Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[te.ri.ngat]/[ter.i.ngat] | ترايڠت

Definisi : ingat dgn tiba-tiba, terkenang, timbul dlm fikiran: dia ~ satu kisah yg hampir-hampir sama dgn pengalamannya sekarang; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[te.ri.ngat]/[ter.i.ngat] | ترايڠت

Definisi : ingat dgn tiba-tiba; terkenang: Setelah merantau selama tujuh tahun, dia ~ akan kampung halamannya. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata teringat

Puisi
 

Sayang serindit dadanya biru,
     Mati disumpit Raja Paiman;
Selama teringat permatanya guru,
     Belum kujanji lepas di tangan.


Lihat selanjutnya...(29)
Peribahasa

Sehabis kelahi teringat silat.

Bermaksud :

Setelah pekerjaan selesai baru teringat akan apa-apa yang baik untuk mengerjakan pekerjaan tersebut.

 

Lihat selanjutnya...(11)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam tuan,adakah ayat dianggap gramatis? 1) Saya teringat akan dia. 2) Saya teringat dia. 3) Saya teringat dengan dia. Untuk ayat ketiga,saya biasa dengar orang sebut,adakah ia betul atau tidak? Mohon pencerahan daripada tuan. Sekian terima kasih dan selamat berpuasa.

Ayat ‘Saya teringat akan dia’ dan ‘Saya teringat dia’ betul dan sesuai digunakan.

Tatabahasa05.04.2024
Salam tuan,selamat hari raya di sana! Saya ada dua soalan yang memerlukan penerangan tuan. 1) Mengapakah "teringat dengan" tidak boleh diterima? Ayat: Saya teringat dengan dia. 2) Adakah kata nama boleh ditambah -nya untuk menunjukkan kesan penekanan? Ayat: Suaminya di mana? ( "suaminya" di sini tidak merujuk kepada suami dia. Pemcakap cuma ingin berkata jodohnya belum ditemui lagi,jadi adakah "suaminya" betul?) Saya telah semak nota berkaitan kata pembenda,kata penekan. Namun saya tidak nampak sumber yang boleh membuktikan ayat itu benar. ----- Ayat yang biasa dengar,pelayan selalu akan sebut "semuanya dua puluh ringgit.". Adakah "semuanya" di sini betul juga? Adakah "semua" ialah kata adjektif membuatkannya betul? ---- Terima kasih tuan!

1. Frasa “teringat dengan” atau ayat “Saya teringat dengan dia” tidak betul kerana kata sendi nama “dengan” yang terletak di hadapan kata nama atau frasa nama, hanya digunakan untuk membawa maksud seperti yang di bawah sahaja, iaitu:

i. Membawa maksud bersama-sama atau berserta
ii. Membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan
iii. Membawa maksud memakai atau menggunakan, iaitu sebagai alat
iv. Menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama

Ayat yang betul ialah “Saya teringat akan dia”.

2. Berdasarkan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1546, perkataan “-nya” merupakan kata ganti nama diri orang ketiga yang ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya, seperti rumahnya, suaminya dan yang seumpama dengannya. Selain itu, kata ganti nama diri orang ketiga “-nya” boleh berfungsi sebagai penekan dan pembenda. Bentuk kata ini hadir selepas perkataan. Antara bentuk kata yang demikian ialah sesungguhnya, nampaknya, lajunya dan datangnya.

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci,  sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 104 dan 295-296.


Tatabahasa11.04.2024
1)Dira selalu teringat pada kenangan pahit manis semasa menuntut pusat pengajian tinggi.2)Semak-samun di belakang rumah itu belum dipotong.3)Seluar saya sama besar seluar Ahmad.TOLONG BETULKAN KALAU TERDAPAT SALAH.

