Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[men.der.ma.kan] | مندرماکن

Definisi : memberikan sesuatu dgn ikhlas: dia telah ~ sebahagian drpd gajinya utk anak-anak yatim; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[men.der.ma.kan] | مندرماکن

Definisi : memberikan sesuatu dgn ikhlas: Dia telah ~ kain bajunya kpd mangsa-mangsa banjir. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata mendermakan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan. Saya mahu bertanya ayat berikut manakah yang betul? i. Perasaan simpati [akan] anak-anak yatim itu menyebabkan beliau sanggup mendermakan wangnya. ii. Perasaan simpati [dengan] anak-anak yatim itu menyebabkan beliau sanggup mendermakan wangnya. iii. Perasaan simpati [terhadap] anak-anak yatim itu menyebabkan beliau sanggup mendermakan wangnya. iv. Perasaan simpati [kepada] anak-anak yatim itu menyebabkan beliau sanggup mendermakan wangnya. Saya agak kurang pasti dengan penggunaan perkataan di dalam [ ]. Mohon beri pencerahan. Terima kasih.Kata sendi nama "akan" digunakan untuk merujuk manusia, dan penggunaanya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat perasaan. Contoh ayat "Kami gemar akan buah durian". 

Kata sendi "dengan" digunakan untuk:
a) membawa maksud bersama-sama atau berserta
    contoh ayat: "Saya senang sekali dengan kehadiran kamu."
b) membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan
    contoh ayat:"Mulakan makanmu dengan bacaan doa."
c) membawa maksud memakai atau menggunakan sesuatu alat
    contoh ayat: "Lalang sedang ditebas dengan sabit."
d) menyatakan perbandingan yang serupa atau sama 
    contoh ayat: "Samakah mutu emas tulen dengan emas suasa."

Kata sendi nama "terhadap" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan kepada manusia, haiwan atau benda. Contoh ayat: "Raja itu adil terhadap rakyat negerinya."

"Kepada" ialah kata sendi nama yang terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan hal berikut: 
a) menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad dan institusi yang ada kaitannya dengan manusia 
contoh ayat: "Pemberian buku teks percuma kepada semua murid."
b) menyatakan pecahan 
contoh ayat: "Peserta kursus dibahagikan kepada tiga kumpulan."
c) menyatakan perubahan keadaan 
contoh ayat: "Ingatannya masih kepada peristiwa yang silam."

Diharap penerangan di atas dapat membantu anda menyelesaikan persoalan yang dikemukakan. Selain itu, untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut,  saudara juga boleh merujuk "Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga" terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Tatabahasa25.05.2022
Kilang itu telah ___ baju sekolah kepada rumah anak yatim itu. 'menderma' atau 'mendermakan', yang mana paling sesuai? Mengapa?Perkataan yang tepat ialah mendermakan. Dalam ayat di atas, apitan me... kan membawa maksud penanda kausatif, iaitu apitan me-...-kan hendaklah diikuti objek yang bergerak atau tidak bernyawa.Tatabahasa16.07.2013
Penyemakan bahasa atau ejaan yang betul. 1. Khairul mendermakan organisasi kebajikkan itu. 2. Imran menikmati goreng pisang di waktu petang. 3. Pelbagai isu-isu penduduk telah mereka bincangkan. 4. Maryam memperolehi markah tertinggi sekali dalam kelas tersebut. 5. Kerja-kerja pedalaman parit telah dilaksanakan oleh saya atas arahan ayah. 6. Telor rebus itu dimakan oleh saya. 7. Penduduk Kampung Sentosa saling tolong-menolong dalam program gotong royong. 8. Permohonan kemasukkan pelajar ke sekolah tersebut boleh dilakukan secara atas talian. 9. Para pengundi-pengundi telah bersedia mengundi pada pilihanraya yang akan datang. 10. Kapal mewah milik jutawan itu baharu bergerak menuju Selat Melaka.

1. Khairul memberikan derma kepada organisasi kebajikan itu.
2. Imran menikmati pisang goreng pada waktu petang.
3. Pelbagai isu berkaitan penduduk telah mereka bincangkan.
4. Maryam memperoleh markah tertinggi dalam kelas tersebut.
5. Kerja-kerja pendalaman parit telah saya laksanakan atas arahan ayah.
6. Telur rebus itu saya makan.
7. Penduduk Kampung Sentosa saling tolong-menolong dalam program gotong-royong.
8. Permohonan kemasukan pelajar ke sekolah tersebut boleh dilakukan secara dalam talian.
9. Para pengundi telah bersedia untuk mengundi pada pilihan raya yang akan datang.
10. Kapal mewah milik jutawan itu baharu bergerak menuju ke Selat Melaka.

Tatabahasa27.07.2021
Apa maksud menderma dan berderma

Puan Hindun,

Kedua-dua perkataan ini membawa makna yang sama iaitu, memberikan derma atau memberikan sesuatu dengan ikhlas. Contoh penggunaan: Dia telah berderma sebanyak seratus ringgit; Dia telah mendermakan kain baju kepada mangsa banjir.  

Makna20.12.2010

Kembali ke atas