Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[tom.po/] | تومڤوق

Definisi : 1. kumpulan yg tidak begitu besar, kelompok kecil; 2. longgokan yg kecil, tim­bun­an: se~ rambutan; 3. bintik besar yg bulat (pd binatang dll): atap zinknya sudah merah berkarat, hanya ada sedikit sahaja ~-~ putihnya; bertompok-tompok 1. berkelompok-kelompok: anak-anak muda ~ duduk di atas pasir; 2. bersusun-susun, bertimbun-timbun: buku yg ~; 3. tidak rata (warna dll), setempat-setempat, berbintik-bintik besar: anak kambing yg berwarna coklat ~ putih; 4. ki bertimbun-timbun, banyak sekali; menompokkan 1. meletakkan bersusun-susun, melonggokkan; 2. mengumpulkan banyak-banyak, menimbun-nimbunkan; tertompok tersusun bertindih-tindih, ter-kumpul banyak-banyak; tompokan longgokan, timbunan; penompokan perihal (proses, perbuatan, tindakan dsb) menompokkan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[tom.po/] | تومڤوق

Definisi : 1 kumpulan atau kelompok yg agak kecil; longgok kecil: Ia mem­beli se~ buah langsat. 2 bintik besar pd kulit binatang dll. bertompok ada tompok pdnya. bertompok-tompok 1 terdapat banyak tompok pdnya; ber­kelompok-kelompok. 2 tidak rata (ttg warna dll): Bulu kucingnya berwarna putih ~ hitam. menompokkan me­letakkan bertompok-tompok; me­long­­gokkan. tompokan kumpulan yg bertompok-tompok; longgokan; timbunan. penompokan perbuatan atau hal menompokkan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
tompok (kata nama)
Bersinonim dengan capuk, topok, bintang, bintik, titik, totol;,
Kata Terbitan : bertompok-tompok, menompokkan,

Peribahasa

Tersenget-senget bagai katung di bawah reba.

Bermaksud :

Orang kecil yang takut dan malu hendak mendekati orang besar dan mulia. (Peribahasa lain yang sama makna: Tersendeng-sendeng bagai sepat di bawah mengkuang). katung = sebangsa penyu; reba = ranting daripada dahan kering yang bertompok-tompok bekas ditebas.

 

