Necker, Jacques (1732–1804) ialah negarawan
Perancis di bawah pemerintahan Raja Louis XVI.
Apabila dia dilantik menjadi menteri kewangan
Perancis pada tahun 1777 keadaan kewangan
negara tidak seimbang. Keadaan semakin buruk
selepas Perancis terlibat dalam Revolusi Amerika.
Necker, ahli bank yang terkenal, meminjam wang
dengan banyak, dan meneruskan semua kegiatan
tanpa menaikkan cukai. Tindakannya ini hanya
mampu menangguhkan masalah serius yang
sebenar. Dia menimbulkan kemarahan di kalangan
istana kerana menyiarkan buat pertama kalinya
laporan tentang cara cukai dibelanjakan dan
berapa banyak jumlah yang sebenarnya diberikan
kepada golongan orang kesukaan istana. Dia
meletakkan jawatan pada tahun 1781.