Maklumat Kata

Carian kata tiada di dalam kamus terkini. Sila rujuk capaian Kamus Dalam Talian ini.
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata ya II 1


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
1. Koma perlu diletakkan selepas kata seru seperti oh, wah. Oleh itu penggunaan yang betul adalah seperti di bawah, betul atau tidak? i) Oh, Tuhan. Selamatkanlah kami. ii) Ya Tuhan. Selamatkanlah kami. 2. cintakan/sayangkan - Kedua-dua ini disenaraikan dalam Kamus Bahasa Melayu dalam talian. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=sayangkan https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=cintakan Adakah kedua-dua ini gramatis? Bukankah "cinta akan" dan "sayang akan" penggunaan yang betul dan gramatis berpandukan Tatabaha Dewan? Jadi, bolehkah "sayangkan" atau "cintakan" digunakan?
1. Penulisan yang betul ialah Oh, Tuhanku, selamatkanlah mereka! Ya, Tuhanku, selamatkanlah kami! Sila rujuk halaman 255 buku Tatabahasa Dewan. 


2. Penggunaan yang gramatis ialah sayang akan dan cinta akan. 
Tatabahasa31.05.2021
Salam sejahtera tuan, saya ada beberapa soalan. 1. Adakah para penduduk betul? 2. Berpuluh-puluh ribu orang telah datang dari mana-mana untuk menyaksikan konsert itu. Adakah mana-mana betul? 3. i) Ya, Allah, aku memohon perlindungan-Mu. ii) Ya, Allah, aku memohon perlindungan-Kau. Ayat manakah yang lebih tepat? Terima kasih.

1. Frasa “para penduduk” adalah betul.
2. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “mana-mana” bermaksud 1. mana pun, barang apa pun, setiap 2. siapa-­siapa, barang siapa. Oleh itu, perkataan “mana-mana” tidak boleh digunakan dalam contoh ayat yang diberikan. Ayat yang lebih tepat ialah “Berpuluh-puluh ribu orang datang dari pelbagai tempat untuk menyaksikan konsert itu”.

3. Ayat yang lebih tepat ialah “Ya Allah, kami memohon perlindungan-Mu”.

Tatabahasa25.01.2022
Assalamualaikum 1. Saya nak tanya berkenaan ayat monolog, adakah menggunakan petik kata tunggal, ' ' atau pengikat kata " ". Contoh ayat, 'ya Allah berikan aku kekuatan untuk hadapi ujian ini' atau "ya Allah berikan aku kekuatan untuk hadapi ujian ini". 2. Saya nak tanya dalam dialog atau monolog, penggunaan kata hmm, argh, haha, dan ayat yang menunjukkan eksperesi atau emosi dipanggil apa ya? 3. Kalau baca dalam sesetengah buku cerpen atau antologi, ada tanda ***** di akhir penceritaan. Apa nama tanda tersebut?

1Monolog terbahagi kepada dua:

i. Monolog dalaman iaitu percakapan di dalam minda atau fikiran watak dengan dirinya sendiri. Ia tidak mengeluarkan suara. Untuk monolog dalaman, tanda petik yang digunakan ialah tanda petik tunggal (‘ ’).

ii. Monolog luaran iaitu percakapan watak dengan dirinya sendiri. Watak berdialog dengan diri sendiri dengan mengeluarkan suara, sama ada kuat atau hanya dapat didengari oleh dirinya sahaja. Untuk monolog luaran, tanda petik yang digunakan ialah tanda petik (“ ”).

Contoh ayat yang diberikan tidak menyalahi penggunaan tanda petik (‘ ’) atau tanda petik (“ ”) kerana ayat tersebut boleh diucapkan secara monolog dalaman atau luaran.

a. 'Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk hadapi ujian ini.'

b. "Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk hadapi ujian ini."

 

2. Dalam “dialog” atau “monolog”, penggunaan perkataan seperti hmm, argh, haha dan seumpamanya dipanggil sebagai “ekspresi”, untuk menggambarkan emosi watak sama ada suka, duka, marah dan lain-lain lagi.