Lihat selanjutnya...(2)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Ayat di bawah betul???? 1. Di badan ikan itu terdapat tompok-tompok hitam. 2.Dengan kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami. 3. Inai memerahkan jarinya. 4Jangankan pergi ke Ipoh , Taiping pun belum pernah.Ayat 1) Di badan ikan itu terdapat tompok-tompok hitam. Ayat ini boleh dinakan, manakala bagi ayat kedua, digalakkan agar digunakan Kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami. Ayat ke-3. Inai memerahkan jarinya boleh digunakan. Manakala ayat keempat iaitu Jangankan pergi ke Ipoh , Taiping pun belum pernah juga boleh digunakan. Namun demikian, bagi membantu saudara mendapatkan penjelasan berkaitan perkara ini, saudara boleh membuat rujukan pada Buku Tatabahasa Dewan di bawah tajuk imbuhan me-kan-i.Tatabahasa27.06.2007
saya ___ kucing ini Si Tompok. 'menamai' atau 'menamakan'?Ayat yang betul ialah "Saya menamai kucing ini Si Tompok."Tatabahasa16.07.2013
saya ingin bertanya, adakah imbuhan pe/peng juga boleh merujuk kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan? saya ingin mendapatkan takrifan bagi perkataan pengguna. contoh : pak mat membeli freskis untuk kucingnya tompok. pak mat tidak makan freskis itu. tompok yang makan. siapakah pengguna freskis itu? pak mat atau tompok? atau kedua-duanya? terima kasih. .Pengguna bermaksud orang dan lain-lain yang menggunakan termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Hal ini boleh dijelaskan melalui konteks ayat atau penceritaan dalam ayat. Berdasarkan contoh ayat yang diberikan mudah untuk kita menentukan siapa yang menggunakan/makan makanan tersebut.Tatabahasa04.12.2012
Saya ingin tahu tentang penggunaan kata ganti nama diri "dia". Bolehkah saya menggunkan perkataan dia untuk merujuk kepada kucing belaan saya? Sebagai contoh, "Saya membela seekor kucing. Dia diberi nama Si Tompok oleh ibu saya." Adakah pengunna "dia" betul di contoh tersebut. Sekiranya penggunaan "dia" ialah salah, adakah penggunaan 'ia" betul?Kata ganti nama diri "dia" atau "ia" adalah setara dan hanya boleh digunakan untuk manusia, iaitu kata ganti nama diri orang ketiga. Kata ganti nama diri tersebut tidak boleh digunakan untuk binatang (kucing). Untuk merujuk kucing, bolehlah gunakan "Si Tompok" atau kucing itu.Tatabahasa24.04.2011
Saya sedang dalam proses menterjemah laman web kerajaan (dari bahasa inggeris kepada bahasa melayu) apa istilah yang sesuai bagi perkataan 'patch' dan 'patching security hole' Terima kasih.Dalam bidang komputer padanan bahasa Melayu bagi  perkataan patch ialah tampal, tompok atau tampung. Padanan bagi patching security hole pula ialah menampal/menampung lubang keselamatan. Walau bagaimanapun penggunaan padanan ini bergantung pada konteks penggunaan dan konsep yang hendak diterangkan. Istilah16.07.2008
Tentukan kata berikut kata nama khas tunggal atau kata nama khas majmuk. 1) Ali Bin Abu 2) Tan Sri Ali Bin AbuUntuk makluman, kata nama khas cuma terbahagi kepada dua, iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula terbahagi kepada dua, iaitu kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia. Contohnya, Ahmad (kata nama khas hidup manusia, Tompok (kata nama khas hidup bukan manusia) dan Kuala Lumpur (kata nama khas tak hidup).Tatabahasa04.04.2018
Salam sejahtera . Adakah Hutan Hujan Tropika dan Taman Buaya kata nama khas hidup bukan manusia? Apakah contoh lain kata nama khas hidup bukan manusia? Terima kasih.Hutan Hujan Tropika dan Taman Buaya tergolong dalam kumpulan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup bukan manusia terdiri daripada perkataan yang merujuk benda-benda yang hidup tetapi bukan jenis manusia, seperti malaikat, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan seumpamanya, contohnya: Jibrail, Tompok, Belang, Kancil, Vanda diana (sejenis orkid) dan Hevea brasiliensis (pokok getah).Tatabahasa08.01.2013
Bagi perkataan "abang" atau "kakak", bilakah ianya boleh dijadikan kata nama khas? Ayat contoh : "Hi Abang Ali!" atau "Hi abang Ali!" Bagaimana pula dengan panggilan "Kak Long" atau "kak long". Sememangnya, saya keliru dengan penggunaan kata nama khas. Di mana boleh saya dapatkan panduan yang lebih lanjut mengenai perkara ini? Terima kasih.

Menurut data kami, kata nama khas cuma terbahagi kepada dua, iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula terbahagi kepada dua, iaitu kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia. Contohnya, Ahmad (kata nama khas hidup manusia, Tompok (kata nama khas hidup bukan manusia) dan Kuala Lumpur (kata nama khas tak hidup). Oleh itu, "abang" dan "kak long" bukan merupakan nama khas dan tidak perlu dieja dengan huruf besar kecuali kata nama khas Ali kerana perkataan tersebut tergolong dalam panggilan. Untuk maklumat yang lebih lanjut, tuan boleh merujuk Tatabahasa Dewan.

Tatabahasa20.03.2020
Salam sejahtera, 1. Murid-murid diminta berjalan menuju ke Blok C. 2. Murid Kumpulan D diminta membuat persembahan senamrobik dalam talian. 3.Kita perlu mengambil Vitamin C setiap hari. * Blok C , blok tulis dalam huruf besar atau kecil termasuk c. *Kumpulan D, kumpulan tulis dalam huruf besar atau kecil. *Vitamin C, vitamin ditulis dalam huruf besar atau kecil? Sila berikan pencerahan.Terima kasih.

Ketiga-tiga perkataan perlu ditulis dengan huruf kecil, iaitu blok C, kumpulan D dan vitamin C kerana perkataan tersebut merupakan kata nama am. Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep yang umum sifatnya. Contohnya kereta, cuaca dan keadilan.

Manakala perkataan yang ditulis dengan huruf besar ialah kata nama khas. Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan  seumpamanya. 

Kata nama khas dibahagikan kepada dua kumpulan:
(i) Kata nama khas hidup (manusia dan bukan manusia). Contohnya Tun Abdul Razak (manusia) dan Tompok (bukan manusia).
(ii) Kata nama khas tak hidup. Contohnya Melayu dan Universiti Putra Malaysia.      

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 95 - 101.

Tatabahasa25.07.2021

Kembali ke atas