Maklumat Kata

Carian kata tiada di dalam kamus terkini. Sila rujuk capaian Kamus Dalam Talian ini.
Tesaurus
 
tetap
1. Bersinonim dengan kekal
( abadi, baqa, selama-lamanya, lestari, tidak berkesudahan, )
(adjektif:)
Berantonim dengan sementara

2. Bersinonim dengan tidak putus-putus
( terus-menerus, sentiasa, selalu, tidak henti-henti, tidak habis-habis, tidak berkesudahan, )
(kata tugas:)
Berantonim dengan terhenti-henti

3. Bersinonim dengan pasti
( tentu, tegas, mesti, wajib, tidak boleh tidak, )
(kata tugas:)

Kata Terbitan : menetap, menetapi, menetapkan, ketetapan, penetapan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Saya ingin mengesahkan penggunaan pekataan yang betul bagi kemuskilan di bawah 1. Penggunaan perkataan sasaran dan menyasar, contoh PNB menetapkan sasaran mengumpul RM10 juta deposit atau PNB menyasarkan mengumpul RM10 juta 2. Perbezaan makna Baru dan Baharu... Contoh Saya balik kampung baru-baru ini Saya membeli kereta baharu

Sdri zaharah,

Frasa yang betul ialah:

 PNB menetapkan sasaran mengumpul RM10 juta deposit.

     Hal ini demikian, kerana makna kata Sasaran ialah hasil drpd sesuatu usaha, tindakan dsb yg ingin dicapai, matlamat: kami harus mencapai ~ kerja bulanan yg telah ditetapkan; menetapkan sasaran (hasil, perolehan dsb yg ingin dicapai): syarikat ~ jualan bagi kedua-dua unit amanah ini mencecah sehingga RM30 juta menjelang bulan Jun depan; negara kita ~ 14 pingat emas bagi acara olahraga di temasya Sukan SEA itu; .

    Manakala ayat ( No.2) yang sdri kemukakan seperti di atas, iaitu penggunaan kata baru-baru dan baharu. Jika diteliti ayat tersebut, kata baru-baru menunjukkan masa perjalanan balik ke kampong, manakala kata baharu atau baru menunjukkan bahawa dia membeli kereta yang baharu/baru bukan yang lama.

 

     

Tatabahasa27.03.2009
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya, pencarian istilah DBP menterjemahkan "asphalt" kepada "asfalt". Bukankah terdapat istilah "turap" yang kebiasaannya digunakan? (cth: jalan berturap). Apakah perbezaan antara kedua-duanya? Saya juga ingin bertanya, yang mana lebih tepat: 1) mahkamah telah menetapkan bagi perbicaraan tersebut DIDENGAR esok; atau 2) mahkamah telah menetapkan bagi perbicaraan tersebut DIDENGARI esok. Terima kasih.Waalaikumussalam...

Menurut Istilah MABBIM daripada data kami maksud asphalt dari bidang geologi ialah asfalt. Maksud asfalt ialah dari bidang fizik dan geografi ialah:
1. bahan berbitumen yang berbentuk separuh pepejal, berlekit, berwarna hitam, dan terdiri daripada campuran alkana, hidrokarbon aromatik, dan sebatian hidrokarbon yang lebih kompleks.
2. Bahan perintang asid dalam cetak guris. 

Ayat yang betul ialah mahkamah telah menetapkan bagi perbicaraan tersebut didengari esok.

Sekian terima kasih.
Istilah22.01.2018
Berkenaan istilah "janji temu" dan "temu janji", benarkah pemahaman kami seperti berikut: 1. Janji temu: sudah ada perjanjian untuk bertemu 2. Temu janji: proses permohonan untuk menetapkan perjanjian untuk bertemu (contoh dalam kes untuk bertemu dengan pegawai tinggi kerajaan, belum ada tarikh untuk bertemu)1. Benar untuk makna "janji temu", iaitu janji untuk bertemu.
2. Tidak benar untuk makna "temu janji". Masih belum terakam kata dan makna untuk "temu janji" dalam kamus terbitan DBP.
3. Proses permohonan untuk menetapkan perjanjian untuk bertemu juga bermaksud proses "janji temu".
4. "Bertemu" dan kemudiannya "berjanji" juga bukan "temu janji".
Makna04.04.2023
Salam Sejahtera Tuan Puan, Saya dengan rendah dirinya ingin memohon khidmat nasihat akan maksud perkataan ini. Saya mohon jika tuan puan boleh menasihatkan saya. Berikut adalah dua perkataan yang saya memerlukan khidmat nasihat. 1. Ceraian ini bertujuan menetapkan peraturan berkaitan kemudahan cuti tanpa rekod bagi pegawai Perkhidmatan Awam yang mengikuti pengajian secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara. 2. Kemudahan cuti tanpa rekod untuk pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang mengikuti pengajian secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara adalah diperuntukkan melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2009. Saya berpendapat, ayat ini mengatakan seorang pegawai mengikut pengajian secara sambilan di IPT dalam negara layak mendapat kemudahan cuti tanpa rekod. Perkataan ini tidak mengatakan memerlukan sebarang dokumentasi institut pengajian yang mengatakan sambilan, tetapi lebih kepada kegiatan/ aktiviti seorang pegawai yang mengikut pengajian secara sambilan. Adalah perkataan ini melambangkan seorang pegawai mengikut pengajian secara sambilan atau universiti harus maklumkan bahawa kursus adalah sambilan. Saya memohon pencerahan daripaha pihak Tuan/Puan untuk perkataan ini. Segala sokongan amat dihargai. Saya boleh dihubungi di talian 0167710762 untuk sebarang makluman lanjut.Ayat 1 dan 2 tersebut berkaitan dengan peraturan kemudahan cuti tanpa rekod pegawai awam secara sambilan di IPTA dalam negara yang diperuntukkan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2009. Tafsiran peraturan dalam mana-mana surat pekeliling hendaklah merujuk Jabatan Perkhidmatan Awam. Dewan Bahasa dan Pusataka membantu dari aspek makna perkataan, istilah dan tatabahasa. Untuk mengetahui ejaan/makna kata, pengguna boleh membuat semakan melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. 


