Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[me.ngu.bah] | مڠوبه

Definisi : 1. berubah, menjadi lain: cara hidupnya telah ~ drpd cara hidup nenek moyangnya; 2. menjadikan berlainan atau berbeza drpd yg asal (semula jadi atau sebelumnya), menukar kpd yg lain: kejadian itu telah ~ sikapnya terhadap wanita; Chomsky sendiri telah beberapa kali ~ pendiriannya tentang aspek-aspek tertentu; 3. menjadikan lebih baik (drpd yg semula jadi, yg asal, atau sebelumnya), memperbaiki (keadaan yg kurang baik dll): Tuhan tidak akan ~ seseorang itu jika dia sendiri tidak berusaha ~ dirinya; kanak-kanak yg baru bersekolah akan terpaksa ~ kebiasaan mereka dgn tiba-tiba; 4. menyusun semula (cerita, karangan, dll), mengolah kembali; 5. tidak menepati (janji, sumpah, dll), tidak mematuhi (peraturan, adat, dll), melanggar (adat dll), menyalahi: sekalian adat dan pekerjaan ini semuanya drpd adat purba-kala, jikalau barang siapa ~ atau memecahkan itu, nescaya ditimpa daulat marhum yg tua-tua; 6. bp memindahkan ke tempat lain (benih semaian dll), mengalihkan: benih padi disemai dlm bulan Jun atau Julai supaya kerja ~ boleh dilakukan dlm bulan Ogos; 7. mengalih (arah dll) dr yg asal atau semula, menukar arah dsb: pandangan itu kemudian-nya diubah ke muka bapanya; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[me.ngu.bah] | مڠوبه

Definisi : 1 menjadikan berbeza drpd yg semula; menukar: Sejak hari itu, ia telah ~ cara hidupnya. 2 menyusun semula sesuatu cerita, karangan dll sehingga menjadi berlainan drpd yg asal; mengolah kembali: Ia ~ jalan cerita itu sehingga menjadi cerita jenaka. 3 tidak menepati janji, sumpah dll; menyalahi yg biasa: Mereka tidak mahu ~ adat resam yg telah dipusakai dr nenek moyang mereka. 4 memindahkan atau mengalih sesuatu dr tempat asalnya ke tempat lain (spt benih dr tapak semaian ke sawah). 5 menukar atau mengalih arah sesuatu (spt pandangan, haluan): ~ pandangan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
ubah
Kata Terbitan : berubah, berubah-ubah, mengubah, memperubahkan, perubahan,

Puisi
 

Burung haji terbang ke haji,
     Tapak Sulaiman di bawah tangannya;
Jika adinda mengubah janji,
     Melungsur iman dari badannya.


Lihat selanjutnya...(4)
Peribahasa

Secubit tiada dapat menjadi segenggam.

Bermaksud :

Tak dapat mengubah nasib yang sudah ditentukan.

 

Lihat selanjutnya...(7)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
'merobah' atau 'mengubah',manasatu yang boleh digunakan?Perkataan yang betul ialah mengubah. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 1338, perkataan merobah merujuk mengubah. Oleh itu, istilah yang baku ialah mengubah.Ejaan15.03.2009
Ingin penjelasan perkataan "merubah". Pertubuhan kami menetapkan misi sebagai "Tarbiah Melahirkan Pemimpin dan Dakwah Merubah Masyarakat". Apakan perkataan "mengubah" lebih tepat berbanding "merubah"? Terima kasih.Dalam Kamus Dewan merubah sama maksud dengan mengubah. Walau bagaimanapun, bentuk binaan kata yang lebih tepat ialah mengubah, meN- + ubah maka terbentuklah mengubah dan kata mengubah juga lebih banyak digunakan dalam teks bahasa Melayu. Tidak ada awalan mer- dalam bahasa Melayu, namun kata merubah diterima pakai kerana telah banyak digunakan dalam kalangan masyarakat.Tatabahasa23.09.2019
Apa perbezaan "merubah" dan "mengubah". Sila ambil maklum saya ingin mengadakan sebuah pertandingan mencipta blog berdasarkan tema "Broadband Merubah Hidup Saya".