Saudari/Saudara,

1. Dira selalu teringat pada kenangan pahit manis semasa menuntut di pusat pengajian tinggi.

2. Ayat tepat

3. Seluar saya dan Ahmad sama besar. (ayat yang diolah oleh saudara betul dari aspek tatabahasanya namun, kurang gramatis)

Tatabahasa05.09.2012
1.Pihak polis telah berjaya mengumpul pelbagai maklumat sebaik sahaja kejadian itu disiarkan melalui akhbar. tuan, jawaban ialah sebaik salah, apakah pandangan munsyi? TK 2Puan Intan sering teringat-ingat peristiwa kebakaran yang telah memusnahkan rumahnya dulu. tuan, jawaban yang tiada kesalahan, tetapi saya sepatutnta teringat-ingat akan, apakah pandangan tuan? TK1. Sebaik juga bermaksud sebaik-baik, namun lazimnya kita menggunakan perkataan sebaik-baik dalam konteks ayat tersebut. Lihat Kamus Dewan untuk melihat maknanya.
2. Frasa yang betul ialah "teringat-ingat akan".
Tatabahasa20.02.2013
Selamat sejahtera tuan / puan, Tolong bimbing saya untuk mengenal pasti sama ada ayat-ayat berikut benar atau salah: 1. Membaca buku dia di bawah pokok yang rendang. 2. Aidil teringat oleh kekasihnya. 3. Sumbangan itu akan kerajaan serahkan kepada mangsa banjir. 4. Penduduk kampung berpendapat bahawa projek itu mendatangkan banyak manfaat. 5. Dia menyedari yang nasibnya terancam. 6. Ayah membelikannya sebuah basikal. 7. Abang memberikan ayah wang. Adakah kata ganti diri ketiga "ia" boleh digunakan untuk merujuk benda? Sekian, terima kasih.Selamat sejahtera,

1. Membaca buku dia di bawah pokok yang rendang. = Dia membaca buku di bawah pohon yang rendang
2. Aidil teringat oleh kekasihnya. = Aidil teringat akan kekasihnya.
3. Sumbangan itu akan kerajaan serahkan kepada mangsa banjir. = Kerajaan akan menyerahkan sumbangan itu kepada mangsa banjir.
4. Penduduk kampung berpendapat bahawa projek itu mendatangkan banyak manfaat. = Penduduk kampung berpendapat bahawa projek itu akan mendatangkan banyak manfaat.
5. Dia menyedari yang nasibnya terancam. =  Ayat ini betul.
6. Ayah membelikannya sebuah basikal. = Ayat ini betul.
7. Abang memberikan ayah wang. = Abang memberikan wang kepada ayah.
Adakah kata ganti diri ketiga "ia" boleh digunakan untuk merujuk benda? = Ia boleh digunakan untuk merujuk benda.
Tatabahasa24.09.2015
1)Walaupun Ali pandai,dia tidak pernah berlagak.(Ayat ini kena tambah "tetapi" atau tidak perlu?) 2)Dia teringat (pada/akan) ibunya.(perkataan "pada" atau "akan" yang tepat?Atau dua-dua pun betul?)1) Walaupun Ali pandai,dia tidak pernah berlagak.
-sudah gramatis. Tidak perlu letak "tetapi'.

2)Dia teringat akan ibunya.

Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif.

Tatabahasa07.09.2012
Penggunaan kata sendi nama "oleh" dan "akan" pada ayat berikut: 1.Dia teringat ...........ibunya di kampung. 2.Ayah tertarik............keindahan kota itu. Kata sendi nama "oleh" atau "akan"yang lebih tepat dalam penggunaan ayat di atas?. Jelaskan penggunaannya.

Penggunaan kata sendi nama akan yang tepat untuk kedua-dua ayat tersebut. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 282 untuk keterangan lanjut.

