Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[per.cin.ta.an] | ڤرچينتاءن

Definisi : 1. perihal bercinta-cintaan atau berkasih sayang (antara laki-laki dan perempuan): kahwin itu ialah kemuncak ~;2. sl perasaan dukacita (sedih, pilu, rindu, menyesal, dll), kesedihan, kesusahan: maka oleh bonda baginda kedua anakanda baginda, kedua-dua anakanda baginda dipeluk dicium, maka ~ bonda baginda pun hilanglah; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[per.cin.ta.an] | ڤرچينتاءن

Definisi : 1 hal berkasih-kasihan atau bercinta-cintaan (antara laki-laki dgn perempuan). 2 perasaan sedih (susah dsb); rindu dendam; gundah-gulana. pencinta orang yg sangat suka (akan); penggemar: ~ seni. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata percintaan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Adakah ayat- ayat- di bawah betul? a) Persoalan tentang kesetiaan dalam percintaan. b) Kita hendaklah setia dalam percintaan.Untuk makluman, kedua-dua ayat tersebut tidak mengandungi sebarang kesalahan.Lain-lain07.04.2016
AYAT: Mampukah cinta tercipta antara dua dunia? (situasi: percintaan antara dua individu yang berbeza latar belakang) - SOALAN: penggunaan "antara" atau "di antara" yang betul?

Frasa sendi nama di antara digunakan apabila kata antara berfungsi sebagai kata nama. Frasa sendi nama di antara hanya dapat digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat. Contohnya: 1. Anak kecil itu duduk di antara ibu dengan bapanya. 2. Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura.

1. Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: 1. Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. 2. Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya.

2. Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah... (betul). Antara lagu-lagu persembahannya ialah... (salah)

3. Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalamai penggandaan separa seperti adik-beradik yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik.

4. Kata sendi nama antara boleh juga diikuti oleh bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh, seribu dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, dan kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, ketiga-tiga, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu jauh perbezaannya.

5. Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama diri seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara mereka, banyak persamaannya. 

Mampukah cinta tercipta antara dua dunia?- TEPAT

Tatabahasa03.10.2012
1.apakah istilah yang paling sesuai digunakan untuk seseorang yang melakukan kerja membancuh air di kedai makan? 2.saya difahamkan ayat "novel ini mengisahkan tentang percintaan dua orang remaja" adalah salah.saya ingin mengetahui mengapakah ayat ini dianggap ayat yang salah.1. Boleh digunakan "pembancuh air" tetapi lazimnya kita menggelar mereka pembantu di kedai makan.
2. Mengisahkan ialah kata kerja transitif yang perlu diikuti objek (percintaan) selepasnya. Oleh itu, kata sendi nama tentang tidak boleh hadir selepasnya.
Tatabahasa10.07.2012
Sekiranya "melalui" digunakan sebagai kata sendi dalam tajuk esei, adakah ia harus dimulakan dengan huruf besar? "Penelitian Pengalaman Percintaan Sepanjang Hayat Li Qingzhao Melalui/melalui Karya-karyanya" Terima kasih.Perkataan "melalui" sebagai kata sendi hendaklah ditulis dengan awalan huruf kecil. Ini bermakna bagi contoh ayat di atas awalan melalui ditulis dengan huruf kecil.Tatabahasa05.03.2007
Definisi Sastera PanjiSastera Panji adalah karya-karya berbentuk hikayat yang secara umum berkisar di sekitar pengembaraan dan percintaan watak utamanya. Antara contoh karya Sastera Panji ialah Hikayat Chekil Waneng Pati, Hikayat Misa Perabu Jaya, Hikayat Panji Semirang, Cerita Damar Wulan dan lanin-lain.Lain-lain22.11.2007
Mengapakah kata seperti kebertanggungjawaban, keberadaan, keberhasilan, keberkesanan dan kata - kata seumpamanya menggunakan apitan ke-...-an dan bukannya per-...-an seperti pergaduhan (bergaduh), permainan (bermain), perjanjian (berjanji), percintaan (bercinta) dan seumpamanya? Salahkah jika kebertanggungjawaban saya tulis sebagai pertanggungjawaban, keberadaan sebagai peradaan, keberkesanan sebagai perkesanan dan keberhasilan sebagai perhasilan? Saya mohon pencerahan dan berterima kasih jika pihak DBP menjawab pertanyaan (kebertanyaan?) saya.

Apitan pe-...-an membentuk kata nama. Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat atau kawasan khusus, seperti petempatan dan pesisiran.  Hasil gabungan apitan ini dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas menandakan makna khusus, iaitu hal yang berkaitan dengan kata dasar atau hasil daripada melakukan maksud kata dasarnya  seperti perakuan dan persengketaan.

