Nabi Daud a.s. ialah salah seorang daripada Nabi
Allah yang diutuskan kepada manusia. Baginda
adalah anak kepada Yahudha ibn Ya‘kub ibn Ishak
ibn Ibrahim Khalil al-Rahman alaihissalam. Allah
SWT telah menurunkan kepadanya kitab Zabur
yang mengandungi pengajaran, teladan, kata-kata
hikmah dan zikir-zikir yang memuji Allah. Allah juga
telah mengurniakannya ilmu pengetahuan dan
kepetahan berucap di samping kedudukan sebagai
seorang nabi dan raja. Nabi Daud a.s. mempunyai
suara yang sangat lunak dan merdu hinggakan
apabila membaca kitab Zabur, burung-burung yang
terbang akan berhenti dan hinggap di dahan pokok
sambil berkicau mendengar bacaannya. Burung-
burung itu juga akan turut bertasbih apabila Nabi
Allah Daud bertasbih. Begitu juga dengan gunung-
ganang. Ia akan mengiringi Nabi Daud a.s. berzikir
pada waktu pagi dan petang. Nabi Daud a.s. banyak
melakukan amal ibadat pada waktu malam,
berpuasa pada waktu siang dan banyak
menghabiskan masanya dengan beribadat di masjid.
Allah SWT memberikan keistimewaan dan
mukjizat kepadanya iaitu gunung-ganang turut
mengiringinya bertasbih pada waktu pagi dan
petang. Burung-burung akan berkicau
mengiringinya apabila Nabi Daud a.s. membaca
kitab Zabur. Nabi Allah Daud dapat memahami
bahasa pertuturan burung. Bahkan turut mampu
melembutkan besi dan melenturnya dengan tangan
seolah-olah membuat adunan tepung. Selain
daripada itu, Nabi Allah Daud juga pakar dalam
membuat perisai perang.