Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[se.per.ti] | سڤرتي

Definisi : 1. sama (serupa) dgn, sebagai, semacam: rambutnya ~ rambut perempuan; laki-laki itu memejamkan matanya sejurus ~ orang kegelisahan benar; 2. sesuai dgn, sebagai-mana: keputusan Sijil Pelajaran Malaysia ~ yg tersiar dlm akhbar ini; 3. seolah-olah, macam: ~ tidak ada orang lain yg pandai; 4. = sepertinya misalnya, contohnya, um-pamanya: akhbar-akhbar Melayu ~ Utusan Melayu, Berita Harian, dll banyak dibaca di kampung-kampung; bukan ~ bukan main; sepertinya 1. jikalau, seandainya, sekiranya: ~ engkau diajak mahukah engkau pergi? 2. selayaknya, semestinya: maka oleh Paduka Bubunnya disuruhnya jemput surat itu dan disuruhnya arak dgn ~; 3. umpamanya; sepertikan tidak ubahnya, bagaikan: ia ber-jalan itu sangat perlahan ~ tiada berdaya lakunya; menyepertikan sl 1. menjadikan sbg sepatut-nya, menjadikan sbg yg sepantasnya; 2. me-nyamakan dgn, menganggap seperti. sepertimana sebagaimana, seperti. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[se.per.ti] | سڤرتي

Definisi : 1 sama halnya dgn; tidak ada lainnya; serupa dgn; sebagai: Rambutnya ~ rambut orang perempuan. Dia berkelakuan ~ orang mabuk. 2 sesuai dgn; sebagaimana: Buatlah ~ yg aku suruh tadi. 3 umpamanya; contohnya; misalnya: Binatang yg bertelur, ~ ayam, burung, dan ikan tidak berdaun telinga. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
seperti (kata tugas)
Bersinonim dengan laksana, ibarat, umpama, bak, bagaikan, macam, serupa.,

Puisi
 

Emas merah kesuma danding,
     Perahu sarat seperti pelanting;
Awaknya putih pinggang ramping,
     Matanya tajam seperti gunting.


Lihat selanjutnya...(44)
Peribahasa

Seperti upih jatuh.

Bermaksud :

Yang tua mati dulu daripada yang muda.

 

Lihat selanjutnya...(415)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
hi. Penggunaan perkataan yang manakah betul. "Seperti yang berikut" atau "seperti berikut". Apakah alasan bagi perkataan yang betul tersebut. terima kasih.Penggunaan yang betul ialah “seperti yang berikut” kerana perkataan “seperti” merupakan kata sendi nama yang perlu diikuti dengan kata nama. Perkataan “yang” dalam frasa tersebut berfungsi sebagai kata nama.Tatabahasa09.03.2022
Apakah maksud peribahasa berikut: 1. seperti bunga dengan perdunya 2. seperti tanduk bersendi tulang

Peribahasa “seperti bunga dengan perdunya” dan “seperti tanduk bersendi tulang” mempunyai maksud yang sama iaitu pasangan suami isteri yang secocok, sama cantik dan sepadan.

Lain-lain24.09.2021
Apakah maksud peribahasa berikut: 1. seperti bunga dengan perdunya 2. seperti tanduk bersendi tulang

Peribahasa “seperti bunga dengan perdunya” dan “seperti tanduk bersendi tulang” mempunyai maksud yang sama iaitu pasangan suami isteri yang secocok, sama cantik dan sepadan.

Lain-lain27.09.2021
Salam: re: penggunaan kata "ia." Seorang Munsyi menjelaskan bahawa kata "ia" ialah kependekan untuk "dia," dan tidak boleh digunakan sebagai ganti/rujukan untuk kata nama atau frasa seperti "it" seperti dalam B Inggeris. Apakah panduan rasmi B Melayu?Untuk makluman, kami di Dewan Bahasa dan Pustaka merujuk buku Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan Perdana. Berdasarkan rujukan tersebut, kata “ia” merupakan kata ganti nama diri ketiga iaitu, “dia” dan kata ganti nama bukan manusia.  Contoh, “Dan ia ada berekor seperti ekor kala jengking lagi bersengat”.Tatabahasa04.08.2023
Salam sejahtera, Persoalan saya adalah mengenai cara penulisan dalam karya kreatif seperti novel dan cerpen. Adakah dalam gaya penulisan kreatif, perkataan seperti "ke", "kan", dan "kot" perlu diitalickan. Perkataan seperti ini adalah gaya percakapan harian yang biasanya dalam dialog seperti "Kan saya dah kata..." , "Mak cik dah sapu ke kat tangan?" , dan "Mungkin sebab aku gemuk kot". Atau boleh sahaja dibiarkan roman tanpa perlu italic. Mohon pencerahan pihak DBP. Sekian, terima kasih.Tidak perlu ditulis condong (italic).Tatabahasa17.01.2024
Salam, bolehkah kita mulakan ayat dengan kata pemeri, seperti "Adalah dianggarkan ..." atau seperti, "Namun begitu, adalah tidak tepat ...?" Terima kasihKata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh demikian, penggunaan  kata pemeri "adalah" dalam ayat "Adalah dianggarkan ..." tidak betul.


