Mahdiy, Muhammad Ahmad al- (1260 H.–
1302 H./1844 M.–1885 M.), tokoh politik dan
pemimpin agama di Sudan. Nama sebenarnya ialah
Muhammad Ahmad ibn al-Sayyid ‘Abdullah yang
juga digelar al-Mahdiy. Dia lahir di Pulau Labab di
wilayah Danqala, di utara Sudan. Bapanya bekerja
dalam industri pembuatan kapal layar di Sungai
Nil, dan berasal daripada keluarga bangsawan. Dia
mempelajari al-Qur’an di Khartoum sambil berguru
kepada Syeikh Muhammad al-Khayr dalam bidang
fiqah. Dia cenderung kepada bidang tasawuf. Oleh
sebab itu, dia berguru dengan Syeikh Muhammad
Sharif Nur al-Da’im, guru tarekat sufi al-Samaniyyah
pada tahun 1273 H./1861 M. sehingga bertaraf
syeikh (imam/guru). Dia kemudiannya pergi ke
Pulau Aba lantas membina sebuah masjid untuk
tujuan ibadat dan pengajian. Dakwahnya mendapat
sambutan ramai di wilayah Jazirah yang terletak di
tengah Sudan. Sepanjang tahun 1295 H./1876 M.,
al-Mahdiy dan gurunya, Muhammad Syarif sentiasa
berselisih pendapat hinggakan mereka berpisah.
Selepas itu, dia bergabung dengan Syeikh al-
Qurshiy, salah seorang guru tarekat Samaniyyah
sehingga Syeikh al-Qurshiy meninggal dunia. Dia
diamanahkan untuk menggantikan tempat Syeikh
al-Qurshiy dan menjadi guru tarekat Samaniyyah.
Semasa berada dalam tarekat ini, dia berkenalan
dengan ‘Abdullah al-Ta‘ayushiy.