Maklumat Kata

Carian kata tiada di dalam kamus terkini. Sila rujuk capaian Kamus Dalam Talian ini.
Tesaurus
 
sayang
1. Bersinonim dengan kasih
( cinta, rindu, asyik, mahsyuk, berahi, )
(adjektif:)
Berantonim dengan berahi

2. Bersinonim dengan suka
( gemar, minat, ghalit, )
(adjektif:)
Berantonim dengan benci

3. Bersinonim dengan kasihan
( simpati, belas, timbang rasa, )
(kata nama:)

4. Bersinonim dengan kekasih
( jantung hati, buah hati, )
(kata nama:)

5. Dalam konteks rugi
bersinonim dengan kesal, hampa, kecewa, terkilan,
(adjektif:)

Kata Terbitan : bersayangan, bersayang-sayangan, menyayangi, kesayangan, penyayang,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Manakah yang betul di antara kalimat-kalimat berikut? 1. Aku sayang sekali kucingku. 2. Aku sayang sekali pada kucingku. 3. Aku sayang sekali kepada kucingku. 4. Aku sayang sekali dengan kucingku. 5. Aku sayang sekali akan kucingku. Mohon sertakan alasannya. Terima kasih.Salam sejahtera,

Aku sayang sekali akan kucingku jawapan yang betul. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia dan penggunaannya mesti didahului dengan kata adjektif yang bersifat emotif. 
Tatabahasa10.01.2020
Penggunaan tanda baca koma yang mana adalah betul? (contoh ayat ialah lirik lagu) 1. Bungalah mawar, aduhai sayang, tumbuh di taman 2. Bungalah mawar, aduhai, sayang, tumbuh di taman 1. Oh, sayang, kembalilah kepadaku 2. Oh sayang, kembalilah kepadaku 1. Oh, Tuhan, dengarlah rintihan hambamu 2. Oh Tuhan, dengarlah rintihan hambamuPenggunaan tanda baca yang betul seperti yang berikut:
  1. Bungalah mawar, aduhai, sayang, tumbuh di taman!
  2. Oh, sayang, kembalilah kepadaku!
  3. Oh, Tuhan, dengarlah rintihan hambamu!
Untuk lebih memahaminya, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 255.

Lain-lain06.02.2023
Pertanyaan 1 1) Pokok bunga itu _____________ oleh tukang kebun itu supaya kemas. a) ditebang b) dicantas c) ditetak d) dipangkas Pertanyaan: adakah soalan di atas mempunyai lebih daripada satu jawapan berdasarkan kepada konteks soalan? mohon pencerahan. Isikan tempat kosong dalam petikan dengan perkataan sesuai. "Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa sayang __________ negara. Kita juga mesti mempertahankan keamanan dan kedaulatan Malaysia supaya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang." Pertanyaan: adakah sendi nama "kepada" jawapan yg betul dan adakah "terhadap" mempunyai makna yang sama dalam konteks ini. Bolehkah kedua-dua jawapan (kepada/terhadap) diterima?1) Pokok bunga itu dicantas/dipangkas oleh tukang kebun itu supaya kemas. Cantas dan pangkas bermaksud dipotong hujungnya supaya cantik.

2) "Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa sayang akan negara. Kita juga mesti mempertahankan keamanan dan kedaulatan Malaysia supaya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang." Pernyataan bersifat emotif dan didahului oleh kata adjektif, lazimnya menggunakan kata sendi nama akan. Walau bagaimanapun, boleh juga menggunakan kata sendi nama kepada atau terhadap dalam konteks ayat tersebut.

Tatabahasa18.06.2015
Tolong semak tatabahasa di bawah: 1. Saya sayang awak lebih dari/daripada segalanya. 2. Dia ambil dari/daripada almari saya. Terima kasih DBP. 1. Saya sayang awak lebih daripada segalanya.

 2. Dia mengambil baju daripada almari saya. 
Tatabahasa07.01.2021
Apakah makna atau erti istilah SAYANG dan CINTA dan apakah beza antara kedua-dua perkataan ini.