Pada umumnya, kata pemeri tidak boleh hadir bersama-sama kata nafi kecuali dalam binaan adalah + kata nafi + frasa adjektif. Oleh itu, ayat "Namun begitu, adalah tidak tepat ... " boleh digunakan.
Lain-lain14.03.2022
Salam sejahtera. 1. Apakah golongan yang sesuai bagi kata nama khas Matematik, tajuk filem seperti Spiderman dan Superman serta tajuk karangan seperti "Ibu Saya"? 2. Adakah gelaran seperti Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, Dato Bendahara, Sultan, Permaisuri, Putera Mahkota kata nama khas? 3. Apakah kata ganti nama diri pertama, kedua dan ketiga bagi Permaisuri, Putera Mahkota, Puteri? Terima kasih.
  1. Soalan yang pertama sukar untuk difahami. Mohon tuan/puan mengemukakan soalan yang lebih jelas dan terperinci.
  2. Menteri Pendidikan dan Dato’ Bendahara ialah kata nama khas, manakala putera mahkota, sultan, permaisuri dan perdana menteri ialah kata nama am. Sekiranya perkataan tersebut digunakan sebagai nama khas, contohnya Putera Mahkota Selangor, maka huruf besar akan digunakan pada permulaan perkataan.
  3. Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, beta merupakan kata ganti nama diri pertama untuk raja, permaisuri atau anak raja apabila bercakap dengan orang yang berpangkat lebih rendah, orang bawahan atau rakyat.

 

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana halaman 280 dan 1680 dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 81 – 87.

Tatabahasa02.04.2024
Media sosial seperti You Tube,Tik Tok, facebook dan lain-lain dapat membantu murid dalam pembelajaran. Tukarkan ayat biasa kepada ayat songsang. yang mana betul ? 1)Dapat membantu murid dalam pembelajaran media sosial seperti Youtube, tik Tok , facebook dan lain-lain. 2) Seperti Youtube, tik Tok , facebook dan lain-lain dapat membantu murid dalam pembelajaran media sosial.

Ayat yang betul ialah “Dapat membantu murid dalam pembelajaran, media sosial seperti Youtube, TikTok, facebook dan lain-lain.

Tatabahasa20.02.2023
Adalah semua kata bandingan semacam (bagai, seperti, umpama, laksana, bak, macam) boleh digunakan untuk semua perbandingan yang menunjukkan keserupaan contohnya -manis seperti madu/ manis umpama madu / manis laksana madu -tajam bak pisau / tajam macam pisau / tajam laksana pisau

Bandingan semacam ialah sejenis bahasa kiasan yang menunjukkan sifat, keadaan seseorang atau sesuatu benda secara perbandingan mengikut konteks. 

Contoh bandingan semacam yang diberikan seperti “manis seperti madu”, “manis umpama madu”, “manis laksana madu”, “tajam bak pisau” dan “tajam macam pisau” adalah betul dan boleh digunakan. Walau bagaimanapun, penggunaan bandingan semacam bagi “tajam laksana pisau” kurang sesuai digunakan dari segi darjah perbandingan aspek keindahan atau keelokan sesuatu. Contoh penggunaan bandingan semacam yang sesuai bagi perkataan “laksana” ialah “Pasangan pengantin itu laksana cincin dengan permata”.

Penggunaan bandingan semacam perlu disesuaikan mengikut konteks penggunaan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk lama web prpm.dbp.gov.my

Tatabahasa12.03.2024
Salam sejahtera. Ingin bertanya, adakah kedua-dua ini: bagai murai tercabut ekor/ seperti murai tercabut ekor diterima? Terima kasih :)Penggunaan perkataan "bagai murai tercabut ekor" dan "seperti murai tercabut ekor" boleh diterima kerana kata "bagai" dan "seperti" merupakan kata sinonim (kata yang sama atau hampir sama maknanya)Lain-lain18.06.2022
12345678910...

Kembali ke atas