 

3. Tidak ada nama khusus bagi tanda tersebut. Dalam penulisan karya kreatif, tanda sedemikian biasanya digunakan untuk menunjukkan “peralihan daripada satu kisah atau babak kepada kisah atau babak yang lain”. Walau bagaimanapun, setiap kisah atau babak tersebut mempunyai pertautan.  

Lain-lain18.11.2021
Berdasarkan penerangan daripada Tuan tiga hari yg lalu, tetapi saya masih tidak faham. Maaf ya... 1. Adakah separuh sama dengan setengah? Apakah jwp yg paling tepat utk soalan 2 dan soalan 4 ? 2. Hampir ________ daripada murid-murid di dalam kelas itu tidak tahu menulis tulisan khat. A. separuh C. sebilangan B. setengah D. sesetengah 3. Adakah bahkan = malah = malahan ? 4. Beliau bukan sahaja pemurah ________ prihatin terhadap rakyat miskin. A.malah B. walaupun C. bahkan Terima kasih

1.    Perkataan separuh dan setengah membawa maksud yang sama. Namun begitu, perkataan tersebut tidak sesuai untuk dirujuk kepada manusia. 1">

2.    Ayat yang gramatis adalah seperti yang berikut:1">

i.     Sebilangan murid di dalam kelas itu tidak tahu menulis khat.1">

ii.    Hampir setengah daripada bilangan murid di dalam kelas itu tidak tahu menulis khat.1">

3.   Bahkan, malah dan malahan membawa maksud yang sama.1">

4. Beliau bukan sahaja pemurah malah/malahan/bahkan prihatin terhadap rakyat miskin.

Sekian. Terima kasih.
Tatabahasa07.06.2017
Saya yakin "akan", "pada", "kepada" atau "terhadap" dia? Jika "yakin" diberikan imbuhan menjadi "berkeyakinan", adakah ayat ini masih gramatis? Jika ya, apa bezanya?

Ayat yang betul:
i. Saya yakin akan dia
ii. Saya berkeyakinan terhadap dia.

1. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Contohnya: Wanita itu amat rindu akan anaknya.
2. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu.
3. Kata sendi nama 'terhadap' digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda.
4. Kata sendi nama 'kepada' digunakan dihadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan.

Untuk lebih jelas, mohon rujuk buku Tatabahasa Dewan

Tatabahasa14.10.2017
Salam Sejahtera. Saya dalam proses penulisan sebuah buku yang berkonsep fakta berkaitan dengan bidang sukan. Saya ingin nasihat daripada DBP untuk beberapa perkara; 1. Adakah DBP mempunyai perkhidmatan utk menyemak dan membetulkan tulisan saya.? Jika ya berapa kos? 2. Adakah DPB mempunyai translator utk menterjemahkan tulisan saya kepada Bahasa Inggeris? 3. Adakah DBP mempunyai perkhidmatan menyemak kualiti penulisan terutama dalam pengolahan ayat dan peggunaan bahasa? 4. Adakah DBP akan menyemak kejituan fakta yg saya menulis? 5. Bolehkah DBP mencetak dan memasarkan buku saya? Terima Kasih.Untuk makluman tuan, DBP hanya bertanggungjawab terhadap manuskrip atau judul untuk terbitan DBP. Oleh itu, kami tidak menyediakan perkhidmatan menyemak atau menyunting karya individu atau terbitan luar. Tuan boleh menghantar manuskrip yang lengkap kepada Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diusahakan oleh Bahagian Penerbitan yang sesuai. Beliau juga boleh dihubungi melalui talian 03-21479000/01/02 atau e-mel khalik@dbp.gov.my (Tuan Haji Khalik bin Sulaiam). Manuskrip lengkap mestilah mengandungi:

(i)   bahan awalan

(ii)  bahan teks

(iii) bahan akhiran 

Untuk mengetahui lebih lanjut akan maklumat yang perlu ada dalam setiap bahan itu, tuan boleh merujuk buku Gaya Dewan Edisi Ketiga terbitan DBP. Setiap halaman manuskrip perlu diberikan nombor secara berturutan. Setiap manuskrip yang dihantar ke DBP akan melalui beberapa peringkat penilaian dan hanya jika didapati sesuai baru boleh diterbitkan oleh DBP. 

Lain-lain18.12.2016

Kembali ke atas