Encik Kamal,

Perkataan sayang bermaksud 1 menaruh rasa kasih atau rasa cinta: ~ benar dia kpd suaminya. 2 perasaan kasih atau cinta: Dr mana datangnya ~, dr mata turun ke hati. 3 menaruh perasaan belas atau kasihan; berasa kesal: ~ aku melihat pengemis tua itu. ~ sekali jika kamu tidak melanjutkan pelajaranmu. 4 panggilan utk orang yg dikasihi; buah hati: ~, mari ayah dukung. bersayang-sayangan saling berasa sayang; berkasih-kasihan. menyayangi 1 berasa sayang akan; mengasihi; men­cintai: Dia sangat ~ anak dan isterinya. 2 berasa kesal terhadap sesuatu; menyesali: Apa gunanya ~ perkara yg telah berlaku? kesayangan 1 rasa kasih dan sayang; perasaan sayang; cinta kasih: ~nya terhadap cucunya itu amat mendalam. 2 apa-apa yg disayangi atau yg disukai: Dia terpaksa meninggalkan anak dan isteri ~nya utk melanjutkan pelajaran ke luar negara. penyayang (orang yg) bersifat sangat menyayangi sesuatu: ibu yg ~.

Perkataan cinta bermaksud 1. perasaan atau berperasaan sangat sayang kpd (negara, orang tua, kebebasan, dll): walaupun ~nya kpd keamanan amat kuat tetapi ia tetap mengangkat senjata kalau dicerobohi; 2. perasaan atau berperasaan sangat berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: ~ kpd suaminya masih tinggal bersarang dlm hati; barangkali kau masih ~ pd tunanganmu; 3. sl perasaan atau berperasaan dukacita (risau, bimbang, sedih, dll): tiada terperikan ~nya serta bercucuran air matanya; 4. perasaan atau berperasaan ingin akan sesuatu, rindu: putera raja itu amat sangat ~ akan burung yg dilihatnya itu; ~ berahi terlalu sangat cinta (asyik maksyuk); ~ kasih sangat cinta dan kasih (kasih sayang); ~ monyet cinta yg hanya sementara dan tidak serius, terutamanya di kalangan remaja; ~ pandang pertama cinta yg timbul terhadap seseorang walaupun baru pertama kali melihat atau bertemu dengannya; cintakan cinta akan, mencintai; bercinta 1. menaruh rasa cinta atau berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: elakkan drpd ~ sebelum lulus pelajaran; 2. berasa rindu; 3. ki berat rasa hati utk melakukan sesuatu (kerana sesuatu sebab yg kurang menyenangkan): kami sangat ~ utk pergi ke bank memandangkan lalu lintas yg sangat sesak; bercintakan 1. menaruh cinta atau kasih kpd, berahi kpd: sbg laki-laki yg ~ seorang wanita, bagaimana jua pun setia wanita itu kepadanya, namun curiga hatinya akan timbul juga barang sedikit; 2. berperasaan rindu akan, ingin akan: ia ~ benda yg sukar diperoleh; 3. sl berdukacita akan sesuatu, berasa sedih (pilu) hati akan sesuatu: tujuh hari baginda tiada nobat ~ Bendahara Seri Wak Raja; janganlah kakang emas ~ permintaan Ratu Dewi Kesuma Indera itu; bercinta-cintaan 1. cinta-mencintai, berkasih-­kasihan: baru hendak ~ dgn seorang perempuan, tiba-tiba ia diberi malu dan dihina; 2. bercengkerama atau bercumbu-­cumbuan (antara lelaki dan perempuan): sebelum hari malam, dia ~ dgn tunangannya; mencinta 1. menaruh cinta atau kasih (kpd); 2. sl berdukacita (akan), bersedih hati, menyesal; mencintai 1. mengasihi, menaruh cinta pd: ia ingin ~ dan dicintai; 2. merindukan(hendak memperoleh sesuatu dll), mengharap­harapkan, menginginkan: tidak ada orang yg tak ~ duit; tercinta (yg) dicintai (dikasihi, disayangi): engkau pisahkan aku dr anakku yg ~; kecintaan 1. perasaan cinta, kasih, kesa­yangan: yg mempertalikan hati suami dan isteri itu ialah ~ yg diikat oleh kesetiaan; seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh ~ kpd bahasa kebangsaan; 2. yg dicintai (dikasihi), kekasih: pemuda ~nya bekerja sbg wartawan; 3. sl kerinduan kesedihan, kebimbangan; 4. sl menanggung cinta (sedih dll); percintaan 1. perihal bercinta-cintaan atau berkasih sayang (antara laki-laki dan perempuan): kahwin itu ialah kemuncak ~;2. sl perasaan dukacita (sedih, pilu, rindu, menyesal, dll), kesedihan, kesusahan: maka oleh bonda baginda kedua anakanda baginda, kedua-dua anakanda baginda dipeluk dicium, maka ~ bonda baginda pun hilanglah; pencinta orang yg meminati dan mencintai sesuatu: ~ sastera; ~ buku.

