Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[mem.ba.wa] | ممباوا

Definisi : 1. mengangkat sesuatu sambil bergerak ke suatu tempat lain, mengangkut, memikul, mendukung, menjunjung: pakaian yg dibawanya hanya yg lekat di badan; 2. memimpin (mengiringi dsb) seseorang lain pergi ke sesuatu tempat: ~ anak ke sekolah; 3. mendatangkan, mengakibatkan, menyebabkan: masa tiga tahun belumlah ~ perubahan sebanyak itu; buangkanlah apa yg ada pd kita yg ~ kpd rosaknya agama Islam; kereta api yg ~ maut; 4. melibatkan, memasukkan (dlm sesuatu perkara): janganlah dibawa-bawa orang tua saya dlm perkara ini; 5. hingga, sampai: pakaian itu berharga antara lima puluh ~ ke tujuh puluh ringgit;dr petang ~ ke malam hari, tak putus-putus orang datang melawat; 6. bp memandu kenderaan; ~ adat = ~ bulan haid, datang bulan; ~ alamat memberi alamat, menandakan; ~ aturan sendiri bp menurut kesukaan sendiri; ~ berat mengandung, hamil; ~ diri a) mengembara, melarikan diri; b) menyesuaikan diri (dgn keadaan): ia dapat ~ diri di mana-mana; ~ duduk menjemput duduk; ~ gelak mengakibatkan orang tertawa; ~ halnya mengembara mencari penghidupan; ~ hati a) mencurahkan isi hati; b) = ~ masuk hati menjadikan kecil hati; c) berasa kecewa (kerana kegagalan cinta dll), merajuk; ~ hidup merantau mencari penghidupan; ~ iman beriman kpd Allah dgn memeluk agama Islam; ~ kacau mengakibatkan kacau; ~ kakinya pergi tidak tentu hala; ~ ke air membawa anak mandi; ~ lari melarikan; ~ makna mengandungi sesuatu maksud; ~ malu memalukan; ~ mati a) menyebabkan mati; b) membawa sampai ke kubur; ~ mulut a) datang hanya utk bercakap-cakap dan makan-makan; b) menceritakan hal seseorang kpd orang lain; ~ nasib pergi mencari penghidupan; ~ nyawa menyelamatkan diri; ~ perut datang utk makan sahaja; ~ salah salah faham (mengerti); ~ singgah menyilakan singgah; ~ soal mengemukakan soal; ~ tempurung meminta sedekah; ~ untung a) mendatangkan untung; b) pergi mencari penghidupan; dibawa arus hanyut; dibawa ke muka pengadilan dihadapkan ke mahkamah utk perbicaraan; dibawa ke tengah dikemukakan kpd pihak-pihak tertentu yg boleh mengambil tindakan ke atas sesuatu yg dikemukakan itu; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[mem.ba.wa] | ممباوا

Definisi : 1 memegang sesuatu sambil berjalan; memegang sesuatu dr suatu tempat ke suatu tempat yg lain: Tiap-tiap hari, saya ~ bekal ke sekolah. 2 mengajak pergi bersama; memimpin atau mengiring utk menunjukkan jalan: Pd hari Ahad yg lalu, saya ~ adik saya bersiar-siar di Taman Tasik Perdana. 3 menyebabkan berlakunya sesuatu; mengakibatkan; mendatangkan: Usaha ini akan ~ kesenangan kpd kita. 4 menarik atau melibatkan (dlm sesuatu perkara, urusan dsb): Kamu jangan ~ namaku dlm urusan ini. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata membawa

Puisi
 

Saya ke darat ke Pulau Lidi,
     Buah padi pisang jeranang;
Jangan diharap membawa diri,
     Hendak membawa hati tak senang.


Lihat selanjutnya...(58)
Peribahasa

Baik membawa resmi padi,
     daripada membawa resmi lalang.

Bermaksud :

Tidak sombong; rendah diri.

