Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[meng.hias] | مڠهياس

Definisi : menjadikan sesuatu lebih cantik atau elok (dgn barang yg indah-indah, gambar, solekan, dll): orang perempuan spt Cik Mahaya ini, memang pintar ~ kamar; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[meng.hias] | مڠهياس

Definisi : menjadikan sesuatu lebih cantik (dgn barang yg indah-indah, gambar dll): Dia ~ biliknya dgn gambar dan kertas yg berwarna-warni. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata menghias


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
apa perbezaan menghias, menghiaskan, menghiasi?

Menurut data kami, maksud perkataan menghias ialah menjadikan sesuatu lebih cantik (dengan barang yang indah-indah, gambar dan lain-lain): Dia ~ biliknya dengan gambar dan kertas yang berwarna-warni, manakala maksud menghiaskan ialah mencantikkan (mengindah­kan) dengan sesuatu: dia ~ sebutir kerosang pada bajunya; dan maksud perkataan menghiasi ialah menyebabkan kelihatan lebih cantik: Bintang-bintang ~ langit. Gambar yang berwarna-warni ~ ruangan itu
Makna13.02.2017
1.murid-murid (menghiaskan/ menghias) panji-panji di padang. 2.murid-murid (menghiaskan/ menghias) padang menggunakan panji-panji. Antara 2 ayat. mana yang betul?
Menurut data kami, ayat yang betul ialah 1. Murid-murid menghiaskan panji-panji di padang 2. Murid-murid menghiaskan padang menggunakan panji-panji.
Tatabahasa09.08.2016
1. murid-murid membuat persediaan untuk ( menghias/ menghiaskan ) padang. 2. menjalankan kehidupan yang sihat atau menjalani kehidupan yang sihat?
Menurut data kami, kedua-dua perkataan menghias dan menghiaskan betul. Walau bagaimanapun, ayat yang gramatis ialah murid-murid membuat persediaan untuk menghiasi padang. Merujuk kepada soalan seterusnya, ayat yang betul ialah menjalani kehidupan yang sihat.
Lain-lain05.10.2016
Ayat yang manakah betul? A. Ibu menghias halaman rumah dengan tanaman hiasan supaya kelihatan cantik. B. Ibu menghiasi halaman rumah dengan tanaman hiasan supaya kelihatan cantik.
Menurut data kami, ayat yang betul ialah ibu menghias halaman rumah dengan tanaman hiasan supaya kelihatan cantik.
Tatabahasa22.05.2017
1. Murid-murid ( menghiasi / menghiaskan / menghias ) pentas dengan kain dan bunga hiasan. 2. Ahli bomba ( mengguna / menggunakan ) kapak untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta.

1. Murid-murid menghias pentas dengan kain dan bunga hiasan. - menghias, bermaksud menjadikan sesuatu lebih cantik (dengan barang yang indah-indah, gambar dan lain-lain)

2. Ahli bomba menggunakan kapak untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta. - menggunakan, bermaksud melakukan sesuatu dengan ____ .