Kata 'merubah' daripada kata dasar 'rubah' yang bermaksud mengubah.

Kata 'mengubah' adalah kata terbitan 'ubah'. 

Makna22.10.2009
Salam. Bagi tujuan 'alter' seluar, apakah perkataan BM yang sesuai untuk digunakan? Mengubah seluar, membaiki seluar atau mengubah suai seluar? Sy kerap lihat pada papan tanda atau 'banner' kedai yg menulis "membaiki seluar jeans". Bagi saya ianya tidak sesuai. Mohon pencerahan tuan. Terima kasih.Salam sejahtera,

Padanan "alter" ialah mengubah suai seluar.

Sekian, terima kasih.
Penyemakan dan penterjemahan05.04.2019
Kami telah mengubah perkataan seperti yang disarankan oleh DBP sebelum ini. Terima kasihUntuk pengesahan iklan, kemukakan permohonan tuan melalui portak "Khidmat Pengesahan Bahasa DBP".Lain-lain04.11.2015
Adakah komputer mengubah pemikiran kita?

Pertanyaan ini lebih berbentuk tugasan pelajar dan memerlukan kajian dan penyelidikan yang terperinci. Saudara digalakkan mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka atau mana-mana perpustakaan/pusat sumber untuk menyelesaikan tugasan kuliah saudara.  

Lain-lain15.08.2010
"Mengubah suainya" - perlukah dieja rapat sebagai "mengubahsuainya"? Memandangkan "nya" ialah objek, bukannya imbuhan, mungkin tidak perlu dieja rapat, tetapi kelihatan agak janggal.

Ejaan yang betul ialah mengubah suai“. Tukarkan “nya” kepada kata nama objek tersebut, contohnya “mengubah suai rumah.”

Tatabahasa21.11.2023
mengubah bunga atau menggubah bunga? Sebagai contoh, bakul wakid selain dijadikan perhiasan rumah ialah dijadikan pasu untuk mengubah bunga di dalam rumah. Yang mana satukah yang lebih tepat penggunaannya? Penggunaan perkataan yang betul dalam konteks ayat yang diberikan ialah "menggubah" yang bermaksud mengatur atau menyusun bunga dan sebagainya untuk perhiasan. Tatabahasa29.10.2020
AsSalam. Saya ingin bertanya jika ayat berikut adalah betul atau tidak: "Anda telah mengubah tetapan grup ini untuk membenarkan pentadbir sahaja untuk menghantar mesej ke grup ini" Perlukah ada perkataan "untuk" sebelum menghantar mesej? Terima kasih.Kedua-duanya boleh digunakan. i. Anda telah mengubah tetapan grup ini untuk membenarkan pentadbir sahaja untuk menghantar mesej ke grup ini.
ii. Anda telah mengubah tetapan grup ini untuk membenarkan pentadbir sahaja menghantar mesej ke grup ini.
Makna09.01.2019
Tuan, adakah penggunaan kata hubung keterangan harapan "agar" digunakan dengan cara yang betul dalam ayat di sebelah? 1. Saya berharap agar dia dapat mengubah sikapnya yang suka tidur semasa guru sedang mengajar. Perlu digunakan kata hubung keterangan harapan "agar", atau kata hubung komplemen "bahawa" lebih sesuai digunakan, seperti dalam ayat seterusnya: 2. Saya berharap bahawa dia dapat mengubah sikapnya yang suka tidur semasa guru sedang mengajar. Saya mengharapkan penjelasan daripada pihak DBP. Terima kasih atas perhatian yang diberikan. Ayat yang betul ialah 1. Saya berharap agar dia dapat mengubah sikapnya yang suka tidur semasa guru sedang mengajar.Tatabahasa12.02.2015
12345678910...

Kembali ke atas