Lain-lain22.05.2023
Salam, Permohonan saya untuk kelulusan untuk dua design papan tanda seperti di dalam lampiran telah ditolak atas alasan: 1) SPA DAN PUSAT KESIHATAN = SPA 2) PUSAT RAWATAN DAN KESIHATAN = SPA Untuk memenuhi syarat yang diperlukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, menetapkan supaya ditulis Deskripsi ringkas tentang apa aktiviti yang dijalankan oleh syarikat di atas papan tanda yang akan dipamerkan di hadapan kedai, apakah yang boleh sayatulis sekarang? Ini adalah permohonan semakan untuk cawangan saya yang ke empat. Untuk 3 permohonan terdahulu telah diluluskan oleh pihak DBP tanpa membangkitkan isu ini dan pihak PBT juga telah mengeluarkan lesen dengan mudah. Saya sertakan juga contoh permohonan terdahulu yang telah diluluskan. Saya ingin memohon pihak DBP menilai semula terhadap keputusan penilaian yang telah dibuat. Terimaksih.Untuk makluman, pihak kami telah mendapat arahan terkini yang kami tidak dibenarkan meluluskan papan iklan PUSAT KESIHATAN jika merujuk kepada kedai biasa. PUSAT RAWATAN KESIHATAN hanya dibenarkan jika merujuk kepada klinik kesihatan.Lain-lain26.01.2017
Adakah penggunaan adalah betul dalam konteks tersebut? -Kerajaan Perikatan Nasional berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang Negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali. -Majlis ini adalah tadbir urus tertinggi dalam menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia. -Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan.....etcKedua-dua ayat tersebut betul penggunaan adalah 1. Kerajaan Perikatan Nasional berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang Negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali 2. Majlis ini adalah tadbir urus tertinggi dalam menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia. Perkataan adalah tidak boleh digunakan pada awal ayat seperti Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa...Tatabahasa17.11.2020
Salam, bolehkah nilai harga 70 sen ditulis begini? 1. Kuih-kuih yang dijual di gerai itu berharga tujuh puluh sen seketul. Atau, adakah perlu ditulis tanpa menggugurkan perkataan 'Ringgit Malaysia'? 2, Kuih-kuih yang dijual di gerai itu berharga RM0.70 seketul. Apakah alasannya? Terima kasih.

Mengikut buku Gaya Dewan, DBP menetapkan untuk menyatakan jumlah ringgit dan sen, gunakan lambang ringgit Malaysia (RM) dan eja perkataan sen. Cara penulisan yang betul adalah seperti yang berikut:

(i)          Kuih-kuih yang dijual di gerai itu berharga 70 sen; atau

(ii)           Kuih-kuih yang dijual di gerai itu berharga RM0.70.