Untuk mengenal pasti kelas kata terbitan daripada apitan ke-...-an hendaklah melihat konteks penggunaannya dalam ayat. Dalam buku Tatabahasa Dewan, perkara ini diterangkan di bawah tajuk Aspek makna apitan ke-...-an (halaman 213), contohnya perkataan kehujanan ialah kata nama sepertimana fungsinya dalam ayat "Dia kehujanan di jalan".
Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 212-213

Tatabahasa22.11.2017
Assalamualaikum Tuan/Puan. Merujuk pertanyaan saya yang bertarikh 24 Mac 2021, mohon penjelasan mengapakah kata kerja dalam ayat (1 hingga 3) berikut salah tetapi dalam ayat (4 hingga 7) betul. Saya keliru dengan penggunaan imbuhan ‘kan’ apabila dua kata kerja digunakan serentak dalam ayat. Adakah kata kerja ‘merancang dan menentukan’ memang tidak boleh digunakan dalam situasi ayat no.4.Terima kasih. 1.Syarikat swasta banyak [mengeluar dan menerbitkan] filem yang bertemakan percintaan. 2.Pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Inspirasi sedang [membersih dan menceriakan] kelas mereka. 3.Mereka sepatutnya [mengutama dan meletakkan] kepentingan negara apabila bertindak. 4.Ibu bapa hendaklah [merancangkan dan menentukan] masa depan anak-anak mereka dengan baik. 5.Markah calon yang [menukarkan dan menambahkan] imbuhan dalam ayat ini akan dipotong. 6.Tugas kami ialah [membersihkan dan mengecatkan] dinding bangunan kerajaan itu sahaja. 7.Saya telah [mengutip dan menyerahkan] bayaran yuran itu kepada guru penasihat.

Sebaiknya kata kerja  dalam ayat 1 hingga 3 perlu mempunyai pola imbuhan ‘kan’ yang sama pada kedua-dua perkataan tersebut seperti yang berikut.

1. Syarikat swasta banyak [mengeluarkan dan menerbitkan] filem yang bertemakan percintaan.

2. Pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Inspirasi sedang [membersihkan dan menceriakan] kelas mereka.

3. Mereka sepatutnya [mengutamakan dan meletakkan] kepentingan negara apabila bertindak.

Manakala bagi ayat 4, tidak salah penggunaannya, cuma tidak menjadi kebiasaan menggunakannya dalam ayat. Merancangkan ialah membuatkan sesuatu rancangan.

4. Ibu bapa hendaklah [merancangkan dan menentukan] masa depan anak-anak mereka dengan baik.

Seterusnya bagi ayat 5 hingga 7 betul penggunaan ayatnya.

Tatabahasa30.03.2021
Apakah maksud "Bahasa Romantik" mengikut pandangan para sarjana dan apakah ciri-ciri bahasa romantik yang terdapat dalam teks klasik contohnya Hikayat Jauhar Manikam karya Mohd Tajri b. Abu Yamin.

Romantika atau dalam penggunaan umum romantik bermaksud memberikan suasana (gambaran dan sebagainya) seperti yang terdapat dalam cerita roman (per­cintaan dan lain-lain); dan bahasa romantik ialah pengucapan/penulisan yang memperlihatkan memperlihatkan suasana yang penuh dengan kasih sayang, keindahan dan kemesraan seperti dalam alam percintaan. Untuk mencari maklumat yang lebih terperinci sila rujuk buku/makalah yang berkaitan seperti:

buku Aliran-aliran klasik, romantik dan realisma dalam kesusasteraan, | terbitan Pustaka Jaya, | tahun 1972.

Makna26.11.2010
Apakah Perbezaan antara slogan dan tema. Mohon contoh sekali.Dalam kamus Dewan, slogan ialah kata-kata yang dijadikan pegangan (panduan dsb) sesuatu pertubuhan, kempen dsb; cogan kata. berslogan mempunyai slogan. berslogan­kan mempunyai sesuatu sebagai slogan; ber­cogan­katakan: Perjuangan mereka ~ Hidup Melayu.

Manakala tema (téma) ialah subjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan, wacana, karangan, cerita, dsb, tajuk, pokok: jiwa perempuan memang telah banyak dijadikan ~ dalam kesusasteraan; bertemakan memakai sesuatu sebagai tema, berdasarkan tema (yang tertentu): kebanyakan karyanya ~ percintaan.

Tatabahasa11.09.2013
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya mempunyai keraguaan berkaitan dengan penggunaan ayat tragis dan tragik. Bila masa dan keadaan dalam penulisan untuk kita gunakan ayat tragis dan tragik secara sesuai dalam petikan. Sebagai contoh a. " kesan akibat gempa dan Tsunami yang melanda Palu telah meragut ribuan nyawa serta menjejaskan ekonomi sosial masyarakat Palu dengan tragik. atau b. "kesan akibat gempa dan Tsunami yang melanda Palu telah meragut ribuan nyawa serta menjejaskan ekonomi sosial masyarakat Palu dengan tragis.Mengikut Kamus Dewan, perkataan ‘tragik’ ialah penuh tragedi, menyedihkan.  Contoh ayat, peristiwa ini mengandungi humor dan tragik sekali gus, manakala perkataan ‘tragis’ pula dilabelkan bahasa Indonesia-Belanda yang membawa maksud sangat sedih, sangat menyedihkan.  Contoh ayat menggunakan perkataan ‘tragis’ ialah cerita itu mengisahkan percintaan yang tragis.  Dari aspek makna, kedua-dua mempunyai makna yang sama, iaitu berkaitan dengan tragedi (peristiwa (keadaan) yang menyedihkan, yang berbeza cuma labelnya.  Ayat anda boleh dibetulkan kepada Gempa dan Tsunami yang melanda Palu telah meragut ribuan nyawa dengan tragik serta menjejaskan ekonomi sosial masyarakat Palu dengan teruk.Tatabahasa29.04.2019
12

Kembali ke atas