Maklumat Kata

Carian kata tiada di dalam kamus terkini. Sila rujuk capaian Kamus Dalam Talian ini.
Tesaurus
 
waktu (kata nama)
1. Bersinonim dengan masa: jangka masa, saat, ketika, kala, sangkala, tempoh, zaman, tenggak,

2. Bersinonim dengan kesempatan: peluang, tempoh, kelapangan,

Kata Terbitan : sewaktu, sewaktu-waktu,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
perkataan sekarang dan kini adakah ia mempunyai maksud yang sama?Sekarang bermakna waktu bukan yg telah lalu dan bukan yg akan datang; waktu ini: ~ juga kita pergi. Kini pula ialah sekarang ini, waktu ini: ~ segala-galanya yg selama ini dirahsiakan telah diketahui umum; hingga ~ ke atas dr sekarang (ketika ini) dan selanjutnya; kekinian 1. keadaan terbaru atau mutakhir: ~ padanan dlm bahasa sasaran; 2. keadaan masa kini: seorang penulis menyedari kehadirannya dlm ruang waktu ~nya; terkini yg paling kini, terbaru: penyelidikan yg ~ dlm ilmu bahasa.Makna16.08.2010
bercuti ke / bercuti di dalam konteks berlainan. (a) Pada minggu lepas, keluarga Ali telah bercuti di Sarawak. (b) Pada minggu lepas, keluarga Ali telah bercuti ke Sarawak. (c) Pada minggu akan datang, keluarga Ali telah bercuti di Sarawak. (d) Pada minggu akan datang, keluarga Ali telah bercuti ke Sarawak. Adakahsemua jawapannya "ke" untuk menunjukkan tempat yang ditujui? (a) dan (b) menunjukkan kejadian yang sudah berlaku. begitu juga dengan "makan angin ke" atau "makan angin di" Harap dapat pencerahan.

Kata sendi nama “ke” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju dan juga menunjukkan waktu atau masa.

Kata sendi nama “di” digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat.

Frasa “Pada minggu lepas” menunjukkan waktu yang telah berlalu/telah berlaku manakala frasa “Pada minggu akan datang” menunjukkan waktu yang akan berlaku.

Berdasarkan contoh ayat yang diberikan, ayat (a) Pada minggu lepas, keluarga Ali telah bercuti di Sarawak lebih tepat berbanding ayat (b).

Bagi ayat (c) dan (d), sila pastikan penggunaan kata bantu aspek “telah” sepatutnya yang betul ialah “akan” kerana merujuk frasa “Pada minggu akan datang”. Ayat yang betul ialah Pada minggu akan datang, keluarga Ali akan bercuti ke Sarawak.

Makan angin membawa maksud yang sama dengan bercuti. Oleh yang demikian, konsep penggunaan kata sendi nama  “ke” dan “di” sama seperti contoh ayat yang diberikan.

Lain-lain14.08.2021
Apakah terjemahan bagi "current state leaders"? "pemimpin negara sekarang" atau "pemimpin negara semasa"? atau lain?Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, maksud sekarang ialah waktu bukan yang telah lalu dan bukan yang akan datang manakala semasa pula bermaksud sama masa dengan atau pada ketika yang sama. Maka terjemahan yang lebih sesuai bagi current state leaders ialah pemimpin negara sekarang.Makna23.03.2018
Penyemakan bahasa atau ejaan yang betul. 1. Khairul mendermakan organisasi kebajikkan itu. 2. Imran menikmati goreng pisang di waktu petang. 3. Pelbagai isu-isu penduduk telah mereka bincangkan. 4. Maryam memperolehi markah tertinggi sekali dalam kelas tersebut. 5. Kerja-kerja pedalaman parit telah dilaksanakan oleh saya atas arahan ayah. 6. Telor rebus itu dimakan oleh saya. 7. Penduduk Kampung Sentosa saling tolong-menolong dalam program gotong royong. 8. Permohonan kemasukkan pelajar ke sekolah tersebut boleh dilakukan secara atas talian. 9. Para pengundi-pengundi telah bersedia mengundi pada pilihanraya yang akan datang. 10. Kapal mewah milik jutawan itu baharu bergerak menuju Selat Melaka.

1. Khairul memberikan derma kepada organisasi kebajikan itu.
2. Imran menikmati pisang goreng pada waktu petang.
3. Pelbagai isu berkaitan penduduk telah mereka bincangkan.
4. Maryam memperoleh markah tertinggi dalam kelas tersebut.
5. Kerja-kerja pendalaman parit telah saya laksanakan atas arahan ayah.
6. Telur rebus itu saya makan.
7. Penduduk Kampung Sentosa saling tolong-menolong dalam program gotong-royong.
8. Permohonan kemasukan pelajar ke sekolah tersebut boleh dilakukan secara dalam talian.
9. Para pengundi telah bersedia untuk mengundi pada pilihan raya yang akan datang.
10. Kapal mewah milik jutawan itu baharu bergerak menuju ke Selat Melaka.

