Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ten.tang] | تنتڠ

Definisi : 1. = di tentang berhadapan dgn, betul-betul di depan (di muka), dekat di sebelah ..., berseberangan dgn: ~ sebuah potret yg ter­gantung di dinding ia berdiri diam-diam, memandang tenang-tenang; 2. lurus di atas, tepat di atas: surat drpd Khadijah, yg mengaku sahabat Hayati ini, laksana sebuah bom yg meletus di tentang kepalanya; 3. lebih kurang pd, kira-kira pd (di): maka Upu Daing Perani pun kenalah peluru meriam ~ dadanya; 4. = tentangan Mn terhadap, berkenaan: mereka memberikan perhatian ~ Bahasa Kebangsaan; 5. hal ..., perkara ...: kedua-dua syeikh itu berbahas ~ masalah akyan sabitah; 6. berkenaan dgn, berkaitan dgn, darihal, mengenai: Datuk Ujang sendiri masih samar-samar ~ apa yg dimaksudkan oleh kata-kata gadis itu; 7. akan ..., dlm hal: buku ini tidaklah lengkap, sama ada ~ isi baik pun ~ pen-jelasan isinya; di ~ langit, langit, di ~ bumi, bumi prb orang yg lemah sekali dan tiada tempat berharap;setentang berhadapan benar dgn, betul-betul di hadapan (di atas): rumah dia ~ benar dgn rumah saya; bersetentang, bersetentangan berada betul-betul berhadapan (di atas): beliau mengangkat mukanya dan memandang muka bapanya yg ~ di hadapannya; bertentang 1. berhadapan (dgn), bertemu hadap: dia berdiri tegak ~ dgn muka pintu yg terkatup rapat itu; 2. menghadap (ke), menghala (ke): buat jalan dr bawah tanah itu sampai ~ ke bawah rumahnya itu; ~ mata a) berhadapan muka, berpandang-pandangan; b) bertemu muka; bertentangan 1. = ~ dgn = bertentang-tentangan berhadap-hadapan, berhadapan: dia duduk ~ dgn aku; 2. sl berdekatan dgn: setelah itu maka sampailah kapal itu ~ dgn Gunung Sailan; 3. berlawanan (arah, ke­dudukan, dll): arah yg ~; sudut yg ~; 4. ber­lawanan, bermusuhan: mungkin kita dgn mereka kadang-kadang bergaduh dan ~, tetapi dgn mereka juga kita mesti makan, bekerja serta bermain-main; 5. tidak sesuai (cocok, selaras) dgn, bersalahan dgn: tiap-tiap kebebasan seseorang itu akan ~ dgn kebebasan seseorang yg lain; 6. berselisih (faham, pendapat, dll): kami berdua jarang ~ pendapat; menentang 1. memandang tepat-tepat pd, menatap: rupanya pun terlalu amat elok spt bulan purnama, gilang-gemilang, tiada dapat ditentang nyata; 2. mengarahkan pandangan kpd, melekatkan pandangan kpd: lapang hatinya dapat ~ wajah Dang Kenanga yg selalu tersenyum; 3. memberi perlawanan kpd, melawan, memerangi: mereka sedang ~ keganasan; 4. tidak menyetujui (pendapat, usul, perintah, dll), membangkang, menam­pik, mendaga, menolak (cadangan dll), me­nyang­gah: dia menggunakan kesempatan yg baik ini utk ~ ajaran Hamzah; semua pekerja ~ peraturan-peraturan yg tidak berperi­kemanusiaan; 5. tidak mematuhi (undang-undang dll), menyalahi (aturan): barang siapa yg didapati ~ peraturan-per­atur­an bekerja ini akan didera; 6. meng­hadapi atau dgn sengaja menjumpai bahaya (bencana dll), menempuh (bencana): ~ marabahaya; 7. menghadapi, menjelang: hidup ~ mati; 8. mengarah, menuju: belayar ~ pulau; 9. menyongsong (angin, ombak, dll): belayar ~ angin; jangan ditentang matahari condong prb jangan dinanti atau dicari kemurkaan raja-raja atau kemarahan orang yg berkuasa; menentangi 1. menjumpai (bahaya, kesulitan, dll), menempuh, menghadapi: mereka sedikit pun tidak gentar ~ ancaman drpd pihak musuh itu; 2. melawan, memerangi; menentangkan menghadapkan, membawa ke muka: maka dihunusnya oleh Laksa­mana, lalu ditentangkannya di hadapan Seri Betara, lalu dipakainya; mempertentangkan menjadikan berten­tangan (berlawanan), menyemukakan: Baharum Rangkuti yg ~ seni dgn propaganda; tertentang 1. dapat dilihat (dipandang), ter­lihat, terpandang; 2. dapat dilawan (disanggah), terlawan; tiada ~ mata a) tidak dilihat (dipan-dang); b) = tidak ~ muka tidak berani ber-hadapan muka; tentangan 1. darihal, tentang; 2. apa yg diper­taruhkan (dlm perjudian dll), imbangan, padahan, pasangan: kalau aku kalah, rumah­kulah ~nya; 3. yg menjadi bandingan (imbangan): Pulau Pinang telah memberi-kan satu ~ hebat kpd Selangor dlm permainan bola sepak bulan sudah; 4. perlawanan, pe­nam­pilan, sanggahan: ajaran wujudiyah Hamzah dan Shamsuddin telah mendapat ~ hebat drpd Nuruddin ar-Raniri; 5. (tempat dll) yg bertentangan dgn, (di) seberang, hadapan;pertentangan 1. perihal bertentang, per­lawanan: ~ terhadap penjajahan barat; 2. perihal bertentangan, perselisihan (yg amat sangat), pertikaian (pendapat dll): orang Yunani memang mempunyai ~ politik dgn orang Turki; penentangan perihal (tindakan dsb) menen-tang, penolakan, perlawanan: tentera Belgium tidak menerima apa-apa ~; penentang (orang dll) yg menentang: aku mahu semua orang tahu kita ~ pendapat Wan Umar. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ten.tang] | تنتڠ

