Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[meng.gan.tung.kan] | مڠݢنتوڠکن

Definisi : 1. menyangkutkan pd paku dll atau mengikatkan pd sesuatu dsb supaya terletak pd tempat yg tinggi, menjadikan bergantung: ia ~ semua kad Hari Raya pd tali yg direntang; 2. menyandarkan (nasib, pekerjaan, dll) pd, mengharapkan (pertolongan dll) drpd, meletakkan (harapan dsb): mereka ~ harapan hari depan mereka pd kejayaan Hanifah dlm pelajarannya; digantungkan tinggi, digalikan dalam prb perjanjian yg dibuat dgn syarat-syarat yg teguh; ~ kain kotor di muka pintu prb perihal perbuatan yg pandir yg memberi malu pd diri sendiri; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[meng.gan.tung.kan] | مڠݢنتوڠکن

Definisi : 1 menyangkutkan sesuatu pd; menjadikan bergantung: Kerana aku terlalu suka main layang-layang, bapa telah ~ tali layang-layang itu pd leherku. 2 menyerahkan halnya kpd; mengharapkan sesuatu drpd: Mereka ~ harapan masa depan mereka pd kejayaan anak yg sedang belajar di universiti. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata menggantungkan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
menggantung 2. memasang (kelambu, tirai, dll) dgn menyangkutkan tali dll pd sesuatu: ~ kelambu; ~ langsir; menggantungkan 1. menyangkutkan pd paku dll atau mengikatkan pd sesuatu dsb supaya terletak pd tempat yg tinggi, menjadikan bergantung: a) Ayah menggantungkan gambar keluarga pada dinding. b) Ayah mengantung gambar keluarga pada dinding. Minta pencerahan encik/puan, adakah ayat a dan ayat b ini betul? Saya dapati kata menggantung dan menggantungkan mempunyai maksud yang sama, adakah betul pemahaman saya ini? Terima kasih.Kedua-duanya mempunyai maksud yang hampir sama. Namun, terdapat perbezaan dari aspek tatabahasanya, iaitu perkataan menggantung diikuti satu objek sahaja seperti ayat "Dia menggantung kelambu", manakala kata kerja menggantungkan diikuti oleh dua objek seperti ayat "Dia menggantungkan baju pada tiang rumah".Tatabahasa09.10.2022
Ayah (menggantung, menggantungkan) gambar pada dinding. Yang manakah betul?Ayah menggantungkan gambar pada dinding.Tatabahasa20.03.2011
Adakah ayat berikut betul? 1. Dua orang murid lelaki menggantungkan kain rentang yang tertulis " Majlis Anugerah Kecemerlangan " pada dinding pentas.Ayat ini salah, yang betul ialah 1. Dua orang murid lelaki menggantungkan kain rentang yang tertulis "Majlis Anugerah Kecemerlangan" di dinding pentas.Tatabahasa13.08.2014
1.Dia menggantung/menggantungkan jam itu di/pada dinding. 2.Dia menampal/menampalkan gambar di/pada papan kenyataan. 3.Kita mestilah mengamalkan ilmu pengetahuan yang diperolehi/diperoleh agar ilmu tersebut kekal dalam ingatan kita. 4.adakah tidak menggalakkan penggunaan perkataan "haruslah" dalam karangan murid?1. Dia menggantungkan jam itu pada dinding. 2. Dia menampalkan gambar pada papan kenyataan. 3. Kita mestilah mengamalkan ilmu pengetahuan yang diperoleh agar ilm tersebut kekal dalam ingatan kita.  Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Soalan no.4 tidak jelas.Tatabahasa09.05.2009
Sila pilih ayat yang betul. Anda boleh memilih lebih daripada satu jawapan. (a) Saya menggantung poster di tepi jalan. (b) Saya menggantungkan poster di tepi jalan. (c) Saya menggantung poster pada dinding. (d) Saya menggantungkan poster pada dinding.Kesemua ayat tersebut betul.Lain-lain06.09.2021
Salam sejahtera. Di sini saya ingin bertanya tentang imbuhan me- dalam ayat berikut yang mana betul. 1. Ayah menggantung/menggantungkan belon pada dinding ruang tamu. 2. Ali mengibar/mengibarkan bendera pada Hari Kemerdekaan. Bolehkah memberi penjelasan bagi imbuhan me-/me...kan di atas?terima kasih.

