Sun Yat-sen (1866–1925), negarawan dan
pemimpin revolusi China, berjuang untuk
menubuhkan sebuah Republik China. Dia
umumnya dikenali sebagai Bapa Revolusi. Sun
terlalu idealistik untuk menjadi seorang pemimpin
politik yang berkesan. Namun Tiga Prinsip Rakyat
yang diketengahkannya (nasionalisme, demokrasi,
dan sosialisme) menjadi panduan kepada Republik
China, yang ditubuhkan pada tahun 1912.
Sun lahir di daerah Zhongshan di Provinsi
Guangdong. Ibu bapanya miskin. Dia belajar di
sekolah mubaligh Kristian di Hong Kong dan
Honolulu, dan menjadi seorang doktor. Dari tahun
1895 hingga tahun 1911, dia banyak mengembara
di Amerika Syarikat, Jepun, dan Eropah untuk
meraih simpati bagi prinsip republik, dan untuk
mencari bantuan kewangan bagi pergerakan
revolusinya menentang Dinasti Manchu. Dia
dibantu oleh masyarakat China di seberang laut
dan pesimpati Inggeris, Amerika dan Jepun.