Tatabahasa30.09.2010
Kami bergotong-royong untuk __ kelas kami. Yang manakah paling tepat : menghiaskan/menghiasi/menperhiasPerkataan yang tepat ialah menghias.Tatabahasa06.08.2013
Assalamualaikum Wbrt. Tuan Harap dapat penjelasan terperinci kenapa ayat di bawah salah: 1) Kejadian gempa bumi itu telah mengorbankan banyak nyawa. 2) Tokoh ilmuan itu menceritakan tentang kenangan beliau ketika menuntut di universiti. 3) Kerja-kerja menghias bilik itu telah disiapkan oleh kami sebentar tadi. 4) Rancangan untuk memperindahkan tamannya terpaksa ditangguhkan kerana menghadapi masalah kewangan. Atas penjelasan tuan itu, didahului dengan ucapan terima kasih. Izani b. Hj. Daud.1) Kejadian gempa bumi itu telah mengorbankan banyak nyawa. - subjek ayat tidak perlu didahului kata kejadian.  
2) Tokoh ilmuan itu menceritakan tentang kenangan beliau ketika menuntut di universiti. - kata menceritakan tidak tepat dari segi makna ayat, sebaliknya ganti dengan perkataan lain seperti ... mengimbau kenangan ketika beliau ... 
3) Kerja-kerja menghias bilik itu telah disiapkan oleh kami sebentar tadi. - Ayat pasif diri pertama tidak menerima bentuk pasif di-... + oleh seperti kata ganti nama diri ketiga.
4) Rancangan untuk memperindahkan tamannya terpaksa ditangguhkan kerana menghadapi masalah kewangan. - memperindah, bukan memperindahkan
Tatabahasa08.03.2012
Soalan berkaitan istilah bagi barangan tembikar. Adakah ayat dalam bahasa melayu bagi " Slip-painted calligraphic bowl" adalah "Mangkuk berhias slip berkaligrafi"?Sekiranya "slip painted" merupakan teknik menghias tembikar, maka pihak kami mencadangkan istilah "slip-painted calligraphic bowl" diterjemahkan sebagai "mangkuk bercat kaligrafi gelincir". Namun, sekiranya "slip" merujuk kepada kepingan kertas yang dilekatkan pada tembikar,  padanan yang tepat bagi istilah tersebut ialah "mangkuk berhias kepingan kaligrafi" atau "mangkuk berhias kepingan khat".Istilah21.08.2020
1. apa makna tatarias, ketel? 2. bagaimana nak bezakan imbuhan perkataan yang dekat dengan yang jauh

1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, makna tatarias ialah usaha (cara dsb) mengatur atau menyusun hiasan utk sesuatu yg akan dipertunjukkan, cara dsb menghias sesuatu (spt muka, rambut, dll). Ketel pula mempunyai 2 maksud, iaitu  Jw 1. rimbun (pokok), lebat (daun); 2. padat atau penuh sesak (orang atau penduduk negeri dll).

2. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk tujuan tersebut.

Makna20.03.2010
Beca yang dihiasi/dihiaskan dengan Jalur Gemilang tampak cantik dan menarik ketika membawa pelancong. Jawapan manakah yang paling sesuai dihiasi atau dihiaskan....bagaimana cara mengenal pasti jawapan tersebut. 2) Beberapa orang murid sedang menjalani/menjalakan latihan lumba lari di padang sekolah. Jawapan manakah yang paling sesuai menjalani atau menjalankan....bagaimana cara mengenal pasti jawapan tersebut.. 3) murid-murd yang bertugas sibuk menghias/menghiasi pentas dengan kain renda yang cantik. Jawapan manakah yang paling sesuai menghiasi atau menghias....bagaimana cara mengenal pasti jawapan tersebut...Apitan di...kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan. Segala ciri apitan ini dan maknanya tidak berubah daripada yang terkandung dalam imbuhan-imbuhan di- dan -kan. Contohnya "memberikan" (bentuk aktif) dan "diberikan" (bentuk pasif). 

Apitan meN...i perlu diikuti objek yang bernyawa, contohnya; Ayah mengirimi Ali surat, manakala apitan meN...kan diikuti objek yang tidak bernyawa, contohnya; Ayah mengirimkan surat kepada Ali. Dalam hal ini penggunaan apitan meN...i dan meN...kan akan menentukan objek yang mengikutinya sama ada objek bernyawa atau tidak bernyawa. Pada kelazimannya juga apitan meN...kan menunjukkan objek yang mengikutinya bergerak, contohnya; Ayah menaikkan tangga (tangga - objek bergerak), dan apitan meN...i menunjukkan objek yang mengikutinya itu tidak bergerak, contohnya Ayah menaiki tangga (tangga - tidak bergerak).

Contoh frasa yang diberikan ialah 'menjalankan kehidupan' men-...-kan perlu diikuti objek yang tidak bernyawa iaitu 'kehidupan'. Jadi jawapan yang tepat ialah 'Menjalankan kehidupan'


Jawapan yang betul ialah;

1. dihiaskan dengan beca...
2. menjalankan latihan...
3. menghiaskan pentas...
Tatabahasa10.04.2013
12

Kembali ke atas