Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[si.pi] | سيڤي

Definisi : tidak tepat kenanya (pukulan, tembakan, dll), tidak kena betul, menyerempet: penum­buk itu singgah ~ ke pipi Malek; biar ~ asal jangan tepat (sesat) prb a) biarlah rugi sedikit asalkan jangan rugi banyak; b) jika sudah me­ngalami susah (rugi dll) hendaklah diikhtiar­kan supaya jangan terlampau sangat; menyipi mengenai tepi (pinggir) sahaja. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[si.pi] | سيڤي

Definisi : tidak tepat kenanya: Biar ~ asalkan tak sesat. menyipi mengenai sipi saja. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
sipi (adjektif)
Bersinonim dengan tidak kena betul, tidak tepat, menyerempet;,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Adakah imbuhan mempeR- mempunyai objek tepat dan objek sipi seperti imbuhan apitan meN-..-kan seperti contoh dalam ayat "majikan itu memperalat pekerja syarikatnya". Adakah pekerja objek merupakan tepat dan syarikatnya merupakan objek sipi?Awalan imbuhan memper-, apabila digabungkan dengan segelintir kata dasar daripada golongan kata nama, membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan sebagai maksud perbuatan dalam kata dasar dan sering membawa maksud kiasan. 
Contohnya: alat      -  memperalat
                  daya    -  memperdaya
                  kacang -  memperkacang

Objek tepat dan objek sipi pula merupakan dua objek yang terdapat dalam satu ayat .  Binaan ayat ialah seperti yang berikut :
             subjek + kata kerja + objek 1 + objek 2
Contoh ayat:
             Hasnah      membelikan       Asri          sebuah buku
             (subjek)     (kata kerja)     (objek 1)      (objek 2)

Objek 1 ialah objek yang mengikuti secara langsung kata kerja dan disebut objek tepat, sementara objek 2 yang mengikuti objek tepat disebut objek sipi.  Dalam ayat contoh, Asri ialah objek tepat manakala sebuah buku ialah objek sipi.
Satu ukuran untuk menentukan yang mana satukah antara kedua-dua objek itu objek tepat atau objek sipi ialah proses pasif.  Dalam bahasa Melayu, hanya objek tepat yang boleh mengalami proses pasif, iaitu proses yang mengedepankan objek asal menjadi subjek terbitan ayat pasif, atau unsur yang diterangkan.  Bentuk pasif bagi ayat contoh ialah:
                Asri dibelikan sebuah buku oleh Hasnah
Untuk mengetahui sama ada ayat contoh yang mengandungi imbuhan memper- yang saudara berikan itu, mempunyai objek tepat dan objek sipi atau tidak, kita boleh cuba dengan mengubah ayat tersebut menjadi ayat pasif dengan menjadikan objek tepatnya sebagai subjek:
                 Ayat contoh: Majikan itu memperalat pekerja syarikatnya.
                 Apabila dipasifkan: Pekerja diperalatkan syarikatnya oleh majikan itu.

Apabila dipasifkan, maksud ayat tidak sama dengan ayat asal dan susunan ayat juga tidak gramatis.  Jadi,  ini membawa maksud bahawa imbuhan memper_ tidak mengandungi objek tepat dan objek sipi.
Tatabahasa19.02.2014
contoh dan alasan frasa dua objek. objek tepat dan objek sipiDalam binaan ayat, objek yang mengikuti secara langsung kata kerja disebut objek tepat, sementara objek yang mengikuti objek tepat disebut objek sipi, contoh ayat: Hasnah membelikan Asri sebuah buku. Asri - objek tepat dan sebuah buku - objek sipi. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 195.Tatabahasa28.10.2010
Ada berapakah objek dalam ayat "Abang membeli sebuah buku untuk adik". Adakah "adik" ialah objek sipi ?

Ada 2 objek:

1. Buku - objek tepat 

2. adik - objek sipi 

Tatabahasa07.04.2009
Mohon penjelasan kepada tuan mengenai ayat di bawah: 1. Dia memberitahu saya bahawa dia akan ke Singapura. Mengapakah SAYA menjadi objek sipi dan BAHAWA DIA AKAN KE SINGAPURA sebagai objek tepat. Tatabahasa Dewan tidak menjelaskan perkara tersebut. 2. Bolehkah ayat di bawah disongsangkan bentuknya (dikedepankan pelengkapnya): Dia berpendapat bahawa perkara itu belum boleh diambil tindakan. Jawapan diperlukan segera. Sekian, terima kasih.

1. Dia memberitahu saya bahawa dia akan ke Singapura. - pada asalnya saya tidak hadir dalam ayat ini, ayat asal berbunyi (Dia memberitahu bahawa dia akan ke Singapura - objek: bahawa dia akan ke Singapura), apabila ada penambahan perkataan saya - perkataan tersebut menjadi objek sipi.

2. Boleh disongsangkan menjadi "Bahawa perkara itu belum boleh diambil tindakan, pendapatnya".

Untuk keterangan lanjut sila rujuk pakar-pakar bahasa.

