Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ki.ra] | کيرا

Definisi : 1. pendapat (yg berdasarkan perasaan, telahan, dsb), anggapan, sangka: pd ~nya tidak ada yg berani menentang pegawai itu; 2. fikir, rasa, anggap: saya ~ malam nanti baru ia tiba di sini; 3. taksiran, hitung; ~ kasar hitung kasar; juru~ orang yg me­nyiapkan (menyediakan) buku kira-kira perniagaan dll; masuk ~ masuk hitung, dihitung; mesin ~ alat (mesin) utk menghitung (spt mencampur, menolak, dll); 4. = kiraan pertimbangan, perhitungan, taksiran: menurut kiraan ibu bapanya, Hayati sudah patut benar dikahwinkan; belakang ~ bp nanti (kemudian akan) diberi pertimbangan (per­hitungan); 5. peduli, mengendahkan, meng­hiraukan: saya tak ~, apa juga pekerjaan, boleh saya kerjakan; saya tidak ~ kawan, tidak peduli saudara siapa; sekira, sekiranya kiranya, kalau: mereka asyik mengatur cara-cara mengawal keamanan sekiranya berlaku kecemasan; kira-kira 1. lebih kurang: ~ seribu orang telah dijemput utk menyaksikan upacara tersebut; kami tiba di bandar itu ~ pukul 6 petang; 2. = ilmu ~ perhitungan (mengenai kewangan, perangkaan, dll), taksiran, ran­cangan (pendapatan dan perbelanjaan), ilmu hisab: maka jikalau tiada tahu ~ kelak, bagaimana engkau hendak berniaga jual beli?;buku ~ buku tempat mencatat kira-kira ke­wangan (perniagaan, kesatuan, dll); buku ~ harian buku harian, buku utk mencatat kira­-kira urusan perniagaan hari-hari; ilmu menyimpan ~ pengetahuan mencatat butir­-butir mengenai perbelanjaan dan penerimaan wang; tidak termasuk dlm ~ tidak termasuk dlm perhitungan (taksiran); 3. rasanya, agak­nya, barangkali, kalau-kalau: ~ ia tidak mahu menerima wang itu; 4. dugaan, agak-agak, sangka-sangka: kalau tidak tahu akan jawabnya, akui sahaja, jangan ~; 5. bp jangan (tidak) terlalu banyak atau terlampau sangat; tidak ~ terlampau sangat; 6. fikiran, akal, angan-angan; panjang ~ panjang akal (tidak sempit fikirannya); terbuka ~ terbuka fikir­annya; ~ bahagi kira-kira (ilmu hisab) bkn memecahkan sesuatu angka dgn angka lain; ~ campur kira-kira (ilmu hisab) mengenai mem­besarkan angka dgn menjumlah (mencampur­kan angka), penjumlahan; ~ darab ilmu hisab bkn membesarkan sesuatu angka dgn memperkalikannya dgn angka lain; ~ pecahan kira-kira (ilmu hisab) mengenai angka pecah­an (angka yg kurang drpd satu); ~ tolak kira­-kira (ilmu hisab) bkn mengurangkan angka; sekira-kira 1. kira-kira, lebih kurang: ~ sebahara emas harganya; 2. sekadar(nya): perkhidmatan kereta api di sana mendatangkan hasil hanyalah ~ dapat memulangkan modal dan menanggung perbelanjaannya; kiranya 1. pd anggapannya (sangkanya): ~ orang tidak tahu kecurangan yg dilakukannya; 2. hendaknya, semoga, mudah-mu­dahan: barang dilanjutkan Allah Taala ~ umur Duli Yang di-Pertuan; 3. = jika (kalau) ~ = sekiranya kalau, kalau-kalau, seandai­nya: maafkan kami ~ kami mengganggu; jikalau ~ ada Hang Tuah hidup, adakah ampun duli tuanku akan dia? 4. barangkali, agaknya, rasanya, rupanya: dilambaikannya tangannya, dgn segera aku pegang, ~ tangan itu sangat panas; Oh, karya As ~! 5. alih-­alih, rupa-rupanya: kujangka sudah banyak yg ada di sana, ~ aku yg pertama tiba; berkira = berkira bicara; berkira-kira 1. berura-ura, berhitung-hitung, berfikir-fikir, menimbang-nimbang: maka Raja Chulan pun ~ hendak menyerang negeri China; aku mengeluarkan perkataan-perkataan itu dgn tidak ~ lagi; 2. bercadang-­cadang (berniat, bersedia-sedia) hendak ber­buat sesuatu, beragak-agak: lama sudah ia ~ hendak melancong ke negeri-negeri Eropah; mengira 1. menghitung (wang dll), men­congak: bibirnya kumat-kamit ~ wang yg baru diterimanya; ~ luas bulatan dgn menggunakan formula; 2. memikirkan, mem­perhitungkan, mempertimbangkan: hatinya cuba ~ sendiri tentang kebaikan dan keburukan anjuran sahabatnya itu; dlm perbincangan itu dibangkitkannya masalah-masalah yg dikiranya perlu diatasi; soalan itu dikemukakannya dgn tidak ~ kesibukan orang; 3. menjangka, menduga, menyangka: pertemuan itu tidak semeriah yg dikira; tepat dgn apa yg dikira, pesawat-pesawat Jerman menghujani konvoi dgn peluru dan bom; 4. menganggap, berpendapat, menyifatkan: barangkali ada antara pembaca yg ~ syair tersebut sbg syair bebas; kehidupannya bolehlah dikira senang juga; setiap rencana yg telah saya tulis saya kira tidak bermutu; 5. mengambil berat, menghiraukan (mengen­dahkan, mempedulikan): ia hanya suka merapik, orang gila tak boleh dikira; mengira-ngira 1. menghitung-hitung, men­congak-congak: pelayan itu tersenyum sambil ~ harga minuman; 2. memikir-mikir, me­nimbang-nimbang, mentaksir-taksir: Basir ~ hotel mana yg mampu ditumpanginya; mengirakan, mengira-ngirakan meng­hitung dgn kira-kira (ilmu hisab), menaksir, menilai, mengagak-agakkan: ia khuatir sebab lamanya ayahnya dlm perjalanan sudah melebihi waktu yg dikira-kirakan; terkira terhitung, terduga: ~ dua kali; tidak ~(-kira) a) tidak terhitung, sangat banyak; b) = tidak terkirakan tidak terkatakan (ter­gambarkan), terlalu sangat, tidak terduga (tersangka); kiraan = kira-kiraan hasil mengira, hitung­an, perhitungan: segala ukuran dibuat mengikut ~ inci; barang-barang yg tersimpan di dalamnya menurut ~ saya lebih banyak drpd yg terdapat di Muzium Negara; ~ kasar hitungan kasar (tidak terperinci); perkiraan 1. kiraan, perhitungan: angka yg diberikan itu berdasarkan ~ pukul rata; pinjaman itu dikenakan bayaran faedah dgn ~ 4%; 2. pertimbangan, taksiran: perkara-perkara yg penting diserahkan kpd ~ ibu bapa mereka; menurut ~ umum, peperangan itu tidak akan tamat dlm jangka waktu yg singkat; pengiraan perihal atau perbuatan mengira (menghisab, menghitung), penaksiran; pengira orang yg mengira, penghitung. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ki.ra] | کيرا