Definisi : 1 betul-betul berhadapan dgn: Dia tinggal ~ masjid. 2 lebih kurang pd; kira-kira pd: Ia terkena peluru pistol ~ dadanya. 3 bkn dgn; mengenai: Beliau akan bercakap ~ kemajuan ekonomi negeri ini. bertentang 1 berhadap. 2 menghadap ke: ~ mata berpandang-pandangan; berhadap muka. ber­ten­tangan 1 saling berhadap; ber­hadap-hadapan: Mereka duduk ~ dgn kami. 2 tidak sama (arah, pendapat dll); ber­­lawanan: arah yg ~. Pendapatnya ~ dgn pendapat saya. 3 ki tidak berbaik antara satu dgn yg lain; bermusuhan; berlawanan: Kami jarang-jarang bergaduh atau ~. menentang 1 memandang tepat-tepat pd sesuatu; menatap: Lapang hatinya dpt ~ wajah anak yg dikasihinya itu. 2 melawan atau memerangi musuh dll: Banyak perajurit yg telah terkorban dlm peperangan ~ musuh. 3 ki tidak menyetujui pendapat, usul dll; tidak mematuhi peraturan, undang-undang dsb; menyanggah; membangkang: Tiada sesiapa yg berani ~ usulnya itu. menentangkan meletakkan yg satu di hadapan yg lain; menghadapkan. mempertentangkan menjadikan ber­­lawanan; memperlaga­kan; mem­pertempurkan. tentangan 1 bkn dgn; tentang. 2 usaha atau apa-apa yg dilakukan utk menentang: Pasukan Jerman Barat telah memberikan ~ yg hebat kpd pasukan Argentina dlm pertandingan bola sepak Piala Dunia. pertentangan 1 perbuatan atau hal bertentang. 2 hal bertentangan atau berlawanan; per­lawanan. penentangan perbuatan atau hal menentang. penentang orang dll yg menentang. setentang betul-betul di hadapan atau di atas sesuatu: Sekolah itu ~ dgn rumah saya. bersetentang berada betul-betul ber­hadapan: Mata angin manakah yg ~ dgn utara? bersetentangan bersetentang dgn; berhadapan dgn: Dia duduk ~ adiknya. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Puisi
 

Buaya putih buaya keramat,
     Mari tentang lubuk batu;
Abang putih melawa sangat,
     Saya tidak memberi malu.


Lihat selanjutnya...(5)
Peribahasa

Tentang lubuk lepas tuba,
     tentang ikan akan mati.

Bermaksud :

Kemahuan atau pertanyaan hendaklah tepat pada waktu dan tempatnya.

 

Lihat selanjutnya...(45)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam sejahtera. Saya ingin tahu tentang perbezaan antara prihatin tentang dengan prihatin terhadap. Yang manakah ayat-ayat di bawah adalah betul? 1. Ibu bapa prihatin tentang / prihatin terhadap pelajaran anak-anak di sekolah. 2. Ali prihatin tentang / terhadap keadaan kesihatan datuknya yang baru sembuh daripada penyakitnya.