Tatabahasa21.05.2014
Saya ingin bertanyakan soalan berkaitan ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.. Apakah perbezaan antara; 1. Surat itu telah saya tulis semalam.. 2. surat itu saya telah tulis semalam penggunaan kata bantu dalam ayatyang telah dipasifkan harus berada di kedudukan sebelum atau selepas KGND? 1. saya telah makan semalam? atau telah saya makan semalam? diharapkan pihak PRPM dapat membantu saya..Hukum Aneksi Persona ialah peraturan yang menetapkan frasa kerja pasif diri pertama atau kedua, iaitu kedudukan ruang di antara kata ganti nama diri pertama atau kedua dengan kata kerja pasif tanpa awalan tidak boleh diselitkan sebarang kata. Sebagai contohnya, ...akan saya baca ....[_/] , saya akan baca [ x].. Frasa yang betul ialah ...telah saya tulis semalam.Tatabahasa30.08.2013
Cikgu, saya berpendapat bahawa ayat di bawah ada masalah: 1. Saya bercadang untuk pergi pe pantai. 2. Kami telah membuat keputusan untuk meninggalkan sekolah ini. Masalah dalam kedua-dua ayat di atas berkaitan dengan penggunaan kata hubung keterangan "untuk". Kita jelas bahawa kata hubung "untuk" digunakan untuk menerangkan tujuan sesuatu perbuatan dilakukan. Dalam ayat (1), saya berpandangan bahawa frasa "pergi ke pantai" bukan tujuan perbuatan "bercadang", sebaliknya "pergi ke pantai" ialah cadangan pelaku "saya". Ayat (2) juga sama. Dalam ayat (2), frasa "meninggalkan sekolah ini" juga bukan tujuan perbuatan "membuat keputusan", tetapi "meninggalkan sekolah ini" ialah keputusan yang timbul daripada perbuatan "membuat keputusan". Oleh itu, kata hubung keterangan tujuan "untuk" tidak boleh digunakan. Saya juga berpandangan bahawa kedua-dua ayat di atas ialah terjemahan ayat bahasa Inggeris. Jadi, bagaimanakah dua ayat di atas dibetulkan?Cadangan kami ayat tersebut dipinda mejadi "Saya bercadang pergi pe pantai" dan "Kami telah membuat keputusan untuk meninggalkan sekolah ini". Kami berpandangan ayat kedua menerangkan unsur bagi perbuatan membuat keputusan, iaitu meninggalkan sekolah ini. Lihat contoh dalam halaman 518, buku Tatabahasa Dewan "Para pemimpin menyusun rancangan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat". Kita boleh sahaja beranggapan "meningkatkan taraf hidup rakyat", sebagai hasil daripada usaha pemimpin menyusun rancangan ekonomi, namun rumus tatabahasa menetapkan frasa tersebut ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan.Tatabahasa14.12.2014
Saya maklum bahawa Tatabahasa Dewan menetapkan hanya 15 sahaja dikategorikan sebagai majmuk mantap. Namun, ada buku-buku ilmiah malah para pendidik menyatakan ia lebih daripada itu iaitu sebilangannya menyatakan ada 33; ada juga menyatakan ada 41. Selain yang 15 itu misalnya ialah bendahari, sukacita, kadangkala, apabila, peribadi dll. Soalan saya kenapa perkataan ini bukan tergolong dalam majmuk mantap dan apakah kategori perkataan ini? Soalan kedua, antara Kamus Dewan Bahasa & Tatabahasa Dewan, yang mana lebih betul apabila berlaku percanggahan. Misalnya dalam soal kata baru dan baharu. Kamus menyamakan maksud baharu sebagai baru tetapi Tatabahasa Dewan membezakannya. Untuk makluman, saya merupakan pencita bahasa dan kerap berkongsi ilmu bahasa kepada umum. Antaranya dalam aplikasi Twitter menggunakan tanda pagar #PerkasaBMKita. Sumbangan saya ini diharap membantu sedikit sebanyak dalam memartabatkan penggunaan bahasa melayu yang betul. Terima kasih.

1.  Berdasarkan rujukan daripada buku Tatabahasa Dewan, kata majmuk ialah gabungan dua patah perkataan atau lebih yang mempunyai makna yang berbeza dan menjadi satu makna lain atau makna baharu apabila perkataan tersebut digabungkan. Konsep kata majmuk juga harus mendukung maksud umum, contohnya: kerusi malas, maksud khusus, cthnya: pita suara dan maksud kiasan, cthnya: kaki ayam.  Perkataan seperti bendahari, sukacita, kadangkala, apabila, peribadi dll. itu tidak dikategorikan sebagai perkataan majmuk mantap kerana perkataan-perkataan ini tidak mendukung konsep kata majmuk dan perkataan-perkataan ini bukan kata majmuk. Jika mengikut kategori, terdapat dua kategori dalam tatabahasa Melayu, iaitu golongan kata dan bentuk kata. Golongan kata terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas, manakala bentuk kata pula, terdiri daripada kata tunggal, kata terbitan, kata ganda, kata majmuk. Contohnya maksud perkataan “apabila” tidak mendukung maksud ketiga-tiga konsep kata majmuk tersebut kerana perkataan ”apa” , “bila”, dan “apabila” ialah kata tunggal jika kita melihatnya dari segi bentuk kata, dan  kata tugas jika kita melihatnya dari segi golongan kata, Perkataan “sukacita” pula ialah kata adjektif, “kadangkala” ialah kata kata tugas, “peribadi” ialah kata nama. 1">

2. Untuk maklumat yang lebih tepat dari segi tatabahasa, tuan/puan disarankan untuk merujuk Tatabahasa Dewan kerana kamus umum hanya merakamkan pelbagai bentuk kata yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. 1">

Tatabahasa25.06.2018
12

Kembali ke atas