| 5. I Laila cuba mengira kesan baik penyertaannya dalam program itu. II Kita hendaklah hidup bersatu padu tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama. III Ayah tersenyum melihat gelagat adik mengira duit raya yang diperolehnya. IV Serangga perosak yang memusnahkan anak-anak padi itu tidak mengira lagi banyaknya. (perkataan bercondong ialah mengira) | Jawapan yang betul ialah: I. Laila cuba mengira kesan baik penyertaannya dalam program itu. ll. Kita hendaklah hidup bersatu padu tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama. lll. Ayah tersenyum melihat gelagat adik mengira duit raya yang diperolehnya.
| Tatabahasa | 12.05.2026 |
| ASSLAMUALAIKUM. Saya ingin bertanya tentang kesantunan berbahasa tonggak tamadun bangsa.Soalan saya. 1.Bagaimanakah cara kita untuk mengatasi masalah kepincangan berbahasa serta adat kesopanan dan kesantunan berbahasa di kalangan masyarakat kini? 2.Sejauh manakah pentingnya pelestarian bahasa melayu penting dari sudup taraf,fungsi dan peranannya dalam komunikasi? 3.Adakah bahasa dan budaya melambangkan ketamadunan sesebuah masyarakat.Bagaimana? | Dalam menjawab soalan yang diberikan, pihak kami hanya memberikan pandangan umum sahaja. (i). Usaha untuk mengatasi masalah kesantunan berbahasa perlu dimulakan dari peringkat awal pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Asas yang kuat dapat meneguhkan penggunaan bahasa Melayu dalam apa jua keadaan. (ii). Pelestarian bahasa Melayu dalam komunikasi sosial dan keilmuan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Setiap rakyat seharusnya mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu dalam apa jua bidang. (iii). Bahasa dan budaya sememangnya melambangkan ketamadunan masyarakat. Slogan Bahasa Jiwa bangsa menggambarkan bahawa bahasa menjadi nadi bagi sesebuah bangsa; hilang bahasa, hilanglah bangsa. | Makna | 17.01.2008 |
| Bulan Bahasa dahulunya diadakan pada bulan September. Mengapa sekarang ii telah ditukarkan kebulan Oktober | Bulan Bahasa Kebangsaan adalah kesinambungan kepada Bulan Bahasa dan Sastera Negara(BBSN). Ia mula diperkenalkan pada tahun 1999 dengan tujuan untuk membina jati diri dan memperteguh perpaduan bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera. Bahasa dan sastera perlu berperanan sebagai unsur yang dapat membentuk peribadi, menyuburkan nilai murni, memantapkan rasa kesamaan dan mengeratkan perpaduan dalam jiwa setiap warga merdeka. Bermula tahun 2009, program BBK diadakan pada bulan Oktober kerana bulan Ramadan jatuh pada bulan September. | Lain-lain | 27.10.2010 |
| Salam sejahtera, Tuan/Puan Apakah jawapan untuk soalan ini? Arahan Pilih ayat-ayat yang mengguankan perkataan berhuruf condong dengan betul. I. Laila cuba mengira kesan baik penyertaannya dalam program itu. II. Kita hendaklah hidup bersatu padu tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama. III. Ayah tersenyum melihat gelagat adik mengira duit raya yang diperolehnya. IV. Serangga perosak yang memusnahkan anak-anak padi itu tidak mengira lagi banyaknya. Terima Kasih. | Sila nyatakan pertanyaan dengan jelas kerana tiada perkataan berhuruf condong dalam contoh ayat yang diberikan.