Definisi : ; kiranya 1 hendaknya; mudah-mudahan; agar: Sudilah ~ tuan datang ke pondok kami. 2 = sekiranya kalau; seandainya: Mereka akan mogok ~ kerajaan menolak tuntutan mereka. kira-kira 1 lebih kurang: Kami tiba di sana ~ pd pukul empat petang. 2 = ilmu ~ ilmu hitung-menghitung; ilmu hisab: ~ campur (tolak, darab, bahagi). berkira-kira 1 bercadang; berniat; bertujuan (membuat sesuatu): Lama sudah dia ~ hendak melanjutkan pelajarannya ke seberang laut. 2 berfikir-fikir; menimbang: Dia mengeluarkan kata-kata itu dgn tidak ~ lagi. mengira 1 menghitung berapa jumlahnya (jawabnya dll): Dia sedang ~ wang yg diterimanya. 2 membuat kesimpulan berdasarkan tekaan; meneka; menyangka: Dia ~ saya akan datang lewat. 3 mempedulikan; mengendahkan: Tujuannya adalah utk membasmi kemiskinan tanpa ~ kaum. terkira dpt dikira atau dpt dihitung; terhisab; terhitung. kiraan 1 hasil mengira; cara mengira mengikut kaedah tertentu; hitungan: Ukuran itu dibuat mengikut ~ kaki. 2 taksiran (bkn baik buruknya); pertimbangan: Pd ~nya, anak itu sudah cukup besar. perkiraan hal berkira-kira; perhitungan: Menurut ~nya, wang itu cukup. pengiraan hal atau perbuatan mengira. pengira orang yg mengira; penghitung. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
kira
1. Bersinonim dengan pendapat
( fikir, rasa, anggapan, sangkaan, dugaan, )
(kata nama:)

2. Bersinonim dengan taksiran
( hitungan, anggaran, jangkaan, )
(kata nama:)

3. Bersinonim dengan peduli
( hirau, endah, parwah, )
(kata kerja:)

Kata Terbitan : kiranya, sekiranya, kira-kira, berkira, berkira-kira, mengira, mengira-ngira, terkira, kiraan, perkiraan, pengiraan, pengira,

Puisi
 

Tidak dapat dikira-kira,
     Air mata jatuh segera;
Karam di laut angin di udara,
     Karam di hati kerana cinta.


Lihat selanjutnya...(11)
Peribahasa

Gamak-gamak seperti menyambal.

Bermaksud :

Hanya dengan cuba-cuba atau kira-kira saja.