Tatabahasa27.07.2021
Bolehkah perkataan "dalam" digunakan untuk maksud menganggar? Contoh. - Masukkan dalam tiga sudu minyak ke dalam kuali. - Saya rasa dia akan datang dalam jam 10:00 pagi nanti. Terima kasih.Bagi ayat yang pertama, ayat yang tepat ialah Masukkan lebih kurang tiga sudu minyak masak ke dalam kuali. Perkataan dalam dalam ayat ini tidak sesuai.

Bagi ayat yang kedua, ayat tersebut betul kerana berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan dalam membawa maksud pada waktu (tertentu).
Tatabahasa08.08.2021
Salam sejahtera, nak tanya tentang ayat-ayat berikut adakah betul. 1. Jangan bimbang, tidak akan ada apa-apa. (atau Jangan bimbang, semua akan baik-baik belaka.) 2. Petang masih terdapat sebuah pertandingan. (penjodoh bilangan untuk pertandingan) 3. Bapa saya ialah orang Utara. (Adakah Utara kata nama khas, perlu huruf besar?) 4. Dia datang dari Utara. Terima kasih jawapan anda!Ayat yang betul:

1. Jangan bimbang, tidak akan ada apa-apa.
2. Pada waktu petang masih terdapat pertandingan congkak. (Masukkan nama pertandingan)
3. Bapa saya ialah orang utara
4. Dia datang dari utara
Tatabahasa24.06.2019
1. Apakah procedure untuk signage approval? 2. Apakah dokumen yang perlu dibawa? 3. Apakah nama Kaunter atau blok untuk urusan signage approval? 4. Waktu urusniaga kaunter?

Ssaudara/ saudari boleh fakskan iklan kepada kami atau datang ke tingkat 25, Menara DBP. Petugas akan mengesahkan iklan saudara/ saudari. Dokumen yang diperlukan ialah visual yang hendak disahkan.

Lain-lain02.03.2010
Apakah proses yang perlu dilakukan untuk menyemak bahasa pada kain rentang yang ingin digantung di tempat awam?

Untuk permohonan pengesahan bahasa dalam talian (online), sila layari laman web dbpsahbahasa.my ,
kemudian daftar ID pengguna dan kata laluan. Setelah itu, boleh teruskan untuk permohonan pengesahan bahasa dan lampirkan sekali visual iklan kain rentang anda.
Pihak tuan/puan perlu membuat pembayaran sebanyak RM10 terlebih dahulu. Proses pengesahan mengambil masa antara 1 hingga 3 hari waktu bekerja.

Cara kedua, pihak tuan/puan boleh datang terus ke kaunter DBP Sah Bahasa di Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur dengan membawa dua keping visual iklan (papan premis, kain rentang, gegantung dan sebagainya). Proses penyemakan dan pengesahan akan dilakukan dengan segera di kaunter.

Lain-lain25.07.2019
Saya berminat untuk mngembangkan bakat atau mengisi waktu apabila melangkah ke alam persaraan dalam masa 4 tahun 1/2 lagi. Walau bagaimanapun penumpuan idea atau kecenderongan ke arah skop penulisan belum ada lagi yang kukuh. masih mencari apa bidang yang sesuai dan mengarah pemikiran untuk menampilkan cetusan idea yang boleh diisi dalam pencernaan ayat dan perkataan yang begitu mantap untuk dibaca atau ditatap oleh segelintir manusia barangkali. Aliran pemikiran dan penulisan tidak menjurus kepada trend sesiapa kerana saya ingin gaya dan kekuatan tersendiri. Apakah yang boleh dilakukan buat permulaan sekarang ? Adakah elok saya menulis artikel atau penulisan awalan untuk mengukur sejauh mana kemampuan saya . Memang betul sebagai asas saya perlu banyak membaca supaya saya tahu pelbagai jurusan penulisan serta teknik yang digunakan. Perlukah saya belajar pelbagai teknik penulisan? Kalau saya ingin penulisan saya dibukukan bagimana caranya ?

Alhamdulillah, sdr. berminat dalam bidang penulisan. Mudah-mudahan akan bertambah lagi penulis berbakat di tanah air pada masa akan datang. Dalam hal ini sdr. boleh mengasahkan bakat dalam bidang penulisan terutamanya dengan banyak membaca dan meneliti karya-karya pemenang sastera. Semua karya sdr. perlulah dihantar ke media cetak dan syarikat penrbit (akhbar, majalah, novel/buku dll.) serta media elektronik  (radio dan tv) bagi tujuan penerbitan dan penyiaran. Sdr. juga digalakkan menyertai peraduan karya sastera (mengikut genre yang diminati) bagi menguji semangat, bakat dan keterampilan sdr. dalam bidang penulisan. Akhirnya, bagi mendapatkan pendedahan dan khidmat nasihat dalam bidang penulisan, sdr. bolehlan menghubungi pejabat DBP yang berhampiran. Untuk mendapatkan Khidmat Nasihat Berkarya secara dalam talian, saudari bolehlah melayari laman web DBP www.dbp.gov.my, dan klik menu perkhidmatan, saudari akan dapat khidmat bimbingan berkarya secara percuma. Selamat mencuba.

Lain-lain22.10.2009

Kembali ke atas