| Tatabahasa | 07.05.2026 |
| Salam 55 Tahun Kemerdekaan Malaysia, 1. Terjemahan LCD dalam bahasa Melayu, apa? 2. Adakah pihak DBP ada menerbitkan buku tentang Kesantunan Bahasa? 3. Ada Munsyi Dewan yang mengatakan bahawa perkataan MAHU dan HENDAK sama sahaja. Pandangan tuan? 4. Mengapakah frasa 'Kita semua' ... dikatakan lewah? Contohnya: BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA KITA SEMUA! 5. Tema GUNAKANLAH BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA NADI JATI DIRI BANGSA dikatakan tidak gramatis. Pandangan tuan? 6. Ungkapan JENDELA BAHASA gramatis atau tidak sekiranya dijadikan judul program bahasa di sekolah? 7. Beza kain rentang, banner, sepanduk dan gegantung? Terima kasih. | 1. Padanan bahasa Melayu untuk "liquid crystal display (LCD)" ialah paparan hablur cecair (LCD) 2. Buku yang diterbitkan oleh DBP ialah Santun Berbahasa oleh Dr. Awang Sariyan dan Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan Media oleh Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar. 3. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "mahu" bermaksud i. suka akan, suka hendak, bersedia akan ii. hendak, akan. "Hendak" pula bermaksud i. berhasrat akan, ingin akan ii. akan, bermaksud akan, mahu iii. untuk. Berdasarkan maksud yang diberikan, terdapat maksud yang sama pada kedua-dua perkataan. 4. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kita bermaksud kata ganti diri orang yang bercakap serta sekalian yang hadir (mendengarnya), saya dan kamu semua. Oleh itu, perkataan 'semua' dalam 'kita semua' tidak perlu digunakan kerana perkataan kita telah merangkumi maksud semua. 5. Pada pandangan kami, tema yang lebih baik ialah GUNAKANLAH BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA JATI DIRI BANGSA 6. Pada pandangan kami, penggunaan JENDELA BAHASA tidak jelas maksudnya. Kami tidak dapat memahami apakah yang ingin diketengahkan dengan ungkapan tersebut? Walau bagaimanapun, pihak puan boleh menggunakan ungkapan tersebut sekiranya pihak puan telah mempunyai konsep yang khusus mengenainya. 7. Sepanduk dan kain rentang ialah padanan bahasa Melayu untuk banner. Gegantung ialah padanan bahasa Melayu untuk bunting. | Istilah | 31.08.2012 |
| Hairi Jamil Assalamualaikum... Saya nak bertanyakan soalan Bagaimanakah cara dan prosedur untuk memohon penggunaan Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka Dan dengan siapa kami perlu berhubung untuk tempahan Terima kasih | Waálaikummussalam.... Penggunaan Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka adalah di bawah kendalian Bahagian Pentadbiran Am. Sebarang permohonan sewaan hendaklah dibuat secara bertulis dan dialamatkan kepada Ketua Bahagian Pentadbiran Am, Aras 14, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50640 Kuala Lumpur. 2. Maklumat yang perlu dimasukkan dalam surat permohonan adalah: i) Nama Majlis ii) Waktu Penggunaan iii) Senarai Keperluan Peralatan semasa majlis berlangsung 3. Berikut kadar Sewaan bagi Auditorium DBP: Deposit penyewaan : RM500.00 Untuk Tempoh setiap jam : I) Hari Bekerja = RM500.00 ii) Hari Cuti Umum = RM 625.00 Pakej penggunaan 8 jam : I) Hari bekerja = RM4,000.00 ii) Hari Cuti Umum = RM5,000.00 Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi saya di talian 03-21479708. Sekian, terima kasih. "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA" "BAHASA JIWA BANGSA" Saya yang menurut perintah, (ZAWIYAH BINTI ABD KARIM) Penolong Pegawai Tadbir (N27) Bahagian Pentadbiran Am, Dewan Bahasa dan Pustaka. b.p. Ketua Bahagian Pentadbiran Am. | Lain-lain | 29.05.2014 |
| Bagaimanakah cara untuk membezakan kata nama khas yang tunggal dan kata nama khas yang majmuk? Kemukakan beberapa contoh bagi memudahkan pemahaman saya. | Menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata nama khas dan kata nama dihuraikan seperti yang berikut: 1. Kata Nama Khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas dibahagikan kepada: (i) kata nama khas hidup (manusia dan bukan manusia); (ii) kata nama khas tak hidup. Contoh kata nama khas hidup ialah Tun Abdul Razak, Belang, Vanda Diana (orkid); kata nama khas tak hidup ialah Kuala Lumpur, Ahli Mangku Negara, Proton Preve. 2. Kata Nama dibahagikan kepada (i) kata nama tunggal, (ii) kata nama terbitan, (iii) kata nama majmuk, dan (iv) kata nama ganda. Kata Nama Tunggal ialah perkataan yang terdiri daripada satu morfem bebas sahaja, dan perkataan yang demikian boleh masuk ke dalam ayat sebagai perkataan yang lengkap dan menjadi inti pada frasa nama. Contoh kata nama tunggal ialah yu, wanita, ADUN, Proton, Bernama, dan jentolak. 3. Kata Nama Majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata nama majmuk dieja terpisah, contohnya guru besar, Leftenan Jeneral, temu duga, dan anak emas. | Tatabahasa | 02.01.2017 |
