bolehkah saya menggunakan perkataan pangeran di sekolah? yang kedua dari manakah perkataan pangeran berasal? berdasarkan carian saya di Google ia berasal daripada perkataan Jawa Kuno tapi adakah perkataan ini adalah perkataan asli jawa atau adakah ianya perkataan serapan dari Sanskrit dan lain2? Terima kasih | Pangeran berasal daripada bahasa Jawa. Pangeran dalam bahasa Melayu membawa maksud “gelaran untuk keluarga atau anak raja di Jawa dan di Brunei.” (Kamus Dewan Perdana). Padanan ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya. | Lain-lain | 10.04.2022 |
Salam Sejahtera. Bagaimana kerabat diraja mengelar adik-beradik mereka? Adakah frasa seperti "kanda andak" dan "dinda long" betul? | Panggilan sapaan bagi kerabat diraja yang sebaya dengan abang, kakak atau adik ialah kakanda (kekanda/kanda) dan adinda (dinda). Penggunaan frasa "kanda andak" dan "dinda long" tidak ditemui dalam teks klasik bahasa diraja, khususnya dalam pangkalan data Malay Concordance Project (MCP). Kata yang selalu dikolokasikan dengan kanda dan dinda adalah seperti Kanda Tengku Embung, Kanda Seri Indera, adinda baginda tuan puteri, Adinda Asma Penglibur, adinda baginda Maharaja/Raja/Pangeran dan sebagainya. Kesimpulannya, kata kanda dan adinda digunakan secara kata nama tunggal atau frasa nama dengan gabungan yang tertentu dan khusus sifatnya (dengan kata nama khas). Namun, tidak dinafikan adanya pengguna kata kanda dan dinda dalam panggilan orang bangsawan yang dilakonkan dalam drama kepahlawanan, kependekaran dan sebagainya. Mohon rujuk buku Bahasa Diraja Edisi Baharu (Asmah Haji Omar. DBP, 2016) untuk penjelasan lanjut. Untuk carian makna kata yang terkini, sila dapatkan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Lain-lain | 24.07.2023 |