 

Lihat selanjutnya...(33)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Untuk soalan 6 yang terdahulu, adakah frasa kerja 'membawa sebatang kayu' boleh diterima sekiranya barang tersebut dibawa bergerak ke tempat lain?Frasa 'membawa sebatang kayu' boleh digunakan kerana membawa ialah kata kerja umum yang lebih khusus cara membawa objek itu. Untuk maklumat lanjut dan melihat perbezaan makna setiap perkataan sila rujuk Kamus Dewan ataut manfaatkan kemudahan di laman web kami www.prpm.gov.my.  Tatabahasa28.10.2015
Assalamualaikum Tuan, saya mendapat pertanyaan daripada seorang kawan berkenaan kata "tunaaksara". Tuna membawa maksud kerosakan atau kecacatan. Tunaaksara pula membawa maksud buta huruf. Soalannya, adakah perkataan "tunaaksara" juga boleh membawa maksud "huruf rosak?" Memandangkan "tuna" itu kerosakan manakala "aksara" pula bermaksud huruf. Sekian, terima kasih.“Tunaaksara” merupakan perkataan yang berasal dari Jawa yang bermaksud tidak boleh membaca dan menulis atau buta huruf. Perkataan tersebut tidak membawa maksud huruf rosak.Makna14.06.2022
Saya pergi membawa anak saya balik ke rumah dariapa kelas tuisyen. Ayat ini betul ke?Ayat yang lebih baik ialah Saya membawa balik anak saya dari kelas tuisyen.
Dalam bahasa Melayu, kata "balik" telah membawa maksud pulang ke rumah.
Lain-lain15.06.2023
adakah istilah jemaah menteri dikatakan kata nama am atau kata nama khas?Perkataan jemaah menteri dieja dengan huruf kecil jika membawa maksud umum. Jika membawa maksud rujukan khusus seperti Perdana Menteri menjadi pengerusi majlis mesyuarat Jemaah Menteri untuk membubarkan Parlimenhuruf pertama pada perkataan jemaah menteri dieja dengan huruf besar, iaitu Jemaah Menteri.Istilah21.11.2020
Saya ingin tahu tentang perbezaan penggunaan 'baru' dan 'baharu'. Adakah kedua-duanya membawa maksud 'new'? Bagaimana kalau saya ingin menyatakan 'Saya baru sampai' yang membawa maksud 'just'?Baru dan baharu kedua-duanya membawa makna yang sama dan dianggap varian dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanpun buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Untuk menghasilkan penggunaan yang gramtis, baru berfungsi sebagai kata bantu, contohnya dalam ayat "dia baru sampai dari kampung" dan baharu sebagai kata adjektif, contohnya "buku Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu".Tatabahasa30.10.2017
Apa maksud "libat urus"?Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, perkataan libat membawa maksud melibatkan, iaitu menyebabkan atau membawa (seseorang atau sesuatu) masuk atau turut serta dalam sesuatu perkara, usaha, kegiatan dan sebagainya. Perkataan urus pula membawa maksud mengurus, iaitu mengendalikan atau menyelenggarakan sesuatu supaya berjalan dengan baik.

Oleh itu, perkataan ini perlulah digunakan untuk konteks ayat yang bersesuaian dengan maksud yang diberikan.
Makna09.09.2021
Mereka membawa tikar dan beberapa botol air minuman. Penjodoh bilangan yang sesuai bagi tikar ialah helai, gelung atau keping?Penjodoh bilangan untuk tikar ialah "sehelai".Tatabahasa16.10.2023
Pergi membawa anak kita balik ke rumah. Arahan ini betul ke?
Ayat ini tidak lengkap. Sebagai contoh, ayat berikut boleh digunakan:

"Pergi dan bawa anak kita pulang ke rumah" atau "Bawa anak kita pulang ke rumah".
Tatabahasa12.05.2023
Konsep ini membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Salam Tuan/Puan,saya nak bertanyakan soalan.Apakah kesalahan tatabahasa di atas?Perkataan ‘membaiki’ rasanya salah atau betul? Bidang ekopelancongan mampu dimajukan kerana mengayakan sumber alam semula jadi di negara ini. Apakah kesalahan imbuhan di atas?Kenapa perkataan ‘mengayakan’ salah sepatutnya‘kekayaan’?

Bagi ayat pertama, perkataan membaiki ditukar kepada memulihkan.

Bagi ayat kedua, perkataan mengayakan ditukar kepada kaya dan ayatnya dibetulkan kepada:
Bidang ekopelancongan mampu dimajukan kerana negara ini kaya dengan sumber alam semula jadi.

Lain-lain14.01.2021
Bolehkah perkataan "dilokap" digunakan untuk membawa maksud "dipenjarakan"? Dalam laman sesawang PRPM, cuma wujudnya "melokap".Perkataan"dilokap" tidak sesuai digunakan kerana tidak wujud dalam data PRPM. Perkataan yang sesuai digunakan ialah melokap yang membawa maksud mengurung dlalam lokap/mengurung (menahan) dalam lokap yang membawa maksud sama dengan dipenjarakan.Makna14.04.2019
12345678910...

Kembali ke atas