Tatabahasa02.10.2009
Dzufi Iszura 11.54 PAGI Dzufi Iszura Dzufi Assalamualaikum dan salam sejahtera, saya hendak bertanya komen DBP mengenai slogan-slogan kerajaan yang mencampur-adukkan bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia seperti "Jangan Kawtim, Jangan Settle" atau "YouCanDuit". Ini kerana saya teringat beberapa tahun dahulu stesen tv swasta mendapat kritikan hebat dalam menamakan karnival mereka "Sure Heboh" atas sebab yang sama. Terima kasih. Dzufi Iszura Pensyarah UiTM Sarawak.Waalaikumussalam. Tuan/Puan, DBP memang tidak bersetuju dengan perbuatan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam slogan dan penamaan program. Saranan agar tidak mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam penamaan program jabatan dan kementerian telah banyak kali disebut, dan baru-baru ini telah dikemukakan lagi oleh YB Menteri Pendidikan selaku Pengerusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang dianggotai oleh 18 kementerian. DBP sentiasa berusaha memberikan nasihat dan pandangan terhadap pihak yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul.Lain-lain08.05.2017
saya ingin bertanya tentang pemenggalan suku kata bagi perkataan-perkataan berikut: 1. INGIN. Adakah i/ngin ATAU in/gin? 2. DENGAN. den/gan ATAU de/ngan? 3. PERTANDINGAN. per/tan/din/gan ATAU per/tan/ding/an? 4. PERANGAI. pe/ran/gai ATAU pe/ra/ngai? 5. SANGAT. san/gat ATAU sa/ngat? 6. TERINGAT. ter/in/gat ATAU ter/i/ngat? 7. MENGIRA. men/gi/ra ATAU me/ngi/ra? 8. SUATU. su/a/tu ATAU sua/tu? 9. SEMUA. se/mua ATAU se/mu/a? 10. MENAIKI. me/na/ik/i ATAU me/naik/i ATAU me/nai/ki? 11.PAK CIK GOBI. pak/cik/gobi ATAU pak cik/gobi?

Pemenggalan perkataan berdasarkan sebutan.

1. INGIN.  i/ngin

2. DENGAN. de/ngan?

3. PERTANDINGAN. per/tan/di/ngan

 4. PERANGAI. pe/ra/ngai

5. SANGAT. sa/ngat?

6. TERINGAT. te/ri/ngat,  ter/i/ngat

7. MENGIRA. me/ngi/ra

 8. SUATU. sua/tu?

 9. SEMUA. se/mua

10. MENAIKI. me/nai/ki,  me/nai?/ki 

11.PAK CIK GOBI. pak/cik/gobi 

Buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi  Edisi Kedua boleh dijadikan sumber rujukan.

Tatabahasa27.04.2010
Contoh bagaimana untuk menulis tentang watak protagonis dalam novel Lamunan Puitis?Watak protagonis ialah watak utama dalam sesuatu cerita, drama;  penyokong terkemuka sesuatu perjuangan, pergerakan dan sebagainya. Novel Lamunan Puitis mempunyai trilogi yakni mengandungi tiga novel dalam satu buku.

Kisah pertama bertajuk "Sebuah Mimpi Hari Tua" mengisahkan sebuah keluarga yang teringat akan orang tua di kampung. Mengenang kembali akan sawah yang sudah tidak diusahakan lagi.  Novel kedua bertajuk "Titipan" mengisahkan tentang kenangan watak utama dengan ibunya. Novel yang terakhir bertajuk "Embun". Mengisahkan tentang watak dan sifat embun dan kaitannya dengan sifat hujan. Kisah embun yang mencari jati diri dan cuba memisahkan diri dari 'jemaah hujan'.


Saudara boleh menceritakan watak utama dalam ketiga-tiga novel tersebut berdasarkan perwatakan yang dibawa oleh watak utama.  Watak atau sifat (seseorang) yang zahir dan batin (merangkumi budi pekerti dan tabiatnya, tingkah lakunya, jiwanya, pemikirannya, dsb): yang ditunjukkan oleh watak protagonis.

Saudara juga boleh menghubungi Bahagian Penyelidikan Sastera DBP untuk lebih lanjut melalui e-mel iaitu hanafi@dbp.gov.my  selain membuat rujukan di Pusat Dokumentasi Melayu, buku rujukan dan lain-lain.

Sastera26.02.2013
12

Kembali ke atas