Daripada makna yang diberikan jelaslah bahawa kedua-dua perkataan ini bersinonim. 

Kamus Dewan Edisi Empat
  
Makna13.06.2010
1. Mak Siti sayang (pada/ akan/ kepada) anaknya. 2. Ali patuh (pada/ akan/ kepada) peraturan. 3. Ali mengalami kesakitan yang amat sangat kerana terjatuh dari katil. 4. Baju ini amat sangat cantik. Adakah ayat-ayat di atas gramatis? (merujuk kepada TD Edisi ke-3, "pada" tidak boleh digunakan di depan kata nama yang bermaksud sasaran, adakah pada dalam soalan 1 tidak boleh digunakan di depan anaknya?)

Ayat yang betul ialah: 1. Mak Siti sayang akan anaknya. 2. Ali patuh pada peraturan. 3. Ali mengalami kesakitan yang amat sangat kerana terjatuh dari katil. 4. Baju ini amat cantik / sangat cantik. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, rujuk halaman 274, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.

Tatabahasa08.08.2010
1. Ada tidak buku panduan untuk menentukan golongan kata untuk kata majmuk. 2. Bagaimana cara untuk menentukan golongan kata untuk kata majmuk. 3. Apakah golongan kata untuk kata majmuk kasih sayang.

Proses pembentukan kata majmuk ialah proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima penyisipan unsur  lain. Misalnya kata kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan dengan unsur lain misalnya  "yang". Sebaliknya pinggang mangkuk bukan kata majmuk kerana boleh disisipkan dengan kata hubung "dan" - pinggang dan mangkuk. Perkataan  kasih sayang juga  bukan kata majmuk kerana boleh disisipkan perkataan lain contohnya, kasih dan sayang. Kasih dan sayang ialah kata adjektif perasaan (rujuk halaman 91). Untuk makluman tuan terdapat juga bentuk kekecualian beberapa kata majmuk yang penggunaannya  sudah dianggap mantap dieja bercantum walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar.  Untuk maklumat lanjut tuan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka  (halaman 72-75). 

Tatabahasa27.01.2021
1. Dia pahit akan kemesraan dan kasih sayang seorang ayah. Adakah kegunaan perkataan 'pahit' dalam ayat ini betul. Jika salah apakah perkataan yang lebih sesuai. sekiranya betul apakah maksud ayat ini?1. Dia pahit akan kemesraan dan kasih sayang seorang ayah. - perkataan pahit tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut, antara perkataan lain yang lebih sesuai ialah dahaga (sangat ingin akan sesuatu).Tatabahasa07.12.2009
Selamat sejahtera. Saya memohon jasa baik pihak tuan untuk memberi penerangan terhadap kesalahan tatatabahasa dalam ayat-ayat berikut: 1. Buku itu ada pada saya. atau 1. Buku itu ada dengan saya. 2. Ibu saya suri rumah tangga. Dia sayang akan saya. atau 2. Ibu saya suri rumah tangga. Beliau sayang akan saya. Sekian, terima kasih.Selamat sejahtera,

Ayat yang betul:

1. Buku itu ada pada saya - Kata sendi nama "pada"  digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu,
2. Ibu saya suri rumah tangga. Beliau sayang akan saya - Beliau merupakan ganti diri ketiga (untuk orang tua atau orang yangg dihormati)
Lain-lain13.09.2015
Adakah ayat-ayat di bawah betul? 1) Kita hendaklah menjalankan tugas kita dengan penuh tanggungjawab. 2) Ibu bapa hendaklah mencurahkan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak.Ayat yang betul ialah seperti yang berikut:


1) Kita hendaklah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.


2) Ibu bapa hendaklah mencurahkan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak.
Tatabahasa03.04.2015
12345

Kembali ke atas