Ayat yang betul ialah:

1. Ibu bapa prihatin tentang pelajaran anak-anak di sekolah.

2. Ali prihatin tentang keadaan kesihatan datuknya yang baru sembuh daripada penyakitnya.

Kata sendi nama tentang digunakan sebagai unsur rujukan sesuatu yang tidak tentu, umum atau mujarad manakala kata sendi nama terhadap digunakan sebagai unsur rujukan yang melibatkan penyambut tertentu sama ada manusia, haiwan, atau benda. Contoh: Jangan bersikap biadap terhadap orang tua. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.

Tokoh11.05.2021
Apakah perbezaan antara "mengenai" dengan "tentang"?Kata sendi nama tentang digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum seperti ayat "Mereka berbincang tentang masalah Negara". Kata sendi nama tentang sering juga digantikan penggunaannya dengan bentuk mengenai. Perlu diingat bahawa perkataan mengenai sebenarnya tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada seperti ayat Bola yang ditendangnya mengenai palang gol. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 278.Makna20.02.2019
Assalamualaikum, saaya syuhaida, pelajar Bacelor Sastera di UPM. Saya hendak membuat kajian tentang ruang persembahan teater di Malaysia. Jadi, saya berminat untuk membuat kajian ini tentang Dewan Audotorium DBP. Saya inigin mengetahu tentang sejarah/asal usul dewan, fasiliti yg ada dalam dewan, peaturan yang ditetapkan dan juga tentang kepadatan/keluasan dewan. Jadi, bagaimana ye dan dengan siapa saya boleh berhubung mengenai dewan ini dengan lebih jelas.Salam sejahtera,

Kajian tentang Dewan Auditorium DBP.

Merujuk kepada perkara di atas, pihak saudari bolehlah menghubungi Pegawai di Bahagian Pentadbiran Am untuk mendapatkan maklumat dan mengaturkan sesi janji temu untuk tujuan kajian lapangan tersebut. Maklumat pegawai untuk dihubungi seperti maklumat yang berikut:

Nama: Encik Aris bi Othman
Alamat: Bahagian Pentadbiran Am, Aras 14, Menara DBP, 50460 Kuala Lumpur.
No. Telefon Pejabat: 03-2147 9708
E-mel: aris_o@dbp.gov.my

Sekian, untuk pemakluman
Lain-lain09.06.2020
Apakah perbezaan di antara perkataan "tentang" dan "mengenai"? Contoh ayat: Ketahui lebih lanjut tentang perkhidmatan Telekom Malaysia. Ketahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan Telekom Malaysia. Terima kasih di atas penerangan Tuan/Puan.Salam sejahtera,
Tuan,

Kata sendi nama "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud "rujukan" sesuatu yang tidak tentu atau umum atau mujarad. Kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi "hal" yang diperlakukan atau dibicarakan seperti, Mereka berbincang tentang masalah negara.

Selain itu, kata sendi nama tentang juga sering digantikan penggunaannya dengan kata mengenai. Perlu diingat perkataan mengenai sebenarnya tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud "kena pada" seperti, Tembakan peluru itu mengenai sasarannya.

Berdasarkan soalan tuan, ayat yang paling sesuai adalah, ketahui lebih lanjut tentang perkhidmatan Telekom  Malaysia. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://prpm.dbp.gov.my/.

Sekian, terima kasih.
Makna12.07.2017
Tuan/Puan, Perlukah perkataan "tentang" diulang bagi ayat di bawah? BI *whether any member or office-bearer of the SRC or of an ad hoc committee of the SRC... BM *tentang sama ada mana-mana anggota atau pemegang jawatan JPP atau tentang sesuatu jawatan JPP atau tentang sesuatu jawatankuasa... Sekian, terima kasih.Pengulangan perkataan dalam sesuatu ayat bergantung kepada keperluan sama ada perlu atau tidak perkataan tersebut diulang. Untuk persoalan tuan, terjemahan yang betul ialah: 
... sama ada mana-mana anggota atau pemegang jawatan JPP atau jawatankuasa ad hoc JPP ...
Makna22.09.2021
Ayat songsang kepada ayat biasa, 1)Belum tentu pandai anak guru tentang bidang itu. Jwpan (a): Anak guru belum tentu pandai tentang bidang itu. Jwpan (b): Anak guru tentang bidang itu belum tentu pandai. Adakah jawapan (b) betul? 2) Sungguh menakjubkan pertunjukan yang diadakan sempena sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara. Jwpan (a): Pertunjukan yang diadakan sempena sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara sungguh menakjubkan. Jwpan (b): Pertunjukan yang diadakan sungguh menakjubkan sempena sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara. Adakah jawapan (b) betul? Terma kasih.Salam sejahtera,

Soalan 1

Jawapan yang betul:
(a) Anak guru belum tentu pandai tentang bidang itu.

