Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[me.ri.ngan.kan] | مريڠنکن

Definisi : 1. menjadikan ringan, meng­en­­teng­kan, memudahkan: ~ bebanan; dlm usaha ~ hikayat ini, diusahakan supaya ke­asli­­an penulisannya dikekalkan; 2. = me­ringan-ringankan menganggap ringan (mudah dll): ia sangat ~ agamanya; ia se­ngaja ~ hukum; pe­nyakit yg berjangkit tidak boleh diringan-ringan­kan; sembahyang tidak sekali-kali boleh diringan-ringankan; 3. ki mengurang­kan (hukuman): merayu supaya hukuman mati itu diringankan kpd penjara seumur hidup sahaja; ~ kaki sudi datang; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[me.ri.ngan.kan] | مريڠنکن

Definisi : 1 menjadikan ringan; memudahkan; menyenangkan: Mesin-mesin moden sesungguhnya telah dpt ~ kerja para petani di kampung. 2 memandang tidak mustahak atau tidak penting; menganggap ringan (mudah): Dia tidak suka ~ agamanya. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
ringan (adjektif)
1. Bersinonim dengan mudah: senang, ringkas, enteng, gampang,
Berantonim dengan sukar

2. Bersinonim dengan kecil: remeh, enteng, tidak penting, tidak mustahak,
Berantonim dengan penting

Kata Terbitan : meringankan, memperingan,

Peribahasa

Air tawar secawan dituangkan ke dalam laut,
     takkan dapat menghilangkan masinnya.

Bermaksud :

Pertolongan yang sedikit tidak dapat meringankan beban kesengsaraan yang besar.

 

Lihat selanjutnya...(3)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Yang manakah paling tepat: 1. Pelbagai cara membantu ibu bapa di rumah. Antaranya adalah dengan membersihkan ruang tamu untuk meringankan beban ibu bapa. 2. Pelbagai cara membantu ibu bapa di rumah. Antaranya ialah membersihkan ruang tamu untuk meringankan beban ibu bapa. 3. Pelbagai cara membantu ibu bapa di rumah. Antaranya membersihkan ruang tamu untuk meringankan beban ibu bapa.Cadangan penggunaan yang gramatis ialah "Pelbagai cara membantu ibu bapa di rumah. Antaranya ialah membersihkan ruang tamu untuk meringankan beban ibu bapa."

Tatabahasa03.07.2023
Adakah struktur ayat ini betul? 1. Bantuan wang BR1M dapat meringankan beban mereka secara serba sedikit.Ayat yang betul ialahBantuan wang BR1M dapat meringankan beban mereka.Tatabahasa30.07.2014
Kenapa ayat "Antaranya ialah membersihkan ruang tamu untuk meringankan beban ibu bapa" betul? Selepas kata pemeri ialah tidak boleh hadir kata kerja. Ayat ini diambil daripada ruangan jawapan khidmat nasihat juga. Mohon penjelasan terima kasih.Kata pemeri ialah mesti diikuti kata nama, seperti Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia. Penggunaan kata pemeri "ialah" dalam ayat Antaranya ialah membersihkan ruang tamu untuk meringankan beban ibu bapa, tidak tepat. Kami mohon maaf atas kekeliruan tersebut.Tatabahasa24.03.2024
makna meremit dalam bahasa melayuRemit padanan dalam bahasa Melayu ialah mengirimkan, meringankan, dan menangguhkan. Tidak ada kata remit atau terbitan darinya dalam bahasa Melayu. Makna11.12.2008
Salam sejahtera, Adakah perkataan "atas" hanya merujuk perkara yang abstrak? contohnya seperti ini: Dia bertanggungjawab atas penumpahan darah itu. Adakah boleh juga digunakan untuk sesuatu yang bukan abstrak seperti ayat ini: Hakim meringankan hukuman yang dikenakan atas pesalah tersebut. mohon penjelasan. terima kasihAtas ialah kata arah dan kata arah lazimnya hadir sebelum frasa nama atau sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Penggunaan "atas" dalam ayat pertama adalah betul. Walau bagaimanapun, dalam ayat kedua, penggunaan "atas" adalah salah. Perkataan yang lebih tepat ialah "terhadap (Hakim meringankan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah tersebut.)Tatabahasa08.07.2016
salam saya ingin bertanya apakah maksud dan penggunaan perkataan mitigate & mitigation.Padanan bahasa Melayu bagi perkataan mitigate ialah mengurangkan, meringankan dan mitigation pula ialah pengurangan.Makna21.05.2010
As salam... 1.Saya ingin bertanya tentang penggunaan kata tanya . Adakah boleh digunakan dalam ayat biasa selain daripada ayat tanya 2.a.Dia menunjukkan bagaimana cara membuat kuih itu. b. Dia menunjukkan cara membuat kuih itu. c. Bertanya kepada pekerja bagaimana anda boleh membantunya meringankan beban kerja. d. Bertanya kepada pekerja cara anda boleh membantu meringkankan beban kerjanya. Mohon betulkan penggunaa kata tanya dalam keempat- empat ayat di atas?1. Kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu, contohnya mengapa, berapa, bila dan bagaimana. Kata tanya hadir dalam ayat sebagai sebahagian daripada predikat. Sekiranya kata tanya dikedepankan, kehadirannya dalam bentuk tulisan hendaklah disertai partikel -kah.

