Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ta.wa.rikh] | تواريخ

Definisi : Ar (jamak bagi tarikh) sejarah, babad, riwayat, tambo; ® tarikh. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ta.wa.rikh] | تواريخ

Definisi : ilmu ttg peristiwa yg benar-benar berlaku pd masa yg lampau; sejarah; riwayat. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata tawarikh


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
definisi sejarah sastera Sastera sejarah adalah suatu cabang daripada kesusasteraan Melayu tradisional yang membicarakan sejarah sesebuah kerajaan. Secara umum sastera sejarah sering kali  memakai judul permulaan sebagai hikayat, silsilah, salasilah, misa dan tawarikh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Acheh, Silsilah Melayu dan Bugis, Misa Melayu dan Tawarikh Salasilah Negeri Kedah.          Bentuk sastera sejarah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dalam bentuk prosa dan bentuk puisi. Karya yang berbentuk prosa merupakan sejarah sesebuah kerajaan atau negeri tentang bangun dan jatuhnya sebuah kerajaan itu dengan menyenaraikan susur galur pemerintahnya. Manakala bentuk puisi pula, lazimnya ditulis dalam bentuk syair yang menceritakan sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam sesuatu tempoh waktu tertentu seperti Syair Perang Johor, Syair Kampung Gelam Terbakar, Syair Perang Siak dan sebagainya.          Karya sastera sejarah, umumnya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama karya sejarah yang meriwayatkan jurai keluarga diraja. Misalnya Sulalatus Salatin yang cukup terkenal dalam kalangan kita. Di dalam Sulalatus Salatin, pengarangnya, Tun Seri Lanang menjurai asal usul keturunan raja Melayu dari awal hingga kejatuhan kerajaan Melayu Melaka.           Jenis sastera sejarah yang kedua pula hanya memfokuskan kisah seseorang tokoh seperti dalam Hikayat Acheh yang menceritakan tentang ketokohan Raja Iskandar Muda. Sastera sejarah yang menekankan pada sesuatu peristiwa seperti Syiar Kampung Gelam Terbakar dan Perang Makasar adalah jenis karya sastera yang ketiga.          Salah satu ciri yang menyebabkan  sastera sejarah tidak dianggap sepenuhnya sejarah kerana ada unsur-unsur mitos dan legenda serta unsur-unsur fiksyen-fantasi yang turut dimuatkan oleh para pengarang sastera sejarah. Unsur-unsur ini dimuat adalah dengan tujuan-tujuan tertentu seperti untuk menambahkan faktor kekaguman rakyat kepada kebesaran sesebuah kerajaan atau jurai keturunannya. Lain-lain06.08.2008
Apakah maksud sejarah ?Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) sejarah bermaksud:

sejarah
kata nama 
1 peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa dahulu yang ada kaitan dengan zaman sekarang:
Sejarah Malaysia dikatakan bermula sejak zaman Greek lagi kerana Semenanjung Tanah Melayu dikenali sebagai “golden chersonese” oleh Ptolemy.
Al-Quran turut menyampaikan sejarah umat dan nabi-nabi yang terdahulu.


2
kajian atau pengetahuan tentang hal atau peristiwa yang berlaku pada seseorang, sesuatu tempat atau institusi pada suatu ketika dahulu; tawarikh:
Penekanan kursus ini diberikan kepada peranan Islam dalam sejarah Asia Tenggara.

3
(dieja dengan huruf besar) ilmu atau mata pelajaran yang mengkaji tentang peristiwa yang telah berlaku pada masa dahulu, yang diajar atau dipelajari di sekolah, maktab, universiti dan sebagainya:
Aku rasa Fakhurazi jauh lebih pintar daripadaku dalam bidang Ekonomi, Pengajian Am dan Sejarah.
Dia mengambil subjek minor, Sejarah dalam pengajiannya itu.


4
peristiwa atau kejadian yang menjadi detik perubahan dalam perjalanan hidup seseorang atau sesebuah institusi:
Apabila bangsal tambahan itu siap dibina kelak, zaman baharu dalam sejarah pengeluaran batik syarikatnya akan bermula.
Biarlah hari ini kita bina satu permulaan baharu dalam sejarah persahabatan kita.
Jasdi menyingkap kembali sejarah hidup ayahnya yang penuh dengan ranjau dan duri.


5
rentetan peristiwa atau hal yang pernah berlaku kepada seseorang atau sesuatu yang boleh dijadikan sebagai panduan, rujukan dan sebagainya:
Keratan akhbar itu menyebut tentang sejarah kemalangan yang menimpa helikopter Nuri.
Vaksin ini disyorkan kepada lelaki yang tidak mempunyai sejarah infeksi beguk.


6
asal usul atau susur galur sesuatu keturunan; salasilah:
sejarah orang Melayu;

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kamus ini pada halaman 1994.
Makna06.11.2023

Kembali ke atas