Soalan 2

Jawapan yang betul
(a) Pertunjukan yang diadakan sempena dengan sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara sungguh menakjubkan.
Tatabahasa04.06.2017
1. Adakah ayat ini betul: Amira meminta Alice menerangkan semula tentang proses fotosintesis. Boleh saya tahu cara yang betul untuk penggunaan ‘tentang’ 2. Apa beza Bahasa Malaysia dan Bahasa Melayu? Terima kasih
Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (halaman 278), kata sendi nama "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan.

Berdasarkan Kamus Dewan Perdana pula, "tentang" mempunyai maksud yang sama dengan "berkenaan atau berkaitan dengan; mengenai". Oleh itu, "tentang" boleh digunakan mengikut kesesuaian sebagaimana penerangan ini.

"Bahasa Melayu" dan "Bahasa Malaysia", kedua-duanya boleh digunakan. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menyatakan "bahasa Melayu" ialah bahasa kebangsaan. Walau bagaimanapun, pada 4 Jun 2007 kabinet memutuskan "bahasa Malaysia" turut digunakan selain daripada "bahasa Melayu" untuk menyemai rasa kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Makna11.10.2022
Siapakah yang patut saya hubungi jika mempunyai aduan tentang Gerbang Kata?Aduan tuan tentang masalah teknikal Gerbang Kata telah kami salurkan kepada pihak yang berkenaan. Untuk sebarang pertanyaan tentang Gerbang Kata, hubungi Tuan Haji Abu Bakar Buyong melalui talian 03-21479388.Lain-lain20.04.2019
Berdasarkan ayat-ayat yang berikut, adakah penggunaan "akan/tentang/terhadap di bawah betul? 1. Jangan awak salah faham tentang/akan dia. 2. Saya ambil berat terhadap/akan awak. Terima kasih.Merujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua maksud terhadap ialah tentang; me­ngenai; berkenaan, maka contoh ayat yang diberikan adalah betul penggunaan akan/tentang/terhadap.Tatabahasa07.07.2018
Soalan tentang tanda baca, italic, title case: 1) Apakah beza penggunaan tanda petik " " dan . 2) Apakah cadangan DBP untuk penggunaan italik untuk perkataan asing atau frasa khas. Perlu italik atau cukup sekadar tanda petik? 3) Apakah peraturan penggunaan Title Case. Bolehkah semua perkataan mempunyai huruf besar di awal? 4) Adakah pagi/petang boleh ditulis dengan singkatan seperti "AM" "PM" contohnya bahasa inggeris, "9am-5pm" BM ditulis bagaimana?

Penulisan tanda petik bergantung pada konteks penggunaannya. Terdapat dua tanda petik yang  biasa digunakan dalam penulisan, iaitu tanda petik (“ ”) dan tanda petik tunggal (‘ ’). Perbezaan kedua-dua tanda petik ini ialah tanda petik (“ ”) lazimnya digunakan penanda yang mengapit cakap ajuk atau petikan langsung daripada naskhah atau bahan bertulis; penanda yang mengapit judul rencana, karangan, puisi, bab, buku dan sebagainya yang digunakan dalam ayat; dan penanda yang mengapit huruf, angka, simbol, istilah atau kata untuk tujuan khusus. Tanda petik tunggal (‘ ’) pula, ialah biasanya digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit tanda petik. Untuk memahami dengan lebih mendalam, sila rujuk buku Gaya  Dewan,  Edisi Ke-4, halaman 125.

Merujuk buku Gaya Dewan Edisi Ke-4, halaman 153,  huruf italik atau huruf condong boleh digunakan bagi perkataan bahasa asing yang terdapat dalam teks bahasa Melayu. Contohnya lingua franca, mala fide dan prima facie. Jika perkataan dalam bahasa asing tersebut berada dalam tanda kurung, sama ada dalam bentuk ayat lengkap atau rangkai kata yang menjadi padanan maksud sebelumnya, perkataan tersebut tidak perlu diitalikkan. Contohnya, suai pada (copy fitting), kebebasan seni (poetic license) dan kos sut (marginal cost).

Huruf besar digunakan pada permulaan setiap kata nama khas termasuk nama orang, nama tempat, nama institusi dan sebagainya; pada permulaan kata di pangkal ayat; pada permulaan kata cakap ajuk; dan pada permulaan baris-baris puisi. Sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Ke-4, halaman 147.

Penggunaan singkatan bahasa Inggeris “am” dan “pm”  dalam bahasa Melayu ialah “pg.” dan “ptg.” atau “pg.” dan “mlm.”.  Oleh itu, jawapan yang betul ialah 9 pg.- 5 ptg.


Lain-lain05.09.2023
12345678910...

Kembali ke atas