Mumtaz Jaafar (1962– ), atlet Malaysia. Dia lahir
pada tahun 1962 di Kuala Lumpur. Kerjaya awalnya
ialah pegawai bank. Dia banyak memegang jawatan
utama dalam organisasi sukan olahraga, antaranya
Naib Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia
(KOAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan
Wanita KOAM. Dia kini, menjadi jurulatih khas
untuk pelari pecut negara, Watson Nyambek.
Penglibatan awal Mumtaz dalam sukan olahraga
terutamanya dalam acara lari 100 meter, 200 meter,
4 x 100 meter, dan 4 x 400 meter, bermula
dengan menyertai kejohanan-kejohanan anjuran
Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor (MSSS)
dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia
(MSSM). Namanya terus menyinar apabila banyak
meraih kejuaraan tempatan, antaranya juara
Kejohanan Terbuka Kebangsaan, Kejohanan Antara
Bank, dan Kejohanan MAKSAK.