Tatabahasa19.01.2010
Tuan, "Muthu dan Ali _____tersesat di dalam hutan ketika mereka sedang mencari akar-akar kayu." Pilihan jawapan : A.sipi B. hampir C.dekat D.nyaris Adakah perkataan "hampir" dan "nyaris" boleh diisi di tempat kosong? Adakah penggunaan kedua-dua perkataan sama? Terima kasih.Jawapan yang betul ialah hampir/nyaris kerana kedua-duanya membawa maksud yang sama. Contoh dalam ayat: “Muthu dan Ali hampir/nyaris tersesat di dalam hutan ketika mereka sedang mencari akar kayu”.Tatabahasa07.06.2020
Salam sejahtera, Soalan: Saya menghadiahi Ali sebuah basikal. Jika ditukarkan kepada ayat pasif, adakah berbunyi begini: Jawapan: Sebuah basikal saya hadiahi Ali. Atau salah. Jika salah, mengikut objek tepat dan objek sipi seperti yang pernah saya email kepada DBP: Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormat.... ditukarkan pasif akan jadi: Pahlawan itu dianugerahi bintang kehormat oleh baginda. Terima kasih.

Ayat pasif ialah Ali dihadiahi saya sebuah basikal atau ayat pasif songsang menjadi Saya hadiahi Ali sebuah basikal.

Tatabahasa30.07.2010
( tuan,inilah penerangan tuan sebelum ini.) 1. Ayah memberi wang sakukepada saya. 2. Ayah membeli sepasang sepatu untuk saya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 194 - 196. apabila objek sipi asal (wang saku dansepasang sepatu) berubah kedudukannya selepas kata kerja dan menjadi objek yang baharu manakala objek tepat yang asal (saya) berpindah ke bahagian akhir ayat dan menerima kata sendi namakepada atau untuk, kata kerjanya tidak mengandungi -kan. ( tuan, bagaimana pula dengan soalan sejumlah RM50000 diberi kepada pesakit jantung yang akan menjalani pembedahan secepat mungkin.) diberi atau diberikan digunakan.

1. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 392 di bawah tajuk 13.4.2 Frasa Kerja dengan Dua Objek. Perhatikan contoh ayat yang diberi:

74. Ahmad menghadiahkan buku kepada Ali.

75. Wanita itu membeli baju untuk anaknya.

Kedua-dua contoh ayat tersebut mempunyai dua objek (objek tepat dan objek sisi) dan kata sendi nama.  Tidak timbul isu perubahan kedudukan objek tepat dan objek sisi. 

2. Perkataan memberi dan memberikan merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan memberi hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala memberikan hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa. Diberi dan diberikan adalah bentuk pasif memberi dan memberikan. Oleh itu ayat "Sejumlah RM50000 diberi kepada pesakit jantung yang akan menjalani pembedahan secepat mungkin" adalah betul.

Tatabahasa20.07.2011
Tuan, minta lihat contoh ayat di bawah. 1. Hal ini perlu diberi perhatian. ayat (1) setelah diaktifkan, menjadi ayat (2): 2. (Pelaku) perlu memberi hal ini perhatian. Ayat aktif ini juga boleh berbentuk seperti ayat (3), 3. (Pelaku) perlu memberikan perhatian kepada hal ini. jikalau ayat pasif ayat (3) berbentuk macam ini: 4. Perhatian perlu diberikan kepada hal ini. Tetapi, tuan mengatakan bahawa setelah frasa 'diberikan perhatian' dalam ayat (1) diaktifkan, akan menjadi 'memberikan perhatian', itu salah tuan. Sepatutnya objek dalam ayat (1) ialah 'hal ini'. Perkataan 'perhatian' ialah objek sipi. Maka, objek tepat, iaitu 'hal ini' yang dipindahkan ke belakang kata kerja aktif setelah ayat pasif diaktifkan, membentuk frasa kerja 'memberi hal ini perhatian'. Perhatikan bahawa objek sipi 'perhatian' diletakkan di belakang objek tepat 'hal ini'. Objek penerima ialah 'hal ini', jadi digunakan selepas kata kerja 'memberi', manakala 'perhatian' ialah sesuatu yang disampaikan, diberikan atau diserahkan.Jika ayat pasif, "Hal ini perlu diberi perhatian", aktifnya "...memberi hal ini perhatian" dan jika ayat pasif "Perhatian perlu diberikan kepada hal ini", aktifnya "... perlu memberikan perhatian kepada hal ini". Hal ini ialah "objek tepat" dan perhatian ialah "objek sipi". Kami mengambil maklum pandangan tuan dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul.Tatabahasa19.11.2014
Frasa : Ali mencarikan ayah sebuah rumah sewa (gramatis)?

Ayat 'Ali mencarikan ayah sebuah rumah sewa.' adalah gramatis. Ayat ini ialah ayat aktif transitif dengan dua objek. Objek yang mengikuti secara langsung kata kerja disebut objek tepat (ayah), sementara objek yang mengikuti objek tepat ialah objek sipi (sebuah rumah sewa). 

Tatabahasa04.07.2011
1 wang saku diberikan oleh ayah kepada saya. 2. sepasang sepatu dibelikan oleh ayah kepada saya. tuan, kedua-dua ayat di atas, jawapan yang diberikan adalah "diberi" dan "dibeli". namun, saya berasa tidak tepat. apakah pandangan tuan?

Jawapan "dibeli" dan "diberi" adalah betul kerana apabila objek sipi asal (wang saku dan sepasang sepatu) berubah kedudukannya selepas kata kerja dan menjadi objek yang baharu manakala objek tepat yang asal (saya) berpindah ke bahagian akhir ayat dan menerima kata sendi nama kepada atau untuk, kata kerjanya tidak mengandungi -kan. Oleh itu, ayat pasif tersebut berasal daripada ayat berikut:

1. Ayah memberi wang saku kepada saya.

2. Ayah membeli sepasang sepatu untuk saya.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 194 - 196.

Tatabahasa06.04.2011
12

Kembali ke atas