Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[mem.bi.na.sa.kan] | ممبيناساکن

Definisi : 1. menjadikan binasa (rosak atau hancur sama sekali), memusnahkan: gajah-gajah liar telah ~ tanam-tanaman di pinggir hutan itu; 2. ki menjadikan binasa (diri), memusnahkan, menghancurkan: arak dan judi yg ~ dirinya; 3. ki membunuh, memusnahkan: ~ musuh; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[mem.bi.na.sa.kan] | ممبيناساکن

Definisi : membuat supaya binasa; merosakkan sama sekali: Hampir tiap-tiap malam, babi hutan datang ~ tanam-tanaman peladang itu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata membinasakan

Peribahasa

Tajam lidah manusia melebihi tuntung keris.

Bermaksud :

Mulut manusia dapat membinasakan diri sendiri atau orang lain lebih lekas daripada senjata.

 

Lihat selanjutnya...(5)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Kata-kata awak membinasakan. Penggunaan "membinasakan" dalam ayat ini betul?Penggunaan kata membinasakan dalam ayat tersebut kurang tepat. Contoh penggunaan yang betul ialah gajah liar telah membinasakan tanaman di pinggir hutan itu.Tatabahasa02.11.2017
apakah yang di maksudkan dengan vedualisme?Maksud vandalisme ialah perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persen­dirian.Makna20.03.2010
Perbezaan antara seperti gunting dalam lipatan, api dalam sekam dan musuh dalam selimutGunting dalam lipatan bermaksud membinasakan sahabat (bangsa,dll) sendiri; Api dalam sekam bermaksud perbuatan jahat yang tersembunyi; musuh dalam selimut bermaksud nusuh yang sangat dekat.Makna09.05.2008
apakah maksud dadah

Maksudnya ialah ubat-ubatan;  bahan (spt ganja, heroin, marijuana, dsb) yg merosakkan atau membinasakan orang yg menggunakannya berlanjutan (merosakkan kesihatan, membawa maut, dll). Untuk keterangan lanjut sila rujuk Kamus Dewan Edisi keempat. terima kasih.

Makna19.06.2008
Tuan : 1. Apakah perbezaan antara perkataan 'terikut-ikut' dan 'mengikut-ikut' ? 2. Bolehkah perkataan 'pertama-tama' digunakan dalam penulisan karangan dengan membawa maksud terdahulu sekali ? Ribuan terima kasih atas penjelasan dan maklum balas tuan.1. Menurut Kamus Dewan, terikut-ikut ialah mengikut (sesuatu) dengan tidak begitu disedari (kerana terlalu terpengaruh olehnya dll): terdapat juga penutur-penutur bahasa Melayu yang ~ dengan struktur tatabahasa lain. Manakala  mengikut-ikut ialah meniru-niru: negara-negara ini mengejar kepentingan kebangsaan masing-masing yang ~ kepentingan orang lain;

2.Kamus Dewan mentakrifkan pertama-tama sebagai yang pertama sekali, yang mula-­mula (terdahulu) sekali: candu itu ~ haram menurut agama Islam dan kedua membinasakan badan;
Tatabahasa19.07.2013
Mohon pencerahan berhubung : 1. Perbezaan kata 'memerhatikan' dengan 'memperhatikan' dan cth penggunaan yang tepat. 2. penggunaan kata 'memakan', 'memakankan', dan 'makan'. Terima kasih

Jawapan 1

Mengikut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat memperhatikan sama maksud dengan memerhatikan.

Memperhatikan ialah kata terbitan daripada kata dasar hati dan ditambah apitan memper_kan, manakala memerhati ialah kata terbitan daripada kata dasar perhati dan ditambah awalan me_kan,dan kedua-duanya membawa makna yang sama, iaitu mengendahkan.

Penggunaan yang betul ialah “memerhatikan” yang bermaksud mempedulikan, mengendahkan, menaruh minat, mengawasi, atau menjaga. Kata “memperhatikan” tidak digunakan kerana awalan 'Memper -'  lazimnya digabungkan dengan kata nama (memper + alat = memperalat), kata adjektif (memper + besar = memperbesar), dan kata sendi (memper + oleh = memperoleh).

Contoh ayat ialah Pegawai polis sedang memerhatikan setiap pergerakan penjenayah itu semenjak minggu lepas.

 

Jawapan 2

Memakan

Perkataan memakan biasanya digunakan dalam menyampaikan maksud mengambil (contoh ayat, Proses baik pulih rumah itu memakan masa enam bulan), merosakkan, membinasakan, memusnahkan (contoh ayat, Anai-anai telah memakan tiang rumah usang itu), dan mematikan (contoph ayat, Dalam permainan dam aji, pemain yang dapat memakan lawannya yang paling banyak dinobatkan sebagai pemenang)

Memakankan

Perkataan memakankan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat mempunyai dua maksud. Pertama, memasukkan benang pakan pada kain yang ditenun. Kedua, mengusahakan supaya sesuatu dimakan atau memakan untuk seseorang.

Makan

Perkataan makan digunakan untuk menyampaikan pelbagai maksud. Pertama, bermaksud memamah serta menelan makanan atau mengunyah sesuatu. Kedua, merujuk kepada rezeki (contoh ayat, Dia tidak dapat mencari makan hari ini kerana teksinya rosak). Ketiga, bermaksud menggunakan, menghabiskan atau memerlukan (contoh ayat, Projek membina jambatan itu makan belanja yang besar). Keempat, makan merujuk kepada melukai atau menembusi (contoh ayat, Tikaman kerisnya tidak makan). Kelima, bermaksud bekerja seperti yang dijangkakan (contoh ayat, Brek basikal itu tidak lagi makan). Keenam, bermaksud dapat masuk (contoh ayat, Paku itu hanya setengah inci masuk ke dalam papan. Ketujuh, bermaksud mengikut atau menerima (contoh ayat, Inilah jadinya kalau orang yang tidak makan nasihat). Kelapan, bermaksud menggelapi atau mengambil secara haram (contoh ayat, Pegawai perumahan itu kuat makan duit).

Makna25.02.2014

Kembali ke atas