2. Ayat a dan b, betul. Untuk ayat “a” perkataan “bagaimana” tidak berfungsi sebagai kata tanya, sebaliknya bertujuan untuk menerangkan cara sesesuatu itu dilakukan atau dengan jalan apa sesuatu itu digunakan.

3. Ayat c dan d tidak betul dari segi susunannya. Ayat yang betul ialah “Dia bertanya apa yang perlu dilakukan untuk meringankan beban kerja pekerjanya.”
Tatabahasa13.07.2019
Saya menghadapi masalah dalam memperbetul ayat-ayat ini jika ayat-ayat ini salah. 1- Hal ini dilihat dari segi penyalahgunaan perkataan tertentu. (dari segi) 2- Pasukan bomba dari Balai Bomba Daerah Dungun samapai dalam masa 10 minit. (dari Balai) 3- Kita boleh membantu kedua-dua ibu bapa dengan meringankan bebanan tugas mereka. (boleh membantu)

Encik Nor Nizam, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP.

Saya menghadapi masalah dalam memperbetul ayat-ayat ini jika ayat-ayat ini salah. 1- Hal ini dilihat dari segi penyalahgunaan perkataan tertentu. (dari segi) 2- Pasukan bomba dari Balai Bomba Daerah Dungun samapai dalam masa 10 minit. (dari Balai) 3- Kita boleh membantu kedua-dua ibu bapa dengan meringankan bebanan tugas mereka. (boleh membantu)

ketiga-tiga soalan yang ditanyakan adalah betul.

 

Tatabahasa17.03.2009
apakah kebaikan gotong-royong

Gotong-royong bermaksud sama-sama mengerjakan sesuatu atau saling membantu ketika membuat sesuatu. Sudah tentu banyak kebaikan yang kita dapat apabila sesuatu kerja dilakukan bersama-sama. Kita dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih erat lagi, meringankan beban kerja yang berat/banyak, menjana ekonomi lebih luas lagi dll.

Lain-lain19.02.2009
Terima kasih atas bantuan. Seterusnya saya ingin kepastian tentang jawapan bagi soalan-soalan yang berikut: 1. Abu berasa _____ apabila melihat Rokiah yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya. A kaget B takjub C kagum D pelik 2. Masih ada ____ pendapat dalam kalangan orang ramai tentang punca kenaikan harga barang. A kekelituan B kegusaran C perselisihan D perbandingan 3. SUNGGUH AMAT INDAH pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. A AMAT TERINDAH B SUNGGUH AMAT INDAH C AMAT SUNGGUH TERINDAH 4. Biasiswa itu DIBERI KEPADA PELAJAR yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan keluarga mereka. A DIBERI KEPADA PELAJAR B DIBERIKAN PADA PELAJAR C DIBERI UNTUK PELAJAR Terima kasih

1. Abu berasa kaget apabila melihat Rokiah yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya.

2. Masih ada perselisihan pendapat dalam kalangan orang ramai tentang punca kenaikan harga barang. 

3. SUNGGUH AMAT INDAH pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu.  

4. Biasiswa itu DIBERIKAN KEPADA PELAJAR yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan keluarga mereka.

Tatabahasa19.10.2010
12

Kembali ke atas