Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[men.dén.dang.kan] | منديندڠکن

Definisi : menyanyikan dendang (utk bersuka-suka hati), menyanyikan (lagu yg menghiburkan): suara burung hantu ber­sahut-sahutan di tengah rimba ~ lagu disahuti dgn suara pungguk yg lanjut sayu; kedengaran di radio, biduan P. Ramlee sedang ~ lagu “Merak Kayangan”; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[men.dén.dang.kan] | منديندڠکن

Definisi : 1 menyanyikan (lagu): ~ lagu merdu. 2 menyanyikan dendang (utk menghibur hati): Dia selalu ~ anaknya sebelum tidur. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata mendendangkan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam sejahtera. Bagaimanakah untuk menterjemahkan "Santa Claus" dalam bahasa Melayu? Bolehkah frasa "caroling" dapat diterjemahkan sebagai "mendendangkan lagu natal"? Sekian, terima kasih.Menurut Kamus Inggeris-Melayu Dewan, "carol" bermaksud menyanyikan, mendendangkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, karol bermaksud nyanyian gembira atau puji-pujian, ter­utamanya semasa perayaan hari Krismas, lagu hari Natal.Makna04.01.2019
1)Suara penyayi itu sungguh merdu/gemersik semasa mendendangkan lagu irama asli. Yang mana jawapan yang betul?? 2) bagaimana hendak menerangkan cara yang mudah untuk menerangkan tentang penggunaan imbuhan me...i dan me...kan?? 3) imbuhan Memper+ kata adjektif tidak boleh ada ...kan di belakang..contohnya memperdalam...bagaimana pula dengan mempertingkatkan betul atau salah?? mempertingkat atau mempertingkatkan??? 4) layang-layang yang tersangkut pada pokok besar itu terpontang-panting/melambai-lambai/meliang-liuk/bergegar apabila angin bertiup....yang manakah jawapan yang paling tepat???

Saudara Aidil,

1. Suara penyanyi itu sungguh merdu semasa mendendangkan lagu irama asli.

2. Imbuhan me-...-i dan me-...-kan tergolong dalam apitan kata kerja. Kata dasar yang menerima apitan me-...-i dan me-...-kan akan membentuk kata kerja. Misalnya: mem + besar + kan = memperbesarkan

3. Perkataan yang betul ialah mempertingkatkan. Hal ini kerana 'tingkat' bukan kata adjektif dan imbuhan yang betul ialah memper-...-kan. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tiada bentuk mempertingkat disenaraikan tetapi makna perkataan mempertingkatkan ada diterangkan yang membawa maksud menjadikan lebih tinggi atau lebih besar.

4. Jawapan yang tepat ialah melambai-lambai (sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui setiap maksud perkataan yang dikemukakan)

Tatabahasa05.08.2012
Kata kerja mana paling sesuai digunakan? ( mengalunkan / menyanyikan ) syair Terima kasih :)

Syair dikategorikan dalam puisi tradisional. Oleh itu, kata kerja “mendendangkan lebih sesuai digunakan untuk membentuk frasa kerja, iaitu “mendendangkan syair” yang bermaksud membaca puisi dengan berlagu. Walau bagaimanapun, kata kerja “mengalunkan” juga boleh  digunakan untuk membentuk frasa kerja tersebut.

 

*Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana terbitan DBP 2021, halaman 505.

Tatabahasa24.07.2023
Selamat sejahtera.. apa perbezaan antara lunak dan merdu? Jika ayat : suara Zainal amat _______ apabila mendendangkan lagu-lagu berentak tradisional. Apakah jawapan yang tepat antara lunak dan merdu? Terima kasih.Lunak ialah lembut dan merdu contohnya penyanyi itu sangat lunak suaranya.
Merdu ialah enak atau sedap didengar (suara, nya­nyian, dan lain-lain).
Kedua-dua jawapan betul.
Lain-lain28.08.2015
1) Apakah maksud perkatan gemersik sebenarnya sebab perktaan tersebut tiada dalam daftar kamus dewan edisi 4. 2) Jika ada apakah maksud perkataan tersebut? 3)Dalam konteks ayat di bawah, apakah perkataan yang sesuai digunakan? -Suara penyanyi itu sungguh ___________semasa mendendangkan lagu irama asli. (Mana satu sesuai digunakan?GEMERSIK/MERDU?)Perkataan yang terdapat dalam Kamus Dewan edisi keempat ialah gemeresik dan mersik. Gemeresik atau bergemeresik bermaksud menggeresek (seperti kertas, kain dan lain-lain direnyuk-renyukkan). Mersik bermaksud kuat lagi nyaring (suara, bunyi dll.), lantang. Dalam konteks ayat yang diberikan, perkataan yang sesuai ialah merdu. Suara penyanyi itu sungguh merdu semasa mendendangkan lagu irama asli.Makna25.08.2012
Mengapa ayat-ayat yang berikut salah? 1. Ali yang benar bersalah dalam pergaduhan itu. 2. Tanah itu milik Pak Ali yang benar. 3. Fius berfungsi memutuskan elektrik apabila voltan yang mengalir berlebihan dan menyelamatkan peralatan elektrik daripada rosam. 4. Adik sering berlawan cakap kakak apabila kakak memarahinya. 5. Sudah menjadi lumrah kehidupan yang kaya sentiasa dikenang. 6. Menjadi gila anak-anak muda dengan nyanyian lagu artis popular itu. 7. Penyair terkenal itu mendendangkan syair hasil nukilan sasterawan negara.

 
Berikut ayat yang telah dipinda.

1. Ali yang  bersalah dalam pergaduhan itu.
2. Tanah itu sebenarnya milik Pak Ali.
3. Fius berfungsi mematikan aliran elektrik apabila voltan mengalir berlebihan dan menyelamatkan peralatan elektrik daripada rosak.
 4. Adik sering melawan cakap kakak apabila dimarahi.
5. Sudah menjadi lumrah kehidupan, yang kaya sentiasa dipuji.
6. Nyanyian lagu artis popular itu menjadi kegilaan anak-anak muda.
7. Penyair terkenal itu mendeklamasikan syair hasil nukilan sasterawan negara.

Tatabahasa19.07.2013

Kembali ke atas