Ayat yang betul ialah;

1. Ayah menggantungkan belon pada dinding ruang tamu.

2. Ali mengibarkan bendera pada Hari Kemerdekaan.

Untuk melihat perbezaannya dengan lebih jelas, boleh rujuk:

1.      http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=gantung.

2.      http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=kibar

Selain itu, untuk makluman, kata kerja yang terbentuk daripada awalan meN- ialah kata kerja yang mendukung maksud melakukan sesuatu. Penggunaan kata kerja dengan awalan meN- boleh menerbitkan dua makna, iaitu sama ada melakukan perbuatan atau menyatakan keadaan. Kata kerja yang terbentuk dengan apitan men-...-kan menghasilkan kata kerja transitif dengan maksud membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar, maksud kausatif atau menyebabkan dan maksud benefaktif atau manfaat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan.
Tatabahasa07.10.2015
Salam, benarkah ayat ini?'Ayah menggantungkan gambar pada dinding ruang tamu'?.. Jika ya, bagaimanakah saya boleh membezakan penggunaan 'di' dengan penggunaan 'pada'?Setahu saya, 'di' lebih sesuai digunakan untuk tempat. Sekian, terima kasih.Penggunaan kata sendi nama pada dalam ayat contoh tersebut betul. Untuk makluman tuan, kata sendi nama di digunakan di hadapan kata nama tempat seperti di Kuala Lumpur dan kata sendi nama pada menunjukkan keterangan waktu atau tempat seperti pada pukul dan pada dinding.Tatabahasa05.11.2012
Apakah penjodoh bilangan untuk, 'bidai'? Encik Nazharul menggantungkan _______ bidai di hadapan kedainys bagi menahan pancaran terik matahari. A sehelai B sebidang C sekeping D sekajang

Saudara Shevir,

Penjodoh bilangan yang sesuai ialah sekeping bidai. Walau bagaimanapun penggunaan penjodoh bilangan bergantung pada bentuk sesuatu benda, iaitu sekiranya bergulung bolehlah menggunakan segulung bidai. 

Tatabahasa03.08.2009
1. Ali menampal/menampalkan poster pada dinding. 2. Ali sedang menggantung/menggantungkan langsir di ruang tamu. Minta penjelasan. Terima kasih.Ayat yang betul adalah seperti yang berikut:

1. Ali menampal poster pada dinding.
2. Ali sedang menggantung langsir di ruang tamu.
Tatabahasa20.12.2022
Betul atau salah? 1. keluar rumah 2. keluar dari rumah 3. mengemas katil 4. mengemaskan katil 5. peti kecemasan 6. peti pertolongan cemas 7. ambulans 8. kereta ambulans 9. Adik menangis kerana sakit. 10. Adik menangis kerena dia sakit. 11. terjaga dari tidur. 12. terjaga daripada tidur 13. mengeluarkan wang dari dompet 14 mengeluarkan wang daripada dompet 15. terjaga dari tidur 16 terjaga daripada tidur 17. Dia ada hanya sebatang pen. 18. Dia hanya ada sebatang pen. 19. Tiada sesiapa yang datang menolongnya. 20. Tiada sesiapa pun yang datang menolongnya. 21. Tanam-tanaman dihanyutkan air. 22. Tanam-tanaman dihanyutkan oleh air. 23. menggantung belon 24. menggantungkan belon Saya difahamkan bagi benda abstrak, kita tidak boleh menggunakan penjodoh bilangan. Mengapakah saya masih nampak frasa seperti sebuah lagu? Apakah penjodoh bilangan bagi lagu, cerita, tin dan negeri?

Ayat yang betul ialah ayat no. 2, 4, 6, 7, 9, 12, 14, 16, 18, 19 & 20, 21, 24.  Penjodoh bilangan dengan kata nama abstrak sangat terbatas penggunaannya. Selama ini hanya terdapat dua penjodoh bilangan sahaja yang digunakan dalam konteks berkenaan, iaitu patah untuk perkataan dan buah untuk cerita, puisi, negara, masyarakat, parti politik, persatuan dsbnya. 

Tatabahasa25.10.2010
12

Kembali ke atas