Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[mem.bai/.kan] | ممباءيقکن

Definisi : 1. membuat jadi baik, memulihkan; 2. menganggap lebih baik: dia ~ kelakuan anaknya; 3. mendatangkan kebaikan (faedah dll) kpd; serta sepucuk surat diberi, ~ maksud paduka seri utk membawa faedah bagi maksud paduka seri; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[mem.bai/.kan] | ممباءيقکن

Definisi : membuat supaya baik kembali (bkn kesihatan); menyembuhkan: Ubat ini dpt ~ penyakit anda. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata membaikkan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Mengapakah "membaikkan jalan" frasa ini salah?Membaikkan bermaksud memulihkan dan lazimnya digunakan seperti dalam frasa 'membaikkan hubungan' dan 'membaikkan kelakuan'. Perkataan membaiki ataupun membaik pulih lebih tepat untuk frasa 'membaiki jalan'. Tatabahasa24.07.2011
adakah betul perkataan 'memperdamaikan'? adakah damai kata nama atau adjektif?Perkataan memperdamaikan boleh digunakan yang bermaksud membaikkan semula dua pihak yang bergaduh (berperang, bermusuh-musuhan dan lain-lain) atau menjadikan berdamai. Contoh ayat, Dia mencuba memperdamaikan orang-orang Israel dengan orang-orang Palestin.Tatabahasa16.08.2010
1. Antara telekung mini dengan mini telekung, yang manakah betul? apakah jawapan untuk soalan mencari kesalahan ayat tersebut (rujuk gambar) 2. Adakah 'membaikkan jalan', frasa ini betul? 3. Adakah kesalahan dalam 'memberikan banyak hadiah'? Bolehkan memberi rujukan untuk jawapan di atas? seperti kamus dll

1. Frasa yang betul ialah telekung mini. Ayat tersebut tiada kesalahan

2. Frasa ini salah, yang betul ialah membaiki jalan

3. Frasa memberikan banyak hadiah adalah betul. Kata memberikan hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa.

Tatabahasa21.07.2011
Salam, bolehkah menggunakan perkataanm "memulih"?Tidak ada kata terbitan 'memulih', perkataan yang ada ialah 'memulihkan' bermaksud mengembalikan kepada keadaan yang semula, atau membaikkan.Tatabahasa21.03.2012
As Salam,saya nak tanya apakah variasi kata terbitan daripada kata adjektif baik? Terima kasih.Contoh kata terbitan daripada istilah baik ialah kebaikan, pembaikan, berbaik-baik, membaiki, membaikkan dan sebagainya.Istilah18.10.2010
Apakah perbezaan antara kedamaian dengan pendamaian?Sila berikan contoh ayat. terima kasih.

Kedamaian bermaksud keadaan damai (keadaan tidak terdapat atau tidak berlaku pergaduhan, peperangan, persengketaan, dan sebagainya; manakala pendamaian bermaksud perihal usaha membaikkan dua pihak (negara dsb) dengan menamatkan atau menyelesaikan perselisihan dan sebagainya, mewujudkan (memulihkan) perhubungan berbaik-baik antara dua atau beberapa pihak (negara dsb) yang bermusuhan (berperang, bertelingkah, berselisihan, dsb).

Tatabahasa06.04.2011
Assalamulaikum tuan, Terdapat beberapa kekeliruan dalam saya menggunakan perkataan berikut: - Pembaikan atau Pembaikkan, Penyelenggaraan atau Penyenggaraan, dan Kerosakan atau Kerosakkan. Diharap tuan dapat menguraikan kekeliruan ini. Sekian , terima kasih.Pembaikan yang bermaksud perihal membaikkan atau membaiki; Penyelenggaraan ialah perbuatan menyelenggara sesuatu; Kerosakan ialah perihal rosak atau kemusnahan.Ejaan05.05.2008
Cikgu, perkataan pulih dalam frasa membaik pulih ialah kata adverba? Jika begitu, dalam ayat di bawah ini yang manakah adalah betul? 1. Cikgu sedang berusaha membaik pulih hubungan persahabatan antara Ali dengan Abu. 2. Cikgu sedang berusaha pulih membaik hubungan persahabatan antara Ali dengan Abu. 3. Cikgu sedang berusaha membaiki / membaikkan pulih hubungan persahabatan antara Ali dengan Abu.Membaik pulih ialah kata majmuk yang membawa maksud memeriksa dgn teliti utk membaiki atau utk memulihkan keadaan sesuatu alat.Tatabahasa28.05.2014
Merealisasi atau merealisasikan? Tolong berikan contoh apabila me...(diakhiri dengan) kan dan me... tidak diakhiri dengan kan seperti menyepak bola dan alasan kenapa ia begitu. Ada di diakhiri dengan kan ada yang tidak, tolong jelaskan.Merealisasi atau merealisasikan , keduanya-duanya boleh digunakan. Terdapat sebilangan kecil kata yang menerima apitan meN-…-kan dan meN…-i, penggunaanya silih berganti tanpa membezakan makna, contohnya: Ali sedang membaiki/membaikkan keretanya yang rosak. Kami masih dalam proses merealisasi/merealisasikan cita-cita kami.  Perkataan merealisasi sebenarnya terdiri daripada kata dasar realisasi yang menerima apitan meN-…-i (merealisasii) tetapi telah digugurkan satu i. Kata kerja boleh dihasilkan  dengan proses pengimbuhan sama ada imbuhan awalan , akhiran, apitan dan sisipan. Kata kerja yang terbentuk daripada imbuhan awalan meN-  (variasinya: me-, mem-, men-, meng-) menerbitkan dua makna: 1) melakukan perbuatan atau 2) menyatakan keadaan. Bagi makna melakukan perbuatan dipecahkan kepada lima maksud iaitu i) melakukan sesuatu , contohnya: merayu, membuka, mentadbir, mengheret, menjahit (Emak menjahit baju). ii) mengeluarkan suara, contohnya: mengaum, mengiau; iii) membuang, contohnya: merumput; iv) menuju sasaran, contohnya: menepi, mendarat; v) menjadi seperti atau menyerupai sesuatu, contohnya: membusut. Bagi makna menyatakan keadaan  dipecahkan kepada dua iaitu i) hidup sebagai, contohnya: membujang, menjanda; ii) menjadi, contohnya: memanjang.  Kata kerja yang terbentuk daripada apitan meN …kan  menghasilkan maksud : i) membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar, contohnya:  Dia merundingkan hal itu tadi. ii) kausatif atau menyebabkan, contohnya: Aril memanjangkan bacaan doanya. iii) manfaat, contohnya: Emak menjahitkan adik baju kurung.

Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 143 – 223.

Tatabahasa18.05.2011
Penggunaan imbuhan meng--kan dan meng--i

Apabila dibandingkan penggunaan apitan meN-...-kan dan meN-...-i, fungsinya dapat dibahagikan kepada tiga:

i. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kausatif, manakala meN-...-i menandakan lokatif. Contoh: Pak Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ali dan Pak Osman menghadiahi Ali sebuah basikal.

ii. Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa, manakala apitan  meN-...-i lazimnya menerima objek yang bernyawa. Lihat contoh di atas.

iii. Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contoh: Ali sedang membaiki kereta yang rosak dan Ali sedang membaikkan kereta yang rosak.

Rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 207.

Tatabahasa16.09.2011
123

Kembali ke atas