dr mata turun ke hati. 3 menaruh perasaan belas atau kasihan; berasa kesal: ~ aku melihat pengemis tua itu. ~ sekali jika kamu tidak melanjutkan pelajaranmu. 4 panggilan utk orang yg dikasihi; buah hati: ~, mari ayah dukung. bersayang-sayangan saling berasa sayang; berkasih-kasihan. menyayangi 1 berasa sayang akan; mengasihi; men­cintai: Dia sangat ~ anak dan isterinya. 2 berasa kesal terhadap sesuatu; menyesali: Apa gunanya ~ perkara yg telah berlaku? kesayangan 1 rasa kasih dan sayang; perasaan sayang; cinta kasih: ~nya terhadap cucunya itu amat mendalam. 2 apa-apa yg disayangi atau yg disukai: Dia terpaksa meninggalkan anak dan isteri ~nya utk melanjutkan pelajaran ke luar negara. penyayang (orang yg) bersifat sangat menyayangi sesuatu: ibu yg ~.

Perkataan cinta bermaksud 1. perasaan atau berperasaan sangat sayang kpd (negara, orang tua, kebebasan, dll): walaupun ~nya kpd keamanan amat kuat tetapi ia tetap mengangkat senjata kalau dicerobohi; 2. perasaan atau berperasaan sangat berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: ~ kpd suaminya masih tinggal bersarang dlm hati; barangkali kau masih ~ pd tunanganmu; 3. sl perasaan atau berperasaan dukacita (risau, bimbang, sedih, dll): tiada terperikan ~nya serta bercucuran air matanya; 4. perasaan atau berperasaan ingin akan sesuatu, rindu: putera raja itu amat sangat ~ akan burung yg dilihatnya itu; ~ berahi terlalu sangat cinta (asyik maksyuk); ~ kasih sangat cinta dan kasih (kasih sayang); ~ monyet cinta yg hanya sementara dan tidak serius, terutamanya di kalangan remaja; ~ pandang pertama cinta yg timbul terhadap seseorang walaupun baru pertama kali melihat atau bertemu dengannya; cintakan cinta akan, mencintai; bercinta 1. menaruh rasa cinta atau berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: elakkan drpd ~ sebelum lulus pelajaran; 2. berasa rindu; 3. ki berat rasa hati utk melakukan sesuatu (kerana sesuatu sebab yg kurang menyenangkan): kami sangat ~ utk pergi ke bank memandangkan lalu lintas yg sangat sesak; bercintakan 1. menaruh cinta atau kasih kpd, berahi kpd: sbg laki-laki yg ~ seorang wanita, bagaimana jua pun setia wanita itu kepadanya, namun curiga hatinya akan timbul juga barang sedikit; 2. berperasaan rindu akan, ingin akan: ia ~ benda yg sukar diperoleh; 3. sl berdukacita akan sesuatu, berasa sedih (pilu) hati akan sesuatu: tujuh hari baginda tiada nobat ~ Bendahara Seri Wak Raja; janganlah kakang emas ~ permintaan Ratu Dewi Kesuma Indera itu; bercinta-cintaan 1. cinta-mencintai, berkasih-­kasihan: baru hendak ~ dgn seorang perempuan, tiba-tiba ia diberi malu dan dihina; 2. bercengkerama atau bercumbu-­cumbuan (antara lelaki dan perempuan): sebelum hari malam, dia ~ dgn tunangannya; mencinta 1. menaruh cinta atau kasih (kpd); 2. sl berdukacita (akan), bersedih hati, menyesal; mencintai 1. mengasihi, menaruh cinta pd: ia ingin ~ dan dicintai; 2. merindukan(hendak memperoleh sesuatu dll), mengharap­harapkan, menginginkan: tidak ada orang yg tak ~ duit; tercinta (yg) dicintai (dikasihi, disayangi): engkau pisahkan aku dr anakku yg ~; kecintaan 1. perasaan cinta, kasih, kesa­yangan: yg mempertalikan hati suami dan isteri itu ialah ~ yg diikat oleh kesetiaan; seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh ~ kpd bahasa kebangsaan; 2. yg dicintai (dikasihi), kekasih: pemuda ~nya bekerja sbg wartawan; 3. sl kerinduan kesedihan, kebimbangan; 4. sl menanggung cinta (sedih dll); percintaan 1. perihal bercinta-cintaan atau berkasih sayang (antara laki-laki dan perempuan): kahwin itu ialah kemuncak ~;2. sl perasaan dukacita (sedih, pilu, rindu, menyesal, dll), kesedihan, kesusahan: maka oleh bonda baginda kedua anakanda baginda, kedua-dua anakanda baginda dipeluk dicium, maka ~ bonda baginda pun hilanglah; pencinta orang yg meminati dan mencintai sesuatu: ~ sastera; ~ buku.

Daripada makna yang diberikan jelaslah bahawa kedua-dua perkataan ini bersinonim. 

Kamus Dewan Edisi Empat
  
Makna13.06.2010

Kembali ke atas