Nabi Yusuf a.s. Nama penuh baginda ialah Yusuf
ibn Ya‘kub ibn Ishaq ibn Ibrahim a.s. Baginda
merupakan salah seorang daripada nabi-nabi Allah
SWT. Nabi Ya‘kub a.s. mempunyai 12 orang anak
lelaki. Nabi Yusuf a.s. merupakan seorang anak yang
kacak rupa parasnya, dan menyebabkan baginda
lebih disayangi oleh Nabi Ya‘kub. Ini telah
menyebabkan saudara-saudara baginda yang lain
berasa cemburu dan memberi kesusahan kepada
baginda. Namun begitu, kesusahan itu telah menjadi
satu kebaikan dan keberkatan kepada baginda,
negeri Mesir dan umat manusia di persekitarannya.
Pada suatu hari, ketika Nabi Yusuf masih kecil,
sebagaimana yang diceritakan dalam al-Qur'an
al-Karim, Nabi Yusuf a.s. bermimpi melihat 11 bintang,
matahari dan bulan sujud kepada baginda. Lalu,
baginda pergi menemui bapanya Nabi Ya‘kub a.s.
untuk menceritakan mimpinya itu. Nabi Ya‘kub a.s.
meminta anaknya supaya tidak menceritakan mimpi
tersebut kepada saudara-saudaranya yang lain
kerana bimbang mereka akan memperdayakannya.
Saudara-saudara baginda yang lain sememangnya
amat cemburu dengan kasih sayang yang
berlebihan yang diberikan oleh bapa mereka
kepada Nabi Yusuf. Oleh itu, mereka merancang
untuk melakukan kejahatan terhadap baginda.
Mereka sentiasa menunggu peluang untuk
melakukan sesuatu yang akan menghilangkan kasih
sayang bapa mereka kepada Nabi Yusuf a.s.