| Nama tempatan haiwan seperti penyu belimbing, dimulai dengan huruf besar atau kecil? Penyu Belimbing atau penyu belimbing? | Kata Nama Khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas dibahagikan kepada: (i) kata nama khas hidup (manusia dan bukan manusia); (ii) kata nama khastak hidup. Contoh kata nama khas hidup ialah Tun Abdul Razak, Belang, Vanda Diana (orkid); kata nama khas tak hidup ialah Kuala Lumpur, Ahli Mangku Negara, Proton Preve. Perkataan penyu belimbing, penyu karah, penyu lumpur dan penyu pulau tergolong dalam kata nama am dan dieja dengan huruf kecil sekiranya dalam ayat. Bagi penulisan tajuk, lazimnya ditulis dengan huruf besar di awal perkataan kecuali kata hubung yang ditulis dengan huruf kecil. | Lain-lain | 11.09.2017 |
| Salam sejahtera, 1. Murid-murid diminta berjalan menuju ke Blok C. 2. Murid Kumpulan D diminta membuat persembahan senamrobik dalam talian. 3.Kita perlu mengambil Vitamin C setiap hari. * Blok C , blok tulis dalam huruf besar atau kecil termasuk c. *Kumpulan D, kumpulan tulis dalam huruf besar atau kecil. *Vitamin C, vitamin ditulis dalam huruf besar atau kecil? Sila berikan pencerahan.Terima kasih. | Ketiga-tiga perkataan perlu ditulis dengan huruf kecil, iaitu blok C, kumpulan D dan vitamin C kerana perkataan tersebut merupakan kata nama am. Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep yang umum sifatnya. Contohnya kereta, cuaca dan keadilan. Manakala perkataan yang ditulis dengan huruf besar ialah kata nama khas. Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya. Kata nama khas dibahagikan kepada dua kumpulan: (i) Kata nama khas hidup (manusia dan bukan manusia). Contohnya Tun Abdul Razak (manusia) dan Tompok (bukan manusia). (ii) Kata nama khas tak hidup. Contohnya Melayu dan Universiti Putra Malaysia. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 95 - 101. | Tatabahasa | 25.07.2021 |
| 1.Malah,kejayaan yang dikecapi oleh pelbagai golongan pada masa kini bermula daripada pengorbanan seorang guru yang dengan lembut dan sabarnya mendidik dan mencurahkan ilmu kepada anak-anak didiknya. 2.Salam,saya nak tanya apakah kesalahan dalam ayatdi sini?Boleh tak menggunakan ‘Yang dengan ’ bersama? 3.Ternyata puisi tersebut mengiktiraf insan mulia bergelar guru sebagai insan yang bertungkus-lumus mencurahkan bakti ‘demi ’mendidik anak bangsa agar menjadi generasi yang seimbang dari segi rohani,jasmani,emosi,rohani,intelektual dan sosial. Perkataan kata sendi nama ‘demi’ boleh digunakan di sini?atau penggunaan ‘demi’sudah salah manakala apakah perbezaan antara bagi dengan demi 4.melahirkan perasaan simpati atau menimbulkan perasaan simpati? | 1. Ayat yang betul ialah: Malah, kejayaan yang dikecapi oleh pelbagai golongan pada masa kini bermula daripada pengorbanan seorang guru yang mendidik dan mencurahkan ilmu kepada anak-anak didiknya dengan lembut dan sabar. 2. Kata sendi tidak boleh hadir bersama-sama kata sendi. 3. Kata Penggunaan kata sendi nama “demi” dalam contoh ayat tersebut betul. Kata sendi “bagi” digunakan di hadapan frasa nama yang fungsinya menunjukkan kegunaan untuk sesuatu. Dalam penggunaan tertentu “bagi” boleh bervariasi dengan kata sendi nama “untuk”. Kata sendi nama “demi” pula membawa makna tujuan. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman:276-277). Perkataan “melahirkan perasaan simpati” dan “menimbulkan perasaan simpati” boleh digunakan mengikut kesesuaian ayat. Contohnya; i. Tuanku Permaisuri Agong melahirkan perasaan simpati baginda dengan mencemar duli membantu mangsa banjir di pusat penempatan sementara. ii. Pelbagai kisah suka duka yang ditayangkan melalui slot Bersamamu menimbulkan perasaan simpati masyarakat untuk bersama-sama membantu golongan yang kurang bernasib baik. | Tatabahasa | 20.01.2021 |