Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[pa.wang] | ڤاوڠ

Definisi : 1. orang yg mempunyai kebolehan utk melakukan sesuatu (biasanya dgn mengguna­kan kuasa ghaib); 2. orang yg pandai meng­ubati orang sakit dll (dgn menggunakan jampi mantera dll), bomoh, dukun; ~ belat (jermal, kelong) orang yg menangkap ikan dgn belat (jermal, kelong); ~ buaya orang yg pandai menangkap buaya; ~ buru = ~ pemburuan orang yg ahli dlm hal memburu; ~ darat pawang yg bertugas di darat (tidak di laut); ~ gaharu (kapur) pawang yg bijak dlm hal-hal mengutip gaharu (kapur); ~ gajah orang yg pandai menangkap serta menjinak­kan gajah; ~ hujan orang yg pandai menolak (menjauhkan) hujan; ~ hutan orang yg ahli mengenai hutan; ~ kapal jurumudi; ~ laut (pukat) ketua kumpulan nelayan; ~ lebah orang yg pandai mencari manisan lebah; berpawang meminta pertolongan pawang utk mengubati penyakit dsb: puas sudah kami berbomoh dan ~; perpawangan hal (amalan, pengubatan dsb) yg berkaitan dgn pawang: kehadirannya di pentas perbomohan, perdukunan atau ~ memberi tokoh itu keistimewaan tertentu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[pa.wang] | ڤاوڠ

Definisi : 1 orang yg mempunyai kebolehan istimewa melakukan sesuatu, biasanya dgn menggunakan kuasa ghaib. 2 orang yg pandai mengubati orang sakit dgn jampi dll; dukun; bomoh. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata pawang


Ensiklopedia

TajukSinopsisBidangKlasifikasi
PAWANG

PAWANG, orang yang mahir dalam hal upacara magis, Lazimnya, seseorang itu hanya boleh menjadi pawang setelah mendapat 'panggilan' daripada kuasa ghaib iaitu . menerima kuasa daripada roh nenek moyang.  Pawang menggunakan kuasa magis untuk pelbagai tujuan seperti mengubat orang sakit, menilik barang yang hilang dan menilik masa depan seseorang.  Pawang adalah sebagai perantara alam nyata dengan alam ghaib dan mempunyai pengetahuan memanipulasi alam untuk keperluan masyarakat.  Terdapat beberapa jenis pawang seperti pawang hujan, pawang bijih, pawang belat dan sebagainya.

BUDAYAKepercayaan
PAWANG ANA

PAWANG ANA ( ? -? ), penglipur lara Melayu pada abad ke-19.  Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui.  Pawang Ana berasal dari Perak.  Dia ialah bapa mentua Mir Hassan, juga seorang penglipur lara.  Cerita-cerita yang dituturkan oleh Pawang Ana dikumpul pada akhir abad ke-19 oleh R.O. Winstedt, seorang pegawai tadbir British di Tanah Melayu.  Usaha pencatatan cerita-cerita ini dilakukan oleh Raja Haji Yahya dari Cendering, Perak.  Antara cerita yang dituturkan oleh Pawang Ana termasuklah Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Anggun Cik Tunggal.

SASTERATokoh
DUKUN

DUKUN, pengamal pengubatan tradisional. Ada pelbagai jenis dukun antaranya termasuklah dukun bayi (bidan), dukun picit (bomoh urut), dukun prewangan (bomoh yang boleh menghubungi semangat), dukun jalak (mudin), dukun wiwit (pawang yang pakar dalam upacara menuai), dukun temanten (pawang yang arif dalam upacara berhubung dengan perkahwinan), dukun petungan (dukun yang mahir dalam hal ramalan melalui pengiraan angka), dukun sihir dan dukun susuk.

BUDAYAKonsep
MIR HASSAN

MIR HASSAN (   ?   -   ?   ), penglipur lara Melayu.  Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Dia ialah menantu Pawang Ana. Mir Hassan dan Pawang Ana merupakan tokoh penglipur lara Melayu awal yang mendapat perhatian pentadbir British di Tanah Melayu, terutamanya R.J. Wilkinson dan R.O. Wintedt yang berminat mengkaji kesusasteraan Melayu lama.  Tiga buah cerita lipur lara yang dituturkan oleh Mir Hassan ialah Raja Donan, Hikayat Seri Rama dan Raja Ambung.  Rangka cerita Raja Donan yang dituturkan oleh Mir Hassan menyerupai bentuk rangka cerita tuturannya yang lain. 

SASTERATokoh
BELIAN

BELIAN, bomoh atau pawang yang mempunyai kebolehan menghubungkan manusia dengan alam makhluk ghaib, dengan bantuan hantu belian.

BUDAYAKonsep
PENGERAS

PENGERAS, sesuatu benda yang diberikan oleh seseorang kepada bomoh, pawang atau bidan untuk perkhidmatannya.  Pengeras juga diberikan oleh anak murid kepada guru silat.  Pengeras melambangkan  kesediaan bakal murid itu menerima ilmu yang bakal diperturunkan kepadanya.

BUDAYAKepercayaan
SEPUTUM

SEPUTUM (  ?  -1876), pawang yang dititahkan oleh Sultan Perak membunuh J.W.W. Birch.  Dia juga dikenal sebagai Sekutum. Dia berketurunan Melayu dan tinggal di Pasir Salak.  Seputum telah diperintahkan oleh Sultan Abdullah melalui Dato’ Maharaja Lela supaya membunuh Birch. Dia juga diperintahkan supaya merahsiakan rancangan mereka itu.  Jika dia membocorkan rahsia, dia serta anak isterinya akan dibunuh oleh Dato’ Maharaja Lela.

SEJARAH DAN ARKEOLOGITokoh
TILIK

TILIK, perbuatan merenung, meramal atau menelah sesuatu yang sudah atau akan terjadi sama ada peristiwa, penyakit atau nasib. Tilik banyak dikuasai oleh bomoh, dukun atau pawang. Bagaimanapun, cara menilik berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Biasanya tukang tilik menggunakan tapak tangan untuk menilik. Daripada garis-garis tapak tangan, seseorang tukang tilik boleh mengetahui nasib rezekinya, kedudukan pekerjaannya, jodoh pertemuan, kebahagiaan rumah tangga, kedudukannya dalam masyarakat dan juga penyakit. Daripada tapak tangan juga, tukang tilik dapat melihat apa yang sudah dialami oleh seseorang, penyakit yang pernah dihadapi dan kejadian penting yang tidak terlupakan sehingga menghantui seseorang itu.

BUDAYAKonsep
MANANG

MANANG, individu dalam masyarakat Iban, yang berkebolehan menyembuh atau mengubat penyakit. Manang boleh mengubati penyakit sebagaimana bomoh atau pawang. Dalam masyarakat Iban, manang dianggap sebagai khunsa dan berupaya menerima kuasa luar biasa.

BUDAYABangsa/Suku/Kaum
ILMU HITAM

ILMU HITAM, kuasa alam dalam masyarakat Melayu tradisional. Kuasa ini digunakan untuk melakukan sesuatu yang jahat. Penguasaan ilmu ini disebarkan secara sulit. Hanya bomoh atau pawang yang mahir tentang ilmu hitam ini dianggap pakar atau orang yang berkebolehan, tetapi mereka ini dipandang rendah oleh masyarakat.

BUDAYAKonsep
12

Kembali ke atas