 

Lihat selanjutnya...(3)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Assalamualaikum, Adakah perlu digunakan kata pemeri 'ialah' atau 'adalah' di hadapan perkataan 'kira-kira'? Sila rujuk ayat di bawah. Masa yang diperuntukkan adalah kira-kira dua jam. Tinggi bangunan itu ialah kira-kira 185 meter. Terima kasih.Masa yang diperuntukkan ialah kira-kira dua jam. Tinggi bangunan itu ialah kira-kira 185 meter.Tatabahasa12.06.2015
asal usul perkataan kira dan maksud perkataan kiraPerkataan 'kira' berasal daripada kata Melayu asli, iaitu 'kira-kira'. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan kira bermaksud 1. pendapat (yg berdasarkan perasaan, telahan, dsb), anggapan, sangka; 2. fikir, rasa, anggap; 3. taksiran, hitung; 4. = kiraan pertimbangan, perhitungan, taksiran; dan 5. peduli, mengendahkan, menghiraukan. Untuk maklumat lanjut, tuan bolehlah merujuk Kamus Dewan Edisi Kempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.Makna05.01.2007
Salam sejahtera, 1) Tugas angkatan tentera "ialah" menjaga keselamatan negara daripada sebarang ancaman musuh negara. 2) Panjang sari ini "adalah" kira-kira enam meter. Pertanyaan: Adakah penggunaan "ialah" dan "adalah" dalam ayat-ayat di atas betul? Kalau tidak, sila cadangkan ayat yang gramatis. Terima Kasih.Salam sejahtera,

Ayat gramatis bagi kedua-dua ayat tersebut:

1. Tugas angkatan tentera adalah untuk menjaga keselamatan negara daripada sebarang ancaman musuh.
2. Panjang sari ini kira-kira enam meter.
Tatabahasa19.04.2016
tolong betulkan ayat ini. 1. Pegawai Pemagang Kira-Kira. 2. dijalankan.Soalan saudara tidak jelas, kedua-dua soalan yang dinomborkan bukanlah ayat yang lengkap hanya pembetulan yang dapat dibuat dalam ejaan Pemegang (bukan Pemagang).Tatabahasa19.02.2013
Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC Putrajaya) menerima aduan kira-kira jam 6.45 pagi tadi daripada kapal Sapura Construction yang menerima isyarat kecemasan daripada kapal Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri. dari atau daripada yang lebih sesuai dalam ayat di atas?Penggunaan kata sendi "dari" dan "daripada" dalam ayat tersebut adalah betul. Tatabahasa06.11.2020
Penghurufan "poin"Saiz atau ukuran (huruf dan sebagainya) kira-kira 0.35 mmLain-lain26.11.2013
Sudah lama saya tidak pulang ke kampung, (entah-entah/lama-lama/kira-kira) dia sudah tidak tinggal di situ lagi. Bolehkah memberi maksud serta penggunaan frasa-frasa tersebut? Terima kasih!
Penggunaan yang betul ialah entah-entah. Entah-entah membawa maksud kalau-kalau, barangkali, boleh jadi, jangan-jangan.
Tatabahasa29.04.2021
Assalam, Saya sedang menggunakan Korpus DBP ( Penyelidik ) sejak pagi tadi. Namun selepas kira-kira jam 12 tengahari saya tidak dapat mengakses Korpus DBP sehingga kini..mohon jasa baik pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini kerana saya amat memerlukan maklumat dari Korpus DBP ini untuk kajian saya. Sekian, terima kasih.Aduan tuan telah kami kemukakan kepada Bahagian Sistem maklumat, DBP untuk tindakan selanjutnya. Kami berharap tuan boleh mengakses semula Korpus DBP dengan kadar yang segera.Lain-lain10.03.2015
Adakah kata sendi "pada" mesti wujud dalam ayat berikut? Agama Kristian bermula kira-kira PADA 2 000 tahun yang lampau. Terima kasih.Tidak perlu kata sendi nama 'pada' dalam ayat tersebut.Tatabahasa19.05.2011
A. salam tuan. Selamat Hari Raya Aidul Fitri, Adakah Pihak DBP masih menerbitkan Antologi cerpen? Saya ada kira-kira 30 buah cerpen yang sudah disiarkan dalam berbagai akhbar dan majalah tempatan. Bagaimana cara untuk saya cuba ketengahkan cerpen-cerpen tersebut untuk pertimbangan DBP? Sekian terima kasih.Sila alamatkan manuskrip tuan kepada:
Pengarah,
Jabatan Penerbitan,
Aras 10, Menara DBP,
Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur.
atau tuan juga membuat janji temu dengan beliau melalui pembantunya melalui talian 03-21479000/01/02. Manuskrip yang diterima akan dinilai pada peringkat bahagian terlebih dahulu untuk diteliti kesesuaian manuskrip dan jika perlu perbincangan akan diadakan dengan penulis oleh editor berkenaan.  Manuskrip tersebut seterusnya akan dinilai oleh penilai pakar sebelum dikemukakan ke Mesyuarat Jawatankuasa Editorial dan Mesyuarat Jawatankuasa Penerbitan untuk kelulusan penerbitan.
Lain-lain27.06.2017
12345678910...

Kembali ke atas