Ensiklopedia

TajukSinopsisBidangKlasifikasi
PUPA

Pupa ialah peringkat yang agak tidak aktif dalam

metamorfosis (perkembangan) kebanyakan

serangga. Dalam metamorfosis lengkap , larva

makan sehingga membesar sepenuhnya (lihat

Larva ). Kemudian larva bersalin kulit menjadi pupa,

satu bentuk sementara yang membolehkan

struktur dewasa berkembang. Serangga dewasa

muncul dengan memecahkan “kulit” pupa.

Peringkat pupa mungkin lamanya satu atau dua

hari, atau sehingga satu tahun atau lebih,

bergantung pada spesies. Peringkat ini

membolehkan sesetengah serangga dewasa,

seperti rama-rama, mempunyai ciri-ciri

yang sangat berbeza daripada ciri-ciri larva. Ia

juga membolehkan sesetengah serangga yang

berkembang mengelakkan kepanasan dan

kesejukan yang melampau, kebuluran, dan

kemarau.

UMUM 
KELENJAR TIROID

Kelenjar tiroid ialah kelenjar endokrin

(pengeluaran hormon) yang terletak di depan

leher. Ia mempunyai dua lobus (bahagian) di setiap

sisi trakea (salur udara). Kedua-dua lobus ini

disambungkan oleh satu jalur nipis tisu. Rangkaian

pembuluh darah menyelaputi kelenjar ini. Tiroid

mengambil iodin dari darah dan menggunakannya

untuk membuat hormon aktif, tiroksina yang juga

dikenali sebagai tetraiodotironina dan

triiodotironina . Hormon tiroid tidak aktif tersimpan

di dalam lobus dalam ruang yang dikenali sebagai

folikel .

UMUM 
PLASEBO

Plasebo ialah sejenis bahan yang kadangkala

digunakan oleh doktor sebagai ubat walaupun ia

tidak mengandungi sebarang ramuan bahan yang

aktif. Plasebo boleh melegakan pesakit dan ada

kalanya menyembuhkan pesakit. Plasebo kelihatan

sama seperti dadah biasa, tetapi biasanya hanya

mengandungi larutan gula atau garam. Doktor ada

kalanya menggunakan plasebo sebagai dadah biasa

kerana mendatangkan kesan positif terhadap kira-

kira 30 peratus pesakit. Pembaikan hasil

penggunaan bahan bukan aktif ini dikenali sebagai

kesan plasebo.

UMUM 
KELPIE AUSTRALIA

Kelpie Australia ialah anjing biri-biri yang

benar-benar aktif dan sangat bijak dengan naluri

semula jadi untuk mengawal biri-biri dan yang

tidak mengenal penat untuk bekerja. Kelpie adalah

anjing yang gemalai, berotot dan berlari dengan

pantas. Kelpie berasal daripada anjing collie

Scotland berbulu pendek. Anjing ini mempunyai

bulu yang pendek dan telinga yang tegak. Warna

bulunya adalah hitam, sawo matang, merah,

perang muda, coklat atau biru asap. Pemenang

lumba percubaan anjing biri-biri Australia yang

pertama pada tahun 1872 dikenali sebagai Kelpie

(bahasa Gaelic bagi pari-pari air) dan nama bakanya

diperoleh daripada jualan anak Kelpie.

UMUM 
SKLEROSIS LATERAL AMIOTROFIK

Sklerosis lateral amiotrofik, juga dikenali

sebagai ALS (Amyotrophic Lateral Sclerosis) ialah

penyakit sistem saraf yang jarang berlaku dan tidak

dapat disembuhkan. Ia juga dikenali sebagai

Penyakit Neuron Motor. ALS secara beransuransur

memusnahkan saraf yang mengawal otot.

Kelemahan, lumpuh, dan akhirnya kematian

berlaku. Doktor menasihati pesakit supaya terus

aktif selagi mereka boleh. Tiada rawatan yang

boleh menghentikan ALS.

UMUM 
STROMBOLI

Stromboli ialah sebuah pulau di Laut Tyrrhenian di

luar pantai timur laut Sicily (lihat Itali [peta muka

bumi]). Pulau ini meliputi lebih kurang 12 kilometer

persegi dan mempunyai 386 orang penduduk.

Stromboli terkenal kerana gunung berapinya yang

menjulang setinggi 924 meter. Gunung berapi ini

ialah salah sebuah daripada sebilangan kecil gunung

berapi di Eropah yang sentiasa aktif. Penulis zaman

purba pernah melaporkan aktiviti gunung berapi ini

berkurun-kurun yang lalu. Ledakan gunung berapi

yang membawa kemusnahan jarang-jarang berlaku

di Stromboli kerana laharnya mengalir bebas, dan

tidak mengumpulkan tekanan dalaman yang boleh

menyebabkan ledakan dahsyat.

UMUM 
BADAN BERKANUN

BADAN BERKANUN, sebuah perbadanan awam dalam struktur pentadbiran kerajaan. Badan berkanun ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, dan oleh kerajaan negeri di bawah enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undang Negeri masing-masing. Penubuhan badan berkanun pada umumnya bertujuan untuk membolehkan penglibatan kerajaan secara terus dan lebih berkesan dalam bidang perkhidmatan awam dan pembangunan sosioekonomi yang memerlukan modal yang banyak dan kurang mendapat sambutan daripada sektor swasta. Badan berkanun dijangka akan dapat memainkan peranan yang lebih aktif dan bebas kerana badan tersebut tidak perlu mengikut peraturan biasa yang diamalkan dalam pentadbiran kerajaan, walaupun badan itu diletakkan di bawah kuasa kerjaaan Persekutuan dan kerajaan Negeri.

SEJARAH DAN ARKEOLOGIKonsep
KESATUAN MELAYU MELAKA

KESATUAN MELAYU MELAKA, persatuan politik nasionalisme Melayu yang ditubuhkan di Melaka pada tahun 1927. Pemimpinnya terdiri daripada guru sekolah Melayu dan pegawai rendah kerajaan. Salah seorang pemimpin aktif kesatuan ialah Haji Talib Karim, Ketua Menteri Melaka (1970-an). Guru merupakan tenaga pemimpin yang utama di Melaka, kerana di Melaka tidak terdapat golongan pembesar tradisional seperti negeri Melayu yang lain. Sistem feudalisme Melayu telah hilang di Melaka sejak penjajahan Portugis pada tahun 1511. Akibatnya, sistem feudalisme atau tradisional masyarakat Melayu yang bermula di Melaka pada abad ke-15 telah berkembang ke negeri lain yang muncul selepas kejatuhan empayar Melaka.

SEJARAH DAN ARKEOLOGIInstitusi